PADA pembentangan bajet sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan 2017 sebagai tahun syarikat startups (syarikat permulaan) dan promosi bagi Industri Kecil dan Sederhana, (IKS).

Jadi, ini merupakan peluang baik bagi mereka yang mahu membangunkan aplikasi telefon pintar.

Namun apakah langkah yang perlu diambil kira sebelum membangunkan aplikasi?

Astro AWANI baru-baru ini mengadakan temubual eksklusif bersama Pengarah Serantau Syarikat Penyedia Penyelidikan Pemasaran App Annie, Jaede Tan serta pengasas aplikasi permainan Appxplore, Desmond Lee pada acara Google Play Time di Singapura bagi mendapatkan jawapan kepada persoalan ini.

Kenal pasti aplikasi yang ingin dibangunkan

Aplikasi dan permainan di telefon pintar kini bercambah bagai cendawan.

Ada yang membawa pulang keuntungan sehingga berjuta ringgit, ada juga mengalami kerugian, berikutan salah percatuan dalam strategi pemasaran.

Pertama, anda perlu mengenal pasti apakah jenis aplikasi yang anda mahu lakukan.

"Jika anda melihat pasaran di Malaysia, apa perlu tahu apa yang popular di Malaysia. Apakah jenis permainan yang rakyat Malaysia suka dan daripada situ, anda boleh membahagikan beberapa pasaran," tambahnya.


Lebih 700,000 pembangun di seluruh dunia menggunakan perkhidmatan App Annie bagi memahami peluang pasaran dalam pembangunan aplikasi.

Perbandingan dengan pesaing, kenal pasti demografik

Selain itu, Jaede juga berkata, pembangun juga perlu mengenal pasti ciri-ciri aplikasi yang pernah berjaya sebelum ini.

Selepas membuat perbandingan dengan pesaing-pesaing yang ada, pembangun perlu mengenal pasti demografik pengguna dan menjana keuntungan daripada aplikasi yang akan dibangunkan.

"Pembangun perlu mengenal pasti adakah pengguna akan menggunakan aplikasi ini lebih banyak kali dalam sehari atau hanya sekali dalam beberapa minggu untuk jangka masa yang panjang.

"Apakah ciri-cirinya dan bagaimana anda menjana keuntungan? Adakah melalui pembelian dalam aplikasi atau bagaimana?," tambah Jaede.

Utamakan kualiti, capai standard antarabangsa

Sementara itu bagi Pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi permainan AppXplore, Desmond Le berpendapat, pembangun harus mengutamakan kualiti dalam mencipta sesebuah permainan.

Jelasnya, selain untuk memberi kepuasan kepada pengguna, ia juga akan memudahkan kolabrasi dengan syarikat peranti.

"Apabila kita mahu membangunkan sesebuah permainan, ia harus mencapai standard antarabangsa.

"Google (syarikat teknologi internet) juga mempunyai beberapa kriterianya tersendiri. Jika permainan anda bagus, anda akan mendapat kedudukan yang baik," katanya.

Jelas Desmond, kerjasama bersama Google membantu syarikat aplikasinya dalam akses perisian terbaru dan peluang untuk ditempatkan dalam Google Play Store.

Sementara itu, beliau berkata Appxplore yang bertapak di Kuala Lumpur sejak lima tahun lalu, telah membangun tujuh permainan dengan enam juta muat turun secara keseluruhan.