Laman sosial Twitter bakal menambah panjang aksara yang dibenarkan pada status yang dimuat naik pengguna tidak lama lagi.

Buat masa sekarang, Twitter hanya membenarkan muat naik status dengan maksimum 140 aksara.

Twitter yang dimulakan pada tahun 2006, pada mulanya diwujudkan sebagai servis khidmat pesanan ringkas (SMS). Status di Twitter dimuat naik pengguna menerusi SMS dan kemaskini status rakan akan boleh dilihat melalui SMS.

Jumlah 140 aksara itu adalah kerana ruang tulis yang terhad pada SMS.

Bukan setakat itu sahaja, Twitter juga dikhabarkan akan menggugurkan had aksara pada mesej peribadi (private message), selain menukar beberapa ciri pada laman tersebut untuk membolehkan satu status menerima lebih banyak komen.

Namun ada juga yang berpendapat perubahan ini akan menghilangkan keaslian Twitter yang digemari kerana ciri pantas, pendek dan tepat yang menjadi kelebihannya.

Setakat ini, belum ada kepastian bila pembaharuan ini akan dilaksanakan.