Pusat Inovasi 5G (IC5G) yang pertama di Malaysia dilancarkan hari ini dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ericsson.

Diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, UTM-Ericsson IC5G menampilkan ciri inovasi 5G, sebuah makmal penyelidikan 5G dan ruang pembelajaran di kampus UTM Kuala Lumpur (KL), yang dijangka memanfaatkan kira-kira 2,000 pelajar daripada institusi dan industri di Malaysia.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata inisiatif seumpama itu amat menggalakkan, tatkala Malaysia mengambil langkah lebih dekat untuk menjadi Negara Pintar Digital menjelang 2020.

"Pusat ini juga akan menjadikan Malaysia berada di kedudukan lebih baik dalam barisan hadapan 5G dan antara negara peneraju transformasi ekonomi berasaskan teknologi di rantau Asia Tenggara dan Oceania," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pusat itu di UTM KL, di sini.

Turut hadir Naib Canselor UTM Prof Datuk Dr Wahid Omar dan Ketua Ericsson Malaysia dan Sri Lanka, Todd Ashton.

Sementara itu, Ashton berkata pembukaan IC5G akan membantu merealisasikan visi masyarakat rangkaian di Malaysia, dengan setiap orang dan industri diperkasakan untuk mencapai potensi diri mereka sepenuhnya.

"Di peringkat global, 5G dijangka memulakan pelaksanaan secara komersial pada 2020,dan sebagai komitmen jangka panjang bagi Malaysia dan warganegaranya, kami membawakan teknologi canggih dan ilmu terkini," katanya.

IC5G akan mempunyai tiga fungsi utama, terdiri daripada pameran inovasi 5G, makmal penyelidikan dan ruang pembelajaran.

Ericsson dan UTM akan mempamerkan 18 demonstrasi membabitkan robotik, transformasi Internet of Things (IoT), Augmented Reality (AR) dan 5G bagi industri. - Bernama