Syarikat Apple mendedahkan bahawa ia ada membantu pihak berkuasa Amerika Syarikat dalam usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370.

Menurut naib presiden kanan hal ehwal kerajaan dan perundangan syarikat gergasi teknologi itu, Apple telah bekerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan untuk membantu mengesan pesawat tersebut.

“Apabila pesawat Malaysia Airlines itu terhempas, dalam masa satu jam selepas pesawat itu disahkan hilang, operator kami bekerjasama dengan pembekal telefon di seluruh dunia, dengan syarikat penerbangan, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk mengesan ping, mengenal pasti lokasi akhir pesawat itu,” kata Bruce Sewell yang juga penasihat guaman syarikat itu.

Pesawat MH370 didapati hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Malaysia ke Beijing.

Pesawat berkenaan dipercayai berakhir di Lautan Hindi melalui bukti ping yang dikesan oleh sebuah syarikat telekomunikasi satelit Britain Inmarsat, dan diperkuatkan lagi dengan penemuan flaperon di Pulau Reunion tahun lepas.

BACA: JACC akhirnya sahkan flaperon dari MH370

Sewell berkata demikian ketika disoal selama lima jam ketika pendengaran jawatankuasa Dewan Perwakilan AS berhubung pendirian Apple terhadap isu penyulitan semalam, lapor The Verge.

Beliau berkata demikian ketika ditanya apa tindakan yang akan diambil Apple dalam situasi kecemasan, misalnya jika bukti letupan nuklear terkunci di dalam peranti iPhone.

Wakil Apple itu berkata syarikat akan cuba mendapatkan "semua data berkaitan dengan telefon itu."

Apple dikritik kerana enggan memberi kerjasama ketika diminta FBI untuk membuka ‘pintu belakang’ bagi membolehkan pihak berkuasa melepasi sistem penyulitan unit iPhone yang digunakan seorang penyerang dalam insiden tembakan rambang di San Bernardino hujung tahun lepas.

TONTON: Mangsa San Bernardino mahu Apple beri kerjasama

TONTON: FBI gagal buka telefon bimbit penyerang San Bernardino