PEMBUBARAN Parlimen pada hari ulang tahun keempat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memerintah negara bukan sesuatu yang mengejutkan. Bagi saya, ia sesuatu yang normal dan sudah boleh dibaca.

Walaupun banyak pihak 'bising' dan menuduh Najib terlalu lambat membubarkan Parlimen — kata mereka ia seharusnya dibuat sejak Jun tahun lepas lagi, saya tetap menganggap tidak salah bagi pemimpin nombor satu negara itu untuk baru mengumumkan pembubaran tersebut.

Lagipun banyak ganjarannya kalau semua bersabar, jangan gopoh — bukankah bersabar separuh daripada iman?

Tentu Najib sendiri mahu memberi hadiah kepada rakyat pada hari ulangtahunnya menjadi Perdana Menteri, dan pengumuman pembubaran merupakan hadiah paling bermakna kepada rakyat yang memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk memerintah negara walaupun majoriti pada pilihan raya 2008 kurang dua pertiga.

Sekarang isu bubar sudah selesai; parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan kini sibuk pula meletak calon di kawasan tertentu. Ada yang mengambil keputusan tengok dulu siapa calon lawan baru umum calon sendiri, ada juga yang merancang strategi kempen dan cara menawan pengundi.

Walauapapun, pembubaran merupakan simbol mula perang antara dua parti. Memang tiada senapang atau mortar digunakan namun perang poster dan pendedahan pelbagai skandal lama individu tertentu oleh pihak berkenaan sebenarnya merupakan taktik pembunuhan yang kejam.

Dalam perang saraf politik, ia dipanggil pembunuhan karakter.

Apapun, mana-mana parti perlu mengambil pendekatan lebih bijak kali ini untuk menawan pengundi.

Pengundi bukannya bodoh dan boleh diperkotak-katikkan dengan ayat-ayat manis lagi. Ini zaman siber; semua rujukan boleh dibuat sekelip mata walaupun tahap kepercayaan kepada isi kandungan di alam maya boleh dipertikaikan namun jika diulang-ulang ia tetap masuk ke dalam otak.

Sekali lagi dalam perang saraf politik, taktik ini dikenali dengan nama 'pengulangan'.

Tiada lagi alasan untuk tidak menggunakan kemudahan Internet sebagai medium penyebaran propaganda kempen politik. Tambahan pula, penubuhan kampung-kampung tanpa wayar pasti sudah dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk.

Pada pilihan raya umum kali ini, saya rasa akan ada banyak isu yang terdedah. Parti-parti politik pasti menyimpan 'peluru' dan menembak pada masa yang sesuai — pasti 'nuklear' dilepaskan dua malam sebelum hari mengundi kelak.

Tidak kiralah apa juga senjata atau mekanisma yang akan digunakan, tujuannya hanya kemenangan.

Bagi saya, untuk permulaan selepas bubarnya Parlimen, parti politik harus menggunakan pendekatan terbaik untuk memancing minat pengundi kepada manifesto yang akan dibentang.

Harus diingat, mood pengundi boleh berubah dengan satu 'klik' tajuk berita di alam siber.

Pilihan raya kali ini bukan sahaja ibu kepada segala pilihan raya tapi tidak keterlaluan jika secara peribadi saya simpulkan, keputusannya nanti merupakan penanda aras sokongan rakyat yang susah untuk diubah sekurang-kurangnya untuk tiga atau empat kali pilihan raya selepas 2013.

Siapa yang menang akan menjadi nasi — menjadi makanan ruji rakyat sehari-hari. Pandai-pandailah parti yang menang kelak mempelbagaikan hidangan nasinya sama ada nasi campur, nasi minyak atau nasi beriyani mengikut cita rasa rakyat.

Bagi parti yang kalah, saya andaikan pasti jadi bubur — sajian orang sakit yang harus ditelan sekurang-kurangnya untuk empat tahun selepas 2013.