Samsung Malaysia Electronics (SME) Sdn Bhd menjangka permintaan yang kukuh bagi model terbaharunya, Samsung Galaxy A9 Pro.

Naib Presiden Unit Teknologi Maklumat dan Perniagaan Mudah Alih SME, Lee Jui Siang, berkata telefon pintar itu, yang mempunyai spesifikasi produk yang kukuh, berharga di bawah RM2,000.

"Setakat ini, permintaan adalah baik dan ini terutamanya disebabkan kapasiti bateri model itu yang tahan lama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar 'Durian Feast' Samsung Malaysia untuk meraikan model baharu itu di sini hari ini.

Lee berkata antara masalah yang dihadapi ramai pengguna pada hari ini adalah jangka hayat bateri yang pendek.

"Model tersebut, dengan kuasa bateri mencecah 5,000 mAh, adalah kukuh," katanya.

Beliau berkata model tersebut yang dilengkapi skrin besar berukuran enam inci turut menyumbang kepada permintaan pengguna berikutan mereka dapat menonton banyak video dan bermain permainan video.

"Terdapat pengguna yang mahukan skrin lebih besar," katanya.