Tutup

Azami Harun, 51

Kampong Manjur, Kuala Krai

Dia kematian dua anaknya yang lemas di sungai. Tiga tahun kemudian, sungai yang sama menenggelamkan seluruh kampungnya.

Membina Harapan Baru

Azami Harun duduk keseorangan di hadapan rumahnya sambil menghisap rokok John. Di hadapan rumahnya, ada selonggok bancuhan simen di atas lantai. Dia sedang membina loteng batu di atas rumah satu tingkatnya itu, sebelum terik matahari tengahari memaksanya berehat seketika.

Tubuhnya kurus, tetapi tegap. Raut wajah lelaki 51 tahun itu tenang sambil jari-jemari kasarnya sesekali mengetis abu rokok. Apabila dua orang cucunya selang-seli datang menerpa, dijauhkannya rokok itu dari capaian mereka.

Banjir besar musim tengkujuh 2014 menenggelamkan seluruh Kampong Manjur di Kuala Krai dan memusnahkan sebahagian besar rumahnya, terutamanya bahagian loteng yang diperbuat daripada kayu.

"Habis semua. Atap zink, struktur kayu dalam rumah semua punah. Nasib baik bahagian bawah ini batu. Kalau tidak memang satu rumah musnah," katanya mengenang peristiwa banjir setahun yang lalu.

Azami bersama isteri tinggal di rumah tersebut lebih daripada 30 tahun. Tanahnya adalah pusaka daripada keluarga isterinya. Kini, mereka ditemani dua orang anaknya dan tiga orang cucu.

Sudah menjadi kebiasaan, kawasan itu dinaiki air setiap tahun. Namun peristiwa pada Disember 2014 itu merupakan sesuatu yang amat luar biasa.

Ketika itu isterinya sedang mengerjakan umrah sementara anak-anaknya berada di luar Kelantan. Dia berseorangan.

Sebelum ke masjid untuk solat Zohor, dia ke sungai yang terletak kira-kira 20 meter di belakang rumahnya untuk memacakkan kayu tanda pada gigi air, seperti yang sering dia lakukan setiap kali hujan lebat.

"Pulang dari masjid, tengok-tengok air sudah naik hingga tujuh kaki. Dalam hati berkata, 'ini memang nak banjir besar'. Baru sejam. Selalunya dalam tiga atau empat jam, air hanya naik kira-kira dua kaki sahaja," katanya menceritakan detik permulaan musibah itu.

Alir ceritanya terganggu seketika apabila cucu-cucunya datang semula mendekatinya untuk bermanja. Dia melayan seketika kerenah anak-anak kecil itu sebelum seorang daripadanya dia angkat dan dipangku pada ribanya.

Hampir dua minggu setahun yang lalu Azami menumpang teduh di rumah rakan di kampung berhampiran sebelum berpindah ke khemah yang di bina di kawasan bukit kira-kira 500 meter dari rumahnya. Tiada pusat pemindahan banjir untuk penduduk Kampong Manjur dan kampung berhampiran.

Hasni Hassan hanya mengetahui keadaan suami dan rumah setibanya di tanah air dari Jeddah pada 28 Disember. Sepanjang di Mekah, tiada sebarang perkhabaran khusus, cuma berita daripada rakan-rakan jemaah bahawa banjir sudah mula melanda Malaysia.

"Tapi saya taklah begitu cemas sebab sudah biasa banjir, cuma tak berkesempatan hubungi suami sehinggalah tiba di KLIA," katanya.

Apabila kesempatan itu tiba, di hujung talian telefon dia mendengar sebak suara suaminya yang tenggelam dalam tangisan: "Rumah kita sudah tiada… Rumah kita sudah tiada…"

Hasni mahu pulang segera. Dia mahu bersama-sama suaminya menempuh ujian daripada Tuhan yang cukup besar ini. Tetapi apakan daya, laluan jalanraya untuk masuk ke Kelantan terputus kerana air naik di mana-mana. Dia terpaksa menunggu sehingga lima hari kemudian sebelum dibenarkan pulang ke rumah setelah air surut sepenuhnya pada 2 Januari 2015.

Rasa gembira dan pilu bercampur baur tatkala dapat kembali dan menyaksikan sebahagian besar rumah masih berdiri teguh di tapaknya. Hasni menceritakan semula detik-detik itu sambil matanya bergenang menakung air mata yang hendak mengalir.

"Pilu sungguh hati ini melihat keadaan rumah ketika itu. Selut hampir setinggi paras lutut. Banyak yang musnah. Banyak juga kerja yang kena dibuat.

"Tapi buat apa nak terus bersedih lagi? Kalau ikutkan perasaan, satu kerja pun tak jalan. Hidup perlu diteruskan," kata Hasni.

Masih kelihatan sisa lumpur kering yang belum dapat dibersihkan sepenuhnya pada kekuda atap luar dan beberapa bahagian tinggi sekitar rumah yang sukar dicapai. Dalam stor di sebelah kanan rumahnya, dua motosikal jenis Yamaha RXZ dan Honda C70 bersalut lumpur kering terdampar tidak berfungsi.

Hilang letih, lelaki berusia separuh abad itu kembali naik ke loteng untuk menyambung kerjanya. Beberapa biji batu binaan yang tinggal disusun sebelum disimen.

Selain menyara kehidupan sebagai jurubina, dia juga mengambil upah menorah getah. Isterinya tidak bekerja, hanya menjaga cucu-cucu di rumah.

"Saya memulakan kerja membina loteng batu ini awal Oktober. Cadangnya nak siapkan sebelum Disember, tapi bahan sering tidak cukup. Bila ada duit sikit baru beli barang sikit-sikit. Jadi lambatlah nak siap," keluhnya.

Loteng itu dibina bersama dua ruang bilik tidur dan sebuah bilik stor. Dindingya sudah siap, cuma belum disimen kemas sementara bahagian bumbung masih terbuka, menampakkan langit biru petang yang cerah. Boleh kata sudah sekitar 70 peratus siap.

"Bila saya sibuk nak siapkan loteng ni, saya tak ambil upah untuk baiki atau bina rumah orang lain. Nak menoreh pun sekarang dah masuk musim tengkujuh. Jadi pendapatan sedikit terganggu.

"Tapi rezeki itu ada di mana-mana. Mujur ada anak-anak membantu sikit-sikit. Nak harapkan bantuan memang tak cukup. Kita ikhtiarlah mana yang termampu," katanya.

Matanya merenung ke arah Sungai Lebir di belakang rumahnya. Sambil itu ingatannya melayang ke satu hari pada 2011. Dua orang anak perempuannya mati lemas ketika mandi di sungai itu. Tiga tahun kemudian, air bawaan sungai itu jugalah yang menenggelamkan seluruh kampungnya.

Langit di Kampung Manjur masih biru berawan, tetapi segerombolan awan gelap sudah kelihatan bertumpu di langit kawasan hulu sungai. Dari atas loteng separuh siap itu kelihatan air sungai berwarna seakan teh susu mengalir deras, membawa sisa-sisa kayu. Parasnya meningkat. Mungkin hujan lebat di sebelah sana.

Ini bukan pemandangan yang asing. Setiap tahun, itulah yang dihadapi oleh Azami dan juga rakyat Kelantan yang lain. Banjir bukan sesuatu yang asing lagi. Cuma tiada siapa yang mampu menduga skala banjir yang bakal ditempuh.

Pernah juga terlintas dalam fikirannya untuk berpindah, tetapi hatinya berat untuk meninggalkan rumah yang didiaminya itu.

"Kalau nak pindah pun, nak ke mana? Di sini sahajalah tempat yang kami sekeluarga ada. Selagi ada kudrat, kita ikhtiar. Selebihnya terserah kepada Dia," ujar Azami sambil menyalakan sebatang lagi rokok.

Kredit

Israr Khalid

Reported by

Israr Khalid

Shahir Omar

Photos by

Shahir Omar

Wildan

Videos by

Hairul Wildan

Fira Anuar

Graphics & Design by

Fir'anah Anuar

aimanb

Web Development by

Aiman Baharum