Dalam berdepan sektor pekerjaan di masa hadapan yang dilanda teknologi disruptif, syarikat-syarikat perlu memiliki inovatif dalam mencipta produk atau perkhidmatan baharu.

Walaupun terdapat kemungkinan rancangan yang dilaksanakan akan gagal, salah seorang Ketua Pegawai Eksekutif syarikat di Silicon Valley, Amerika Syarikat Jacob Hsu berkata perkara yang lebih penting adalah syarikat tersebut belajar dengan kadar pantas dari kesalahan mereka.

"Namun, kegagalan itu haruslah diatasi dengan cepat dan tidak memberikan kos besar kepada syarikat.

"Pemikiran sebegini yang perlu diterapkan dalam warga kerja sesebuah syarikat supaya inovasi sentiasa berlaku," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Tambah beliau, ramai yang menganggap golongan yang berjaya merupakan mereka yang sentiasa berjaya.

"Walau bagaimanapun, realitinya, cerita kejayaan di Silicon Valley datang dari syarikat yang pada mulanya berada di landasan lain tetapi secara tidak sengaja 'bertemu' bidang baharu yang membuahkan kejayaan besar buat mereka.

"Sebagai contoh, syarikat Twitter lahir daripada syarikat yang dipanggil Odeo," kata Jacob.

Beliau turut berkata bahawa 'cara lama' untuk membina produk sudah kurang relevan pada era pantas masa kini.

Katanya, jika dahulu, produk dibina berdasarkan hala tuju yang lurus selain diperincikan semua perkara dan membayangkan masa hadapan.

"Kini, model itu berubah kepada lebih fokus untuk pengguna dan mengenal pasti 'masalah' yang dihadapi sekali gus bagaimana untuk menyelesaikannya," katanya.

Paling penting, kata beliau, adalah untuk menerima bahawa hala tuju akhir produk tidak dapat ditentukan pada awal tetapi perlu dieksperimen beberapa kali sebelum hala tuju produk dapat ditentukan.

Apabila ditanya tentang mencari bakat atau pekerja yang boleh membantu syarikat sekarang berdepan teknologi disruptif, Jacob berkata kriteria tersebut tidak bergantung kepada calon yang mempunyai pendidikan tinggi.

"Perkara yang lebih penting adalah untuk mencari ahli-ahli yang mempunyai latar belakang berbeza tetapi boleh bekerjasama dan memahami visi yang direncanakan syarikat," kata beliau.

Tambahnya, jika merujuk kepada pengasas syarikat teknologi yang berjaya, mereka bukanlah memiliki doktor falsafah dari universiti terkemuka atau bekerja di syarikat gergasi.

"Biasanya, mereka, seperti Steve Jobs atau Steve Wozniak bermula sebagai orang yang dilihat sebagai pelik. Namun, mereka mempunyai kemahuan yang tinggi untuk berjaya serta memiliki sikap tidak berputus asa.

"Oleh itu, bagi saya, untuk memastikan kumpulan itu berjaya, mereka harus mempunyai sifat-sifat sebegini bagi terus berusaha sehingga menempa kejayaan," katanya.