Tutup

Zulbahri Ibrahim

Kg Bahagia, Kuala Krai

Mereka yang bertungkus-lumus berkorban untuk keselesaan orang lain. Mereka yang meninggalkan keluarga kerana tugas dan tanggungjawab.

Demi Rakyat

Sebuah perahu panjang berisi muatan pelbagai jenis barang keperluan asas seperti beras, sardin, uncang teh, biskut dan gula bergerak laju melawan arus Sungai Kelantan.

Perahu itu melaju ke Kampung Bahagia, sebuah perkampungan kecil di pinggir Sungai Galas. Ia membawa bekalan bagi menghadapi musim banjir yang semakin hampir.

Bunyi kasar enjinnya begitu bingit sehingga kalau hendak berbual perlu menjerit dan berada dekat antara satu dengan yang lain. Mengiringi perahu panjang itu ada sebuah bot bomba yang dinaiki empat orang anggota dan seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pegawai JKM itu namanya Zulbahri Ibrahim, tetapi semua orang memanggilnya dengan nama Zul. Dia anak jati Kuala Krai yang baru lebih kurang setahun setengah pulang untuk berkhidmat di pekan kelahirannya. Sebelum itu, dia sudah berkhidmat selama 25 tahun di jabatan yang sama di Pasir Mas dan Jeli.

November setiap tahun adalah bulan yang paling sibuk bagi Zul dan anggota kakitangan JKM di Kuala Krai dan juga di seluruh Kelantan. Mereka memulakan gerak kerja persiapan berdepan banjir seperti menyenaraikan lokasi pusat pemindahan sementara dan mengagihkan bekalan bantuan ke pangkalan hadapan.

Ada 50 pangkalan hadapan merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah jajahan Kuala Krai iaitu Guchil, Manik Urai, Dabong dan Mengkebang. Ia bertindak sebagai pusat pengumpulan bekalan keperluan asas sebelum diagihkan kepada 105 pusat pemindahan di jajahan tersebut apabila berlakunya banjir.

Sungai Kelantan terbentuk dari pertemuan dua buah sungai besar iaitu Sungai Galas dan Sungai Lebir. Sesampainya di persimpangan itu, rombongan membelok ke kanan menyusuri Sungai Galas.

Pemandangan hijau menghiasi sepanjang perjalanan itu. Beberapa perkampungan kecil juga kelihatan di bahagian tebing semasa menongkah arus sungai yang masih tenang.

"Dulu lain semua ni. Kalau kamu datang waktu banjir baru lepas surut, semua kelabu... lumpur kering. Daun pun tak ada, batang-batang kayu sahaja," beritahu Zul sambil menunjukkan beberapa klip video dan foto pada telefon genggamnya yang menggambarkan pemandangan suram itu.

45 minit kemudian, perahu mulai memperlahan setelah menghampiri jeti Kampung Bahagia. Dari jeti, Zul dan rombongan mendaki kira-kira 15 meter anak tangga pada tebing curam. Dekat dengan tebing, ada sebuah warung minum yang juga menjual barang runcit.

Matahati terik membuatkan Zul mengambil keputusan untuk berehat minum dahulu sebelum memulakan kerja memunggah bekalan dari perahu. Dia dan pasukan seramai sepuluh orang itu menyertai kumpulan penduduk kampung yang sedang minum di kedai itu.

"Hujung tahun macam ni susah kami nak dapat bercuti dengan anak-anak. Semua boleh kata dibekukan. Tapi dah kerjanya macam ni, layankan sajalah.

"Tahun ini persiapannya lebih baik dan lebih awal berbanding tahun lepas. Kita tak nak kesilapan tahun lepas berulang lagi," ujar Zul.

Biasanya, bekalan akan dihantar ke pangkalan hadapan menjelang hujung November. Bagaimanapun iktibar daripada musibah tahun lepas, semua penghantaran bekalan selesai dalam minggu pertama sahaja.

Menceritakan pengalamannya menguruskan kebajikan penduduk Kuala Krai semasa banjir besar 2014, Zul mengakui ia pengalaman terhebat sepanjang berkhidmat dengan agensi kerajaan itu.

Walaupun pernah berdepan keadaan yang hampir sama ketika berkhidmat di Pahang pada 2007, ia tidak sedahsyat di Kelantan pada 2014.

"Siapa pun tak menduga skala banjir tahun lepas itu. Kami di JKM mengalami kesulitan dari segi aset dan bekalan bantuan. Apa yang ada tidak cukup untuk menampung mereka yang memerlukan.

"Siang malam bekerja. Seminggu jugalah kami berkampung di pejabat... mujur air tak naik sampai sini," ceritanya.

Kerisauan pada ketika itu tidak lagi kepada harta benda dan rumah mereka yang ditenggelami air, tetapi kepada mangsa banjir yang memerlukan tempat berteduh dan makanan untuk terus hidup.

Pada masa sama, dia turut berdepan dengan pelbagai kerenah masyarakat.

"Ada juga yang sukar untuk memberi kerjasama. Ketika kami mendapat berita air naik lebih tinggi daripada biasa dan diarahkan untuk membantu penduduk kampung berisiko berpindah, ada yang tidak mahu ikut.

"Terutamanya di kawasan yang tidak pernah dilanda banjir, mereka yakin rumah mereka tidak tenggelam. Sudahnya bila air dah makin naik dengan cepat, baru minta kita tolong.

"Masa tu dah susahlah, air pun dah deras, aset kami juga terhad. Tapi nak tak nak, memang kenalah tolong," katanya.

Kerana itu, Zul dan rakan-rakan terpaksa meninggalkan keluarga buat seketika. Walaupun sedang sibuk bertugas, ingatan tidak pernah lekang kepada isteri dan anak-anak.

"Mujur anak isteri awal-awal dah balik kampung, ke rumah ibu mertua di Tumpat sebelum banjir berlaku. Di sana tak seteruk Kuala Krai, jadi saya taklah risau sangat.

"Cuma tak dapat nak telefon saja sepanjang seminggu lebih sebab talian terputus," katanya.

Zul dan keluarga kini menetap di Kampong Tengah, Kuala Krai selepas isterinya yang bertugas sebagai guru dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Kampong Tengah. Ketika banjir tahun lepas, dia dan keluarga menetap di kuarters guru SK Mempelam Jelawang di Dabong.

"Hari kelima selepas air naik baru saya tahu rumah saya tenggelam, itu pun daripada makluman rakan-rakan yang bertugas di kawasan itu.

"Sehinggalah pada hari kelapan, baru saya dapat telefon keluarga dan kami pulang ke kuarters. Nasib baik ada sukarelawan datang, dari Perlis ketika itu datang tolong bersihkan rumah kami dan jiran," ceritanya.

Untuk tahun ini, Zul yakin pihaknya cukup bersedia dari segi aset dan bekalan bantuan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. Pada masa sama, dia turut mengharapkan kerjasama dapat diberikan oleh penduduk bagi memudahkan tugas pihak berkuasa.

"Kami telah korbankan masa dan tenaga demi anda. Mohon janganlah disia-siakan pengorbanan tersebut," ujarnya.

Menyedut habis teh o aisnya dari gelas, dia bingkas bangun untuk memulakan kerja setelah langit meredup. Satu demi satu kotak bantuan dipunggah oleh Zul dan pasukannya dari bot naik ke tebing sebelum dimuatkan pada belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

"Okay, jalan!" teriaknya dari tempat duduk penumpang kenderaan tersebut sebelum beredar menuju balai serbaguna yang dijadikan tempat simpanan bekalan di tengah kampung itu.

Kredit

Israr Khalid

Reported by

Israr Khalid

Shahir Omar

Photos by

Shahir Omar

Wildan

Videos by

Hairul Wildan

Fira Anuar

Graphics & Design by

Fir'anah Anuar

aimanb

Web Development by

Aiman Baharum