Cerita penyokong bola sepak yang fanatik kepada pasukannya bukan kisah asing bagi peminat sukan itu.

Kalau di luar negara,ada yang sanggup berbunuh-bunuhan seandainya ada yang mengutuk pasukan kegemaran mereka.

Tak apalah, siapa tahu mungkin penyokong itu ada hubungan persaudaraan atau 'bau-bau bacang' dengan pemain itu sehingga 'tersentuh' sangat jika ada orang yang mengutuk.

Kisah itu tidak jauh beza di negara kita. Ada juga penyokong Liga Perdana Inggeris di sini sanggup bergaduh jika ada orang yang mengutuk pasukan mereka walau kita sangat pasti mereka memang tidak mempunyai sebarang tali persaudaraan dengan pemain di sana.

Daripada pemerhatian saya, biasanya peminat fanatik bola sepak ini kebanyakannya penyokong pasukan Manchester United (MU).

Tidak dinafi ada juga penyokong fanatik dari pasukan Chelsea, Liverpool ,Arsenal dan lain-lain namun hakikatnya penyokong MU ini ada 'anginnya' yang tersendiri.

Mungkin gah kerana pasukannya mempunyai barisan pemain-pemain handalan dunia atau jumlah penyokongnya kini yang mencecah 659 juta di seluruh dunia - itu saya tidak tahu.

Apa yang saya tahu, saya sendiri ada seorang kawan yang fanatik MU, pantang ada perlawanan dia akan memakai jersi MU, jam MU, topi MU, (mungkin juga boxer MU), duduk di depan skrin projektor kedai mamak dan memekik-mekik nama pemain MU yang 'menggentel' bola - jadi kita biarkan dia dengan dunianya.

Cuma sedikit yang kurang sedap dan tidak elok dicontohi, dia jenis yang suka bertaruh dan sanggup menumbuk sesiapa sahaja yang berani mengutuk pasukan kegilaannya itu.

Penyokong parti juga sudah mula jadi fanatik menjelang hari penamaan calon sama seperti peminat pasukan bola sepak dalam Liga Perdana Inggeris.

Ia jelas terbukti dari cerita dan penjelasan isu tidak kiralah di laman sosial, kedai kopi, pejabat atau kawasan kejiranan - di dahi semua seolah-olah sudah terukir bendera parti yang akan dipangkah pada hari mengundi nanti.

Mungkin itu bahana kibaran bendera parti yang sudah mula dipasang di mana-mana sahaja sekarang, jumlah ini juga akan berlipat kali ganda selepas hari penamaan calon.

Sahabat dari Lembah Pantai - antara kawasan panas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 baru-baru ini memaklumkan seorang anak muda hampir bergaduh dengan rakannya yang mempertikai kemampuan calon Barisan Nasional (BN) yang disebut-sebut akan bertanding di sana.

Perbualan yang pada mula hanya membanding-banding kebaikan penyandang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dengan calon yang akan bertanding itu diakhiri ketegangan dan emosi selain terpaksa ditenangkan beberapa orang di warung nasi lemak itu - saya yakin banyak lagi kes seumpama itu di seluruh negara.

Kerana itu politik ini 'ketagihnya' sama sahaja macam bola sepak. Penyokongnya juga 'totok' sama macam peminat sukan itu sendiri. Fanatik bola dan politik juga lebih kurang sama sahaja.

Saya tidak sabar menunggu hari mengundi kelak,rasanya mesti sama macam perlawanan akhir bola sepak yang ditunggu-tunggu penyokong pasukan yang bertanding.

Bezanya tiada pondok panas pada PRU ke-13 kali ini. Saya tidak dapat membayangkan entah apa agaknya suasana pada perlawanan akhir (waktu pengundian) yang bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang nanti. - mungkin tenang dan mungkin juga kelam-kabut.

Apa-apa pun, penyokong parti perlu berhemah sepanjang minggu ini. Jangan sampai bertumbuk walau tidak dinafikan perlu dibuat perbincangan atau bertekak untuk mempertahankan calon pilihan mereka.

Biarlah suasana di kedai kopi pada waktu malam sehingga dinihari sepanjang 3 minggu ini meriah dengan penyokong parti-parti bertanding,bincanglah semuanya secara berhemah. Saya tidak mahu fanatik ala penyokong bola sepak Liga Perdana Inggeris meresap dalam kempen politik PRU kali ini - buruk padahnya.

Sedikit risiko juga dengan khabarnya ramai muka-muka baru dan muda akan menjadi calon PRU, pasti ada sedikit perubahan dari segi pendekatan kempen dan formasi serangan atau bertahan yang bakal diaplikasi - mungkin ada yang guna cara baru dan hiper 'macam' penyokong fanatik bola sepak Liga Perdana Inggeris!

Dua perkara paling penting yang saya mahu tekankan kepada penyokong parti seminggu sebelum hari penamaan calon terus ke hari terakhir kempen;

Yang pertama boleh fanatik dan 'extreme', boleh bertekak dan berbincang secara bijak tapi jangan sampai bergaduh dengan parti lawan. Kita perlu jadi profesional dan tolak taktik kempen kebudak-budakan atau tidak matang walau difinisinya berbeza bergantung kepada pembaca itu sendiri.

Yang kedua pula ialah ;

"Saya bukan penyokong Manchester United!"