DUA tahun lalu Pokemon Go cetus fenomena di seluruh dunia apabila permainan itu dimuat turun lebih 50 juta pengguna telefon pintar selepas hanya sebulan dilancarkan.

Banyak yang diperkatakan mengenai permainan Augmented Reality (AR) ini, positif dalam kalangan peminat dan semestinya negatif bagi yang tidak suka dan yang suka menghukum.

Macam biasa setiap kali tercetusnya fenomena bahangnya hanya seketika. Lambat laun orang dah mula lupa. Tiada lagi cerita orang kena langgar kereta kerana sibuk tangkap Pokemon. Tak ada lagi dalil-dalil bagi mengharamkan permainan ini.

Selepas dua tahun Pokemon mungkin bakal ada pencabarnya. Anda bukan lagi memburu makhluk comel tetapi haiwan prasejarah yang bersaiz besar dan bertaring.

Jurassic World Alive yang dibangunkan syarikat Ludia ini bakal memberi pengalaman buat anda berinteraksi dan mengumpul koleksi dinosaur.

Bagi permainan ini watak anda adalah seorang anggota baharu Kumpulan Perlindungan Dinosaur yang ditugaskan menyelamatkan haiwan itu daripada pupus untuk kali kedua.

Jurasic World Alive akan dilancarkan serentak bagi versi Android dan iOS sebelum tayangan pembukaan filem Jurassic World: Fallen Kingdom, 22 Jun tahun ini.