Firma pengeluar telefon pintar terkemuka China, Huawei kini melancarkan penjualan model terbaharunya telefon lipat Mate Xs bagi pasaran Malaysia.

Huawei berkata, sempena dengan pelancaran berkenaan syarikat turut menyediakan khidmat penghantaran VIP ke rumah pelanggan sebagai langkah keselamatan dan pencegahan bagi menangani isu penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

“Kami tidak mahu penggemar Huawei di Malaysia ketinggalan untuk merasai pengalaman menggunakan Mate Xs yang tampil dengan ciri-ciri canggih dan dipertingkatkan bagaimanapun, kesihatan serta keselamatan mereka tetap menjadi keutamaan kami.

“Justeru itu, syarikat mengambil inisiatif dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran ke rumah pelanggan yang membuat pembelian menerusi platform e-dagang kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Selain penghantaran ke rumah, pelanggan yang membuat pembelian Mate Xs menerusi online juga boleh memilih untuk mengambilnya di pusat jualan berhampiran atau mana-mana kedai Huawei pilihan.

Menurut kenyataan itu, peranti mewah mempunyai ciri yang dilengkapi dengan pemproses Kirin 990 bersama sambungan teknologi Generasi Kelima (5G) cip SoC.

“Dimensi Mate Xs adalah skrin utama bersaiz 6 inci apabila dilipat dan menjadi selebar 8 inci apabila dibuka. Paparannya dihasilkan daripada dua lapisan fleksibel, dua helaian filem poliamida bersama pelekat optic yang jelas.

“Telefon pintar ini mempunyai bateri berkapasiti 4500mAh manakala, untuk rakaman gambar pula ia hadir dengan 40MP bagi kamera utama, tangkapan ultra-wide angle (16MP) dan kamera telephoto (8MP),” ujarnya.

Huawei turut menawarkan jaminan bagi penggantian paparan satu kali bagi tempoh tiga bulan dari tarikh pembelian Mate Xs. Ia meliputi kerosakan kemalangan seperti jatuh dan lain-lain perlanggaran, bagaimanapun tidak termasuk disebabkan penyalahgunaan dan tumpahan cecair.

Huawei lancar model terbaharu Mate Xs

Selain itu, pengguna turut boleh memuatnaik pelbagai aplikasi kegemaran mereka seperti Facebook, Whatsapp, WeChat, Tik Tok, Lazada, AirAsia Big serta banyak lagi menerusi AppGallery kendalian Huawei.

AppGallery juga membenarkan pengguna untuk menggunakan aplikasi tanpa memasangnya ke sistem peranti selain boleh mendapatkan 50 gigabait (GB) Huawei Cloud secara percuma.

Sementara itu, Huawei turut menyediakan perkhidmatan langsung (seorang ke seorang) dengan pengguna bagi meningkatkan tawaran jaminan servis terbaik.

Sebarang pertanyaan atau masalah, pengguna Huawei boleh menghubungi terus hotline di talian 1800-22-0086, Livechat melalui Support App atau Support Webpage, Facebook dengan carian Huawei Mobile, emel di [email protected] dan aplikasi Whatsapp di talian 012-685 5652.