SELEPAS 40 hari manifesto Pakatan Rakyat dibentang, kali ini tiba giliran Barisan Nasional membentangkan janjinya kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang tarikhnya akan ditetapkan pada Rabu ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak menjadikan lebih 40 ribu hadirin di Stadium Putra Bukit Jalil serta jutaan lagi yang menonton di hadapan televisyen terpaku ketika membaca satu demi satu janji yang akan direalisasikan oleh BN jika diberi kepercayaan sekali lagi memerintah negara.

Istimewanya, Najib tidak menggunakan perkataan manifesto sebaliknya memperkenalkan istilah 'akujanji'. Apa yang beliau bentangkan itu adalah janji kepada rakyat untuk meminta semula mandat bagi BN bagi penggal lima tahun yang akan datang.

Ia memberikan satu dimensi yang berbeza kepada rakyat selepas Pakatan Rakyat awal-awal 'cucuk jarum' pada 25 Februari lepas dengan membentangkan janji-janjinya jika diberi peluang memerintah negara.

Manifesto yang dibentangkan oleh kedua-dua pihak itu adalah bayangan kepada apa yang akan rakyat nikmati selepas PRU-13 nanti. Ia ibaratnya hadiah kepada rakyat atas kepercayaan atau mandat yang akan mereka berikan melalui undi.

Sebenarnya, mana-mana pihak boleh membentangkan manifesto masing-masing tetapi keputusan akhir ialah pada tangan pengundi yang akan memilih kerajaan pada hari pengundian nanti.

Mana manifesto yang lebih baik adalah hak pengundi untuk menentukan. Itu risiko yang harus ditanggung oleh rakyat selepas memberi kepercayaan kepada parti pilihan mereka. Jika positif baguslah, namun jika sebaliknya, entahlah!

Selepas Pakatan Rakyat dan BN membentang manifesto masing-masing, rakyat kini akan membandingkan janji-janji mereka sehinggalah hari mengundi nanti.

Parti-parti yang bertanding, penganalisis politik dan media selepas ini akan membuat perbandingan mengenai manifesto tersebut yang pada dasarnya akan membantu rakyat untuk memilih tawaran manakah yang lebih baik demi masa depan rakyat dan negara.

Kedua-dua pihak sudah menyenaraikan pakej yang disifatkan terbaik untuk rakyat. Apa yang akan membezakan antara kedua tawaran itu ialah sejauh mana kebolehpercayaan pengundi terhadap janji-janji itu, dan politik adalah persoalan persepsi.