'World Cup', 'SPR' dan 'Astro AWANI' menjadi tiga kata kunci paling trending dalam carian Google Malaysia untuk sepanjang tahun 2018.

Ketua Komunikasi dan Hubungan Awam, Google Malaysia , Zeffri Yusof berkata, tahun 2018 agak menarik untuk dilihat memandangkan hasil carian yang tular berbeza berbanding tahun sebelumnya.

"Kalau dilihat sebelum ini, kebanyakan carian trending membabitkan selebriti dan cerita gosip tetapi untuk tahun 2018, carian rakyat Malaysia lebih bersifat politik.

"Ia dibuktikan menerusi carian individu yang menyaksikan kebanyakan carian paling tinggi membabitkan ahli politik," katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Tambah Zeffri, berdasarkan data carian yang ditunjukkan membuktikan bahawa pengguna internet di Malaysia jauh lebih matang jika dibandingkan dengan kebanyakan negara ASEAN.

"Dengan lebih daripada 20 juta pengguna Malaysia memang menggunakan internet secara harian, tahap penggunaan online dan internet rakyat Malaysia kini hampir setaraf dengan negara-negara maju seperti Korea Selatan malah kebanyakannya pengguna di Malaysia menggunakan carian menggunakan smart phone," katanya lagi.

Bagi tahun 2019 pula, Zeffri menyifatkan jenis carian yang mungkin menjadi perhatian bergantung kepada program mahupun aktiviti yang menjadi perhatian ramai seperti pilihan raya kecil mahupun peristiwa bersejarah lain.

Malah, ketika ditanya mengenai trend tahun hadapan terutamanya dalam bidang perniagaan, Zeffri menyifatkan wujud perkembangan positif dalam kalangan komuniti perniagaan di Malaysia.

"Perubahan dan perkembangan Google daripada sebuah enjin carian kepada enjin cadangan juga menjadikan kebanyakan perniagaan di Malaysia memanfaatkan teknologi ini.

"Jadi, untuk bisnes di Malaysia telah mula menggunakan senarai yang telah kami berikan serta aplikasi-aplikasi lain yang mesra perniagaan," tambahnya lagi.

Berikut ialah senarai ‘Setahun dalam Carian Malaysia’ 2018 oleh Google Malaysia:

Carian Trending Malaysia 2018

Berita dan Peristiwa Trending Malaysia 2018

Individu Trending Malaysia 2018

Sumber Berita Trending Malaysia 2018
Black Panther jadi Filem Trending 2018
Siri Televisyen Trending Malaysia 2018

Telefon Bimbit Trending di Malaysia 2018

Muzik Trending Malaysia 2018