Tutup

Hamzah Husain

Kg Manek Urai Baru, Kuala Krai

"Siapa yang hendak tolong saya bertukang dan bina semula semua ini? Saya dah tua, tak larat buat seorang diri."

Penebar Roti

Pok Jah melumurkan minyak pada meja sebelum mencekut seketul adunan tepung dari besen.

Dilenyek-lenyeknya tepung itu lalu dicanai. Seketul demi seketul tepung dicanai dan digoreng mengikut pesanan pelanggannya.

Bau roti canai goreng garing memenuhi ruang warungnya. Hidangan roti canai disertakan kuah kari. Di atas setiap meja, ada sebekas gula untuk dimakan bersama roti mengikut cita rasa.

Selesai menebar roti dan tiada lagi pesanan baru dibuat, Pok Jah membersihkan tangannya yang berlumur minyak sebelum duduk dan menyalakan sebatang rokok. Matanya merenung jauh, memerhatikan kenderaan lalu-lalang melepasi warungnya.

Pok Jah atau nama sebenarnya, Hamzah Husain amat dikenali oleh penduduk Manik Urai dengan nama Pok Jah Roti Canai. Sejak turun temurun bermula dari bapanya, Pok Jah menjual roti canai selain meniaga runcit secara kecil-kecilan.

Perniagaan keluarganya bermula di Manik Urai Lama, tempat dia dan keluarganya menetap di kampung itu. Ia kemudian diteruskan oleh Pok Jah yang kemudiannya berpindah ke Manik Urai Baru setelah anak-anaknya meningkat dewasa. Rumah di Manik Urai Lama itu kini didiami oleh anak lelakinya.

Lebih 20 tahun Pok Jah menetap di atas tanah rizab yang terletak di selekoh sebelum jambatan utama menghubungkan Manik Urai Baru dengan Manik Urai Lama yang dipisahkan oleh Sungai Lebir. Jaraknya hanya kira-kira 50 meter dari tebing sungai.

Bersama rumah, Pok Jah dirikan warung roti canai. Selain roti canai, warungnya turut menyajikan nasi berlauk yang dimasak oleh isterinya, serta barangan runcit asas seperti sos, kicap, telur, bawang dan makanan ringan.

Kehidupan Pok Jah dan isteri disara sepenuhnya oleh perniagaannya ini. Roti canai dijual dengan harga RM1 bagi setiap keping, dan mampu terjual sekitar 50 keping setiap hari. Bersama keuntungan jualan nasi berlauk dan barangan runcit, ia memadai bagi menampung kehidupan mereka yang sederhana.

Manik Urai antara kawasan yang paling teruk mengalami kemusnahan dalam banjir besar 2014. Hampir keseluruhan rumah di Manik Urai Lama termasuk stesen kereta api hanyut dibawa air bah.

Rumah Pok Jah tidak terkecuali daripada dibadai air banjir yang deras, apatah lagi ia dekat benar dengan sungai.

"Di Kampung Manik Urai Baru ini, hanya rumah pakcik yang musnah. Penduduk lain semuanya berumah batu, jadi tidak besar kerosakannya," kata lelaki berusia 64 tahun itu, diselang seli batuk kecil. Dia menghidap semput dan sesekali kelihatan mengah ketika bercerita.

Semasa banjir, Pok Jah dan isteri berteduh di Klinik Desa Manik Urai selama seminggu sebelum bergerak dan menumpang di sebuah rumah milik adiknya di Gua Musang selama lebih sebulan. Hanya selepas bekalan air dan elektrik disambung semula, barulah Pok Jah dan isteri kembali ke rumah.

Malang sekali, rumahnya tidak lagi boleh dihuni. Seluruh bahagian yang diperbuat daripada kayu termasuk dinding dan atap sudah tiada, yang ada hanya lantai dan sebahagian binaan yang dibina daripada batu.

Dia juga terlepas daripada mendapat bekalan bantuan kemanusiaan. Ini kerana semasa Pok Jah berada di Gua Musang, pelbagai badan dan agensi sedang rancak membantu dan mengagihkan bantuan kepada penduduk yang terjejas.

Mujur adik iparnya bermurah hati untuk menampung kos baikpulih warung selain memberi sedikit modal untuk Pok Jah dan isteri memulakan kehidupan dan kembali menjalankan perniagaannya.

Bagaimanapun setelah hampir setahun musibah itu berlalu, rumahnya masih belum mendapat pembelaan sewajarnya ketika kebanyakan rumah yang musnah telah dibina semula. Malah, sedikit bantuan berbentuk bahan membaiki rumah seperti kayu dan atap zink tidak dia terima.

"Masa baru-baru banjir surut, ada lori datang bawa kayu, simen, atap zink datang dan letak barang-barang itu di depan rumah saya. Beberapa hari kemudian dia ambil semula. Saya pun tak tahu kenapa.

"Ada juga saya tanya ketua kampung. Tak tahulah, sampai hari ini senyap, tak ada berita," beritahu Pok Jah selepas menghirup air teh susunya dari cawan kaca.

Sejak itu, setiap malam Pok Jah dan isterinya tidur di satu sudut warung yang telah diubah suai menjadi bilik kecil. Ia cukup untuk memuatkan katil bersaiz ‘queen’ dan sedikit ruang untuk menempatkan rak baju dan kipas meja.

Melihat kepada tapaknya, rumah Pok Jah agak luas. Rumah itu ada dua bilik tidur, ruang tamu dan ruang dapur serta tandas. Kini semuanya tinggal kenangan. Tempat mandinya hanya berdindingkan kepingan papan lama dan daun pintu buruk.

Pok Jah mengaku dia memang tidak mampu untuk membaiki sendiri rumahnya dengan pendapatannya sebagai penebar roti canai. Tambahan pula, anaknya yang duduk di Manik Urai Lama itu tak bekerja dan isterinya juga bergaji kecil. Namun, Pok Jah tidak pernah berputus asa.

"Ada duit sikit-sikit yang saya kumpul, saya beli kayu-kayu murah. Yang ini kelmarin ada orang jual murah, RM200 untuk tujuh batang. Saya belilah," katanya sambil menunjukkan beberapa batang kayu panjang yang tergeletak di tapak bekas rumahnya itu.

"Tapi difikirkan balik, siapalah yang nak tolong saya bertukang dan bina semula semua ini? Saya dah tua, tak larat nak buat seorang diri.

"Mungkin disebabkan rumah pakcik ini atas tanah rizab. Tapi takkanlah nak berkira sangat, bukan saya nak minta buat rumah besar pun. Ada dinding, ada atap, cukuplah," keluhnya.

Seketika kemudian, hujan mulai menitis. Anak perempuan bongsunya bergegas membantu Pok Jah mengangkat kain jemuran. Isterinya tidak ada di rumah kerana bersama rakan lain memasak di Manik Urai Lama.

Pok Jah sedar musim tengkujuh sudah mula melanda tanah air. Kebimbangan jelas terpancar di wajahnya. Namun Pok Jah yakin sekalipun banjir bakal akan tiba, ia tidak mungkin sebesar tahun lepas yang telah meragut kehidupannya.

Begitupun, Pok Jah tidak membuat persiapan apa-apa. Tiada kotak-kotak kosong atau beg plastik untuk mengisi barang penting, tiada perahu, jauh sekali menaiktaraf struktur kayu rumah warungnya supaya berdinding batu.

Bagi Pok Jah, masa depan tiada lagi baginya. Usianya sudah senja, tiada apa yang begitu berharga untuk diselamatkan melainkan dirinya, isteri dan anak yang baru tamat sekolah. Tiga anaknya yang lain sudah membawa diri mengikut haluan masing-masing.

"Nak buat macam mana, terpaksalah tinggalkan semua ini. Rugi sudah tentu."

Matanya merenung dalam warung kecilnya.

"Cuma kali ini saya lebih berjaga-jaga. Kalau air dah mula naik ke lantai, kami akan pindah. Surut banjir, kita balik bersihkan rumah, baiki mana yang termampu, dan teruskan kehidupan.

"Saya akan balik, kalau rumah ni ada lagi. Kalau dah tak ada, tak balik lah."

Hujan semakin melebat. Dia menyambung kerjanya -- menebar tepung roti canai. Sambil menebar sesekali dia menoleh ke arah sungai.

Kredit

Israr Khalid

Reported by

Israr Khalid

Shahir Omar

Photos by

Shahir Omar

Wildan

Videos by

Hairul Wildan

Fira Anuar

Graphics & Design by

Fir'anah Anuar

aimanb

Web Development by

Aiman Baharum