Pengguna digital Malaysia menghabiskan secara purata selama hampir 14 jam sehari melalui peranti digital dengan 87 peratus daripada mereka di Internet.

Menurut Ernst & Young Advisory Sdn Bhd (EY), yang merupakan anggota pertubuhan global EY, bagaimanapun, terdapat persepsi jurang pada kematangan, pengalaman dan kemampuan Malaysia.

Kajian dalam taliannya, Asia-Pacific : Digital Nations 2016 di bawah tajuk 'Decoding the Malaysian Digital DNA : From Smart to Savvy', menunjukkan sebanyak 80 peratus daripada responden menggunakan media sosial/jaringan pada setiap hari untuk membuat tinjauan dalam talian yang berkaitan dengan sesuatu produk dan perkhidmatan.

"Bagaimanapun, lebih separuh daripada mereka berpendapat bahawa ekonomi digital Malaysia masih ketinggalan berbanding negara-negara maju. Mereka juga berasa tidak berpuas hati dengan kualiti kelajuan Internet dan kos data yang masih mahal," kata EY dalam satu kenyataan hari ini.

Kaji selidik itu juga menunjukkan keselamatan siber masih menjadi kebimbangan utama dengan 83 peratus daripada responden mahukan organisasi terbabit mendedahkan bagaimana mereka menggunakan maklumat dalam talian manakala 69 peratus lagi mencari penguatkuasaan undang-undang ke atas maklumat pelanggan.

Ketua Penasihat Digital EY ASEAN Jonathan Rees, berkata organisasi-organisasi terbabit perlu untuk memastikan bahawa strategi perniagaan mereka sesuai dengan dunia digital untuk memenangi hati dan minda para pengguna Malaysia.

Kajian tersebut dibuat pada April 2016, melibatkan 1,018 responden yang aktif secara digital di Malaysia, berumur antara 18 hingga 69 tahun dan telah bermastautin di Malaysia sekurang-kurangnya setahun.

Laporan kajian itu boleh didapati di laman web EY pada www.ey.com/my.