Independence X: Wakil sulung Asia Tenggara dari Malaysia bertanding dalam Google Lunar XPrize

Independence X: Wakil sulung Asia Tenggara dari Malaysia bertanding dalam Google Lunar XPrize
Independence X terdiri daripada ketua kumpulan, Mohd Izmir Yamin (gambar) dan 13 lagi anggota yang merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan, sains, angkasa lepas dan penerbangan. - Foto Independence X
KUALA LUMPUR: Wakil sulung Asia Tenggara dalam pertandingan global anjuran gergasi Internet, Google, yang mengajak peserta untuk melancarkan kapal angkasa robotik ke bulan, Google Lunar Prize, adalah sebuah kumpulan dari Malaysia yang dikenali sebagai Independence X.

Independence X terdiri daripada ketua kumpulan, Mohd Izmir Yamin dan 13 lagi anggota lain yang merupakan pakar dalam bidang kejuruteraan, sains, angkasa lepas dan penerbangan.

Mohd Izmir yang ditemubual media antarabangsa, CNBC sewaktu menghadiri persidangan Komuniti Keusahawanan Global di ibu kota baru-baru ini berkata, misi utama pasukannya adalah untuk merancakkan inovasi.

Menurut Izmir (dua dari kiri), misi utama pasukannya adalah untuk merancakkan inovasi. - Foto Independence X
"Misi kami adalah inovasi. Ia adalah mustahil bagi kami untuk mempunyai visi ke arah masa hadapan tanpa memikirkan pembangunan tekonologi angkasa," katanya.

Mohd Izmir, yang merupakan graduan Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata Independence X akan melakukan yang terbaik dalam pertandingan tersebut bagi memenangi hadiah utama bernilai lebih AS$20 juta atau RM88.55 juta.
Pemenang kedua bakal memenangi hadiah bernilai AS$5 juta atau RM22 juta, manakala hadiah-hadiah bonus yang ditawarkan juga berjumlah keseluruhan AS$5 juta atau RM22 juta.

Pertandingan tersebut mensyaratkan setiap kumpulan untuk melancarkan sebuah kapal angkasa ke bulan yang boleh mengembara sekurang-kurang 500 meter di atas permukaan bulan dan melancarkan video berkualiti tinggi ke bumi pada akhir 2017.

Pertandingan yang juga direka bagi menggalakkan kerjasama diantara sektor swasta, akademik dan inovasi turut mensyaratkan bahawa sebarang sumbangan dari pihak kerajaan haruslah tidak melebihi 10 peratus dari bajet.

Menurut Mohd Izmir, dana yang diterima Independence X datang dari syarikat swasta dan orang ramai.

Beliau turut berkongsi bahawa robot angkasa lepas yang dibina Independence X dinamakan sebagai 'Henry'.

Robot berukuran 1.4 meter tinggi dan 2 meter lebar itu adalah seberat 850 kilogram dan dilengkapi dengan kamera imej HD dan sensor air bagi memancarkan sebarang penemuan sumber air di bulan.

Fasa kedua pertandingan memerlukan setiap kumpulan untuk mendapat kontrak bagi melancarkan kapal angkasa tersebut ke orbit. Setakat ini, hanya empat dari 16 kumpulan yang menyertai pertandingan itu telah mendapat kontral pelancaran mereka.

Antara kumpulan yang berjaya mendapat kontrak lancaran termasuk kumpulan SpaceIL dari Israel, Moon Express dari Amerika Syarikat dan gabungan antarabangsa, Synergy Moon.

Tahun lepas, SpaceIL telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya memperoleh kontrak pelancaran melalui syarikat angkasa Space X milik hartawan teknologi terkenal, Elon Musk.

Mohd Izmir berkata bahawa Independence X sudah berjaya memperoleh pembekal kontrak pelancaran buat Henry dan bakal membuat pengumuman mengenai kejayaan itu Januari depan.

Berbanding negara-negara di Asia Timur seperti Jepun, China mahupun India, benua Asia Tenggara tidak mempunyai banyak syarikat angkasa swasta. Malah, Independence X adalah satu-satunya syarikat di Malaysia yang menawarkan khidmat khusus dalam sektor ini.
.
"Saya akui bahawa saya merasa risau dan yakin pada masa yang sama kerana ini adalah percubaan kali pertama buat Asia Tenggara. SpaceIL adalah antara pencabar yang terkuat dalam pertandingan ini tetapi kami akan melakukan yang terbaik untuk menawarkan misi yang paling berpatutan dan berwibawa.

Selain Izmir, kumpulan Independent X turut dianggotai Dr. Mazlan Othman, Dr. Clement Lo, Amelia Lim, Bostami Ahmad, Sundaravathanan Chellappan, Leo Selvaraj, Jeremy Tan, Dr. Melanie Ooi, Fizjedar, Aiman Mohd Misri, Ahmad Syahmi Sayuti, Maj. Rashidy Zulkifli (RMAF) dan Ilgiz Zagidulin.