GOOGLE dilaporkan membayar sebanyak AS$1 bilion (RM4.237 bilion) kepada Apple Inc. untuk menjadi enjin carian utama di dalam iPhone.

Menurut laporan Bloomberg.com, perkara ini didedahkan menerusi dokumen mahkamah dalam satu kes yang langsung tidak melibatkan Apple Inc.

Sebaliknya ia merupakan satu kes antara Google dan Oracle Corp, tentang pembayaran perisian Java.

Dokumen berkenaan turut mendedahkan Apple menerima peratusan tertentu daripada pendapatan yang dijana oleh Google menerusi iPhone.

Lapor Bloomberg.com, jurucakap kepada Google dan Apple enggan memberi sebarang komen tentang dokumen mahkamah itu.

Namun dalam satu pemfailan mahkamah pada 20 Januari, Google berkata maklumat ini dianggap sebagai “amat sulit” .

“Terma spesifik perjanjian kewangan Google dengan Apple adalah sangat sensitif kepada kedua-dua Google dan Apple,” kata Google.

Sementara itu, laman web recode.net pada 2014 melaporkan Yahoo! turut mempunyai perancangan agar Yahoo! menjadi enjin carian utama iPhone dan iPad namun perancangan itu tidak diteruskan.