Aplikasi penstriman muzik Spotify telah mencatatkan kejayaan lebih sejuta pengguna dalam tempoh seminggu dilancarkan di India.

Data itu dikongsikan Spotify kepada portal The Verge dan Billboard.

Biasanya Spotify tidak mengeluarkan statistik data penggunanya seawal ini tetapi berdasarkan konteks pasaran penstriman muzik di India ia tidaklah mustahil.


Dengan populasi melebihi 1.34 billion orang, hanya 150 juta atau 11 peratus pengguna internet di India melanggan perkhidmatan penstriman muzik berdasarkan laporan daripada Deloite dan Badan Industri Muzik India (IMI) yang diterbitkan awal tahun ini.

Daripada 150 juta yang melanggan perkhidmatan penstriman muzik, 85 peratus menggunakan langganan percuma.

Biarpun data sejuta ini dianggap sangat kecil, ia dilihat amat signifikan dengan gelombang peningkatan penggunaan seiring dengan persaingan harga yang ditawarkan kepada pengguna di India.

Pengguna Spotify Premium di India hanya perlu membayar sebanyak 119 rupee (RM6.84) sebulan berbanding tawaran Apple Music yang menelan kos 120 rupee (RM6.90).