Mark Zuckerberg rancang gabung sistem mesej Facebook, Instagram, WhatsApp

Mark Zuckerberg rancang gabung sistem mesej Facebook, Instagram, WhatsApp
Proses integrasi ini dijangka siap awal tahun 2020.
KETUA Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg dilaporkan sedang merancang untuk mengintegrasikan perkhidmatan pesanan atau messaging media sosialnya meliputi WhatsApp, Instagram dan Facebook Messenger.

Menurut laporan The New York Times, pengintegrasian itu akan memberikan kawalan yang lebih luas kepada syarikat berkenaan yang ketika ini diserang dengan beberapa skandal pencerobohan data peribadi.

Bagi pengguna, jangan risau kerana setiap aplikasi berkenaan akan tetap berdiri sendiri dan berfungsi seperti biasa, cuma infrastruktur teknikal sahaja yang akan digabungkan.
Ia disahkan oleh individu yang bertanggungjawab menjalankan proses integrasi ini kepada The New York Times.

Dengan penggabungan ini, Facebook terus menerajui sistem pesanan dengan mempunyai jumlah pengguna paling besar di dunia iaitu sebanyak 2.6 billion pengguna.

Malah, buat pertama kalinya, ia membolehkan semua pengguna di Facebook, Instagram dan WhatsApp mampu berkomunikasi merentas platform buat pertama kalinya.

Rancangan ini dikatakan telah pun bermula dan dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2020.

Di samping itu, ia juga dilihat bakal mentaktrif semula bagaimana pengguna di ketiga-tiga platform berkenaan berkomunikasi antara satu sama lain.