Mercedes-Benz Malaysia akan pertingkat perkhidmatan kereta cekap tenaga

Mercedes-Benz Malaysia akan pertingkat perkhidmatan kereta cekap tenaga
Wiedner (kanan) sewaktu pelancaran ibu pejabat bernilai RM74 juta, Wisma Mercedes-Benz, yang juga menempatkan Akademi Latihan Mercedes-Benz Malaysia (MBM). - Foto Bernama
PUCHONG: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd akan dapat meningkatkan perkhidmatan kenderaan cekap tenaganya (EEV) dengan pelancaran ibu pejabat bernilai RM74 juta, Wisma Mercedes-Benz, yang juga menempatkan Akademi Latihan Mercedes-Benz Malaysia (MBM).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Claus Weidner berkata bangunan baharu itu akan membolehkan syarikat tersebut terus konsisten menyediakan perkhidmatan dan kepakaran berkualiti tinggi serta kebolehpercayaan kepada pelanggannya.

"Malaysia adalah pasaran penting bagi jenama Mercedes-Benz. Penerajuan kami dalam segmen kenderaan premium menunjukkan keyakinan pelanggan terhadap kenderaan dan kualiti perkhidmatan kami," katanya kepada pemberita selepas pelancaran ibu pejabat tersebut, di sini, hari ini.
Akademi latihan MBM itu mempunyai bengkel beroperasi penuh bagi simulasi tempat kerja sebenar dan bilik latihan canggih yang dilengkapi mengikut piawaian terkini Daimler AG Global Training.

Akademi itu dijangka mengambil 60 pelajar setiap tahun bagi tempoh kursus tiga tahun, dan jaminan pekerjaan empat tahun apabila tamat pengajian.

Weidner berkata usaha berterusan kumpulan untuk meningkatkan kepuasan pelanggan, setiap kali mereka bertemu jenama Mercedes-Benz, akan membantu memacu kejayaan syarikat itu.

"Kami akan terus melabur dalam rangkaian pengedar kami dan meningkatkan semua pusat pelanggan di seluruh negara.

"Kami juga akan meneruskan sokongan tidak berbelah bahagi kami kepada hasrat negara untuk menjadi hab EEV sejajar dengan piawaian global," katanya.

Ibu pejabat itu dibina di kawasan seluas lebih 111,000 kaki persegi dengan pejabat operasi menggunakan ruang kira-kira 53,000 kaki persegi manakala selebihnya adalah bagi ruang akademi latihan. -- Bernama