Sengaja perlahankan iPhone, Apple berdepan sembilan saman

|

Apple berdepan sembilan saman selepas mengakui bahawa syarikat itu sengaja memperlahankan peranti model iPhone lama. - Gambar fail Reuters

SAN FRANCISCO: : Gergasi teknologi dunia, Apple berdepan sembilan saman selepas mengakui bahawa syarikat itu sengaja memperlahankan peranti iPhone 6, iPhone 6s, iPhone SE dan iPhone 7.

Lapan saman difailkan di California, New York and Illinois, dan satu di Israel.

Syarikat itu mengakui, kemas kini sistem operasi iOS 11-nya mengehadkan pembekalan kuasa dari bateri kepada peranti, sekali gus memperlahankan prestasi beberapa model iPhone lama.

Apple bagaimanapun menegaskan, kemas kini itu perlu bagi melindungi bateri model-model iPhone lama.

"Kuasa bateri lithium-ion semakin terhad apabila persekitaran sejuk, mempunyai caj rendah atau apabila ia makin berusia, yang boleh mengakibatkan peranti terpadam dengan sendiri untuk melindungi komponen elektronik di dalamnya," kata Apple dalam satu kenyataan minggu lalu.

"Tahun lalu kami mengeluarkan kemas kini untuk iPhone 6, iPhone 6S dan iPhone SE untuk mengawal sebarang perubahan mendadak kuasa apabila perlu untuk mengelakkan peranti terpadam dengan sendirinya," tambahnya.

Langkah itu mengundang kritikan pelbagai pihak, yang berkata Apple sepatutnya menawarkan penggantian bateri percuma yang boleh menyelesaikan masalah tersebut, dan bukannya mengeluarkan kemas kini sistem operasi yang mengehadkan kuasa bateri dan memperlahankan prestasi peranti.

Ramai juga mendakwa tindakan Apple sengaja dibuat menjelang pelancaran model iPhone baru, yang mungkin memaksa pelanggan membeli model baru yang dilancarkan untuk menggantikan peranti mereka yang semakin perlahan.

"Jika betul pengguna akan menggantikan bateri dan bukan membeli iPhone baru jika mereka mengetahui keadaan sebenar, mungkin ada dalil untuk mendakwa Apple menipu atau memanipulasi situasi," kata Rory Van Loo, professor di Universiti Boston yang berkepakaran dalam undang-undang pengguna.

Selain dari kenyataan yang dikeluarkan minggu lalu, Apple tiada memberikan sebarang respon lain berkenaan insiden ini.
Outbrain