GERGASI teknologi San Francisco, Apple berdepan tekanan hebat untuk menghasilkan telefon pintar boleh lipat seperti mana yang sudah diperkenalkan syarikat-syarikat teknologi Asia Samsung dan Huawei.

Malah bakal mengekori dua syarikat teknologi itu ialah Xiaomi, LG Electronics, Vivo, Lenovo yang bakal memperkenalkan model telefon pintar boleh lipat masing-masing tidak lama lagi.

Memetik laporan portal digital Taiwan, Digitimes yang menemu bual beberapa peminat teknologi negara berkenaan, menyata kegagalan Apple untuk memperkenalkan telefon pintar boleh lipat akan menjejaskan kedudukan utama syarikat itu dalam pasaran telefon pintar.

Sementara itu, Samsung Display dikhabarkan sudah menghantar sampel paparan fleksible keluarannya kepada Apple dan Google sebagai sebahagian usaha mengembangkan penguasaan pasaran.

Dikatakan, Samsung menghantar paparan boleh lipat bersaiz 7.2 inci. Ia 0.1 inci lebih kecil berbanding paparan yang digunakan Galaxy Fold.

Sementara itu, satu pendedahan terbaru juga menunjukkan Pejabat Paten dan Tandadagang Amerika Syarikat memberi bayangan bahawa Apple sedang meningkatkan keupayaannya dalam bidang teknologi paparan OLED fleksibel.

iPhone yang pernah mendominasi pasaran telefon pintar kini menyaksikan penguasaanya semakin merosot.

Data pada suku keempat 2018 menunjukkan penguasaan iPhone merosot kepada 11.8 peratus dengan hanya 64.5 juta unit sahaja terjual pada tempoh berkenaan.

Ia tidak selari dengan jualan keseluruhan industri telefon pintar yang meningkat 0.1 peratus pada tempoh sama.