Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau penyebaran maklumat palsu di laman media sosial berikutan perkembangan semasa di dalam negara.

Dalam kenyataan pada Isnin, MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R - race, religion, royalty) di sebalik keghairahan berkongsi maklumat.

"Sebarang perkongsian kandungan yang bersifat palsu, jelik dan mengancam adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

BACA: Peletakan jawatan Tun M: Apa yang anda perlu tahu setakat ini

BACA: Semua jawatan menteri Kabinet, timbalan menteri dan setiausaha politik dihentikan

BACA: GPS, Warisan dan kuasa penentu Kerajaan Persekutuan

"Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya," jelasnya.

MCMC juga menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dijalankan berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut peruntukan undang-undang sedia ada secara telus demi melindungi hak dan kepentingan masyarakat.

MCMC meminta orang ramai melaporkan insiden atau kandungan berunsur 3R di media sosial terus kepada MCMC melalui aplikasi Whatsapp di talian 016- 220 6262 atau e-mel kepada [email protected].

-- BERNAMA