Dengan ekonomi digital diunjur menyumbang kira-kira 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara (KDNK) pada 2020, Malaysia dijangkakan menjadi hab digital raya akan datang, penuh dengan peluang baharu dan menarik untuk penerbit dan jenama, kata VML.

VML, agensi pemasaran digital global, pada Oktober lepas mengumumkan pembukaan pejabat pertamanya di Malaysia, kelima di Asia.

Jurutera VML yang mempunyai pengalaman digitial terbaik dalam kelasnya merupakan antara jenama yang dihormati dan diiktiraf di dunia.

Dalam temu bual dengan Bernama, Lee Chin Chuan yang baru dilantik sebagai Ketua Digital VML Malaysia, berkata negara itu (Malaysia) juga mencatat beberapa kemajuan dalam bidang pengukuran.

Pada Februari lepas, Lee berkata Persatuan Digital Malaysia (MDA) mengumumkan pelantikan semula comScore sebagai mata wang pengukur rasmi penonton di Malaysia, selain komitmen untuk menyeragamkan dan menyokong platform pengukuran standard

Bajet 2017 Malaysia yang baru dibentangkan menunjukkan fokus yang kukuh ke atas ekonomi digital.

Kerajaan mengumumkan bahawa RM162 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, dan mengumumkan rancangan baharu untuk membangunkan zon bebas digital pertama dunia bagi memudahkan e-dagang antarabangsa dan inovasi berasaskan Internet.

Berdasarkan latar belakang ini, VML Malaysia sudah pasti merupakan langkah strategik, dan menandakan permulaan bab yang penting, kata Lee.

"Kami tiba semasa Malaysia mengetuai rantau ini dalam penggunaan digital - sama ada dalam penembusan mudah alih atau masa yang digunakan di telefon bimbit - dan pelaburan dalam pengiklanan digital," katanya.

Memetik laporan baru-baru ini mengenai maklumat 50 jenama utama di Malaysia, Lee berkata anggaran purata perbelanjaan iklan digital melibatkan sebanyak 20 peratus perbelanjaan media.

Di Malaysia, Lee berkata VML semakin mendapat momentum, memperoleh tujuh pelanggan baharu sejak kehadirannya.

VML kini bekerja dengan beberapa jenama setempat seperti Castrol Carama, OCBC Malaysia, Sony Pictures Malaysia dan Marigold.

Dari pejabatnya di Singapura, VML sebelum ini bekerja dengan jenama Malaysia dan antarabangsa seperti Sun Life Malaysia, Tune Talk, CIMB, Revlon dan Resorts World Genting di Malaysia.

"Kami berusaha keras untuk mengembangkan perniagaan kami di Malaysia menerusi gabungan keupayaan digital kreatif, teknologi dan keupayaan perundingan.

"Kami kini menunggu untuk melakukan projek permulaan pelanggan kami susulan peluang yang wujud," kata Lee.

Sejauh mana pejabat Malaysia boleh menjadi penyumbang utama pendapatan VML, Lee berkata sebagai sebuah agensi yang hadir di Asia Tenggara (SEA) dan India, Malaysia merupakan pasaran penting dalam pelan hala tuju strategik secara keseluruhannya.

"Malaysia membolehkan kami mempertingkat lagi pencapaian cemerlang dalam pasaran SEA. Kami yakin VML Malaysia akan berkembang menjadi tunggak utama kehadiran serantau kami, dari segi pendapatan dan keupayaan," katanya.

Mengenai cabaran, Lee berkata terdapat beberapa cabaran di Malaysia, sama seperti dalam pasaran Asia yang lain seperti Indonesia dan India.

"Yang pertama ialah perakuan bahawa digital bukan sahaja suatu saluran, malah boleh membawa perubahan untuk jenama. Ada peluang untuk mendidik industri mengenai perkara ini.

"Cabaran utama kedua ialah mencari bakat terbaik dan mewujudkan pasukan padu pengamal digital," kata Lee.

Lee berkata kerja yang telah dilakukan oleh VML adalah bukti komitmen ke arah memandu nilai dalam setiap titik perjalanan pelanggan, dengan pembeza utamanya keupayaan untuk mengemukakan pemikiran strategik dalam rundingan.

"Sama ada melaksanakan ringkasan laman web atau cabaran kempen, kepakaran kami terletak dalam memahami ekosistem digital secara keseluruhan dan melepasinya jawapan ringkas.

"Ini membolehkan kami mencadangkan dan menyampaikan penyelesaian yang membolehkan pelanggan organisasi kami mengaplikasikan digital sepenuhnya," kata Lee.

Ditubuhkan pada 1992 dengan ibu pejabat global di Kansas City, VML mempunyai lebih 2,300 pekerja dengan pejabat utama di 26 lokasi di enam benua.

-- BERNAMA