Tutup

Rosli Ab. Ghalib, 54

Kampung Jelawang, Dabong

Sebelum banjir datang lagi, dia menyusun kayu membangunkan sebuah pondok untuk berlindung menyelamatkan diri.

Pondok Atas Bukit

Rosli Ab. Ghalib yakin pondoknya yang dia bangunkan tidak jauh dari rumah tempat dia dan keluarganya tinggal dapat disiapkan pada hujung November, sebelum musim tengkujuh menggila mengirimkan banjir sekali lagi. Pengalaman buruk bah besar pada hujung 2014 mengajarnya untuk bersiap sedia. Sama ada banjir kali ini akan besar itu berulang atau tidak, dia kini sudah bersedia.

"Harap-harap pondok ini tak robohlah," kata Rosli.

Sewaktu kami mengunjunginya di rumahnya di Lorong Sungai Tupai di Kampung Jelawang, Dabong pada awal November lalu, pondok itu sudah separuh siap. Ukurannya 16x20 kaki ― teguh berdiri di atas sebuah bukit kecil di belakang rumah Rosli. Siapa sangka, pondok itu dibangunkan hampir seluruhnya oleh Rosli seorang diri dan hanya dibantu oleh anak lelakinya yang berumur 19 tahun yang sedang menanti panggilan masuk ke kolej.

Semasa musibah banjir besar pada 2014, rumah Rosli yang letaknya tidak jauh dari Sungai Stong hapus tenggelam. Walaupun terletak di atas lembah, air naik sehingga melepasi bumbung.

Rosli, 54 tahun, berasal dari Pasir Mas. Dia mula menetap di Kampung Jelawang sejak berkerja di kilang kayu Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) pada 1990. Tiga tahun kemudian, rezekinya murah. Dia dapat kerja jadi pemandu di Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.

Pada mulanya, dia menetap di kuarters KPK sebelum membeli rumah yang didiaminya sekarang bersama isteri dan empat orang anaknya pada 2011, menggunakan wang simpanan KWSP setelah mencapai usia 50 tahun. Rosli baru sahaja bersara pada April tahun ini.

"Tak laratlah nak keluar masuk hutan lagi, usia pun dah makin lanjut. Lagipun syarikat tawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dengan pampasan RM60 ribu, jadi saya ambil keputusan untuk berhenti kerja."

Selain wang pampasan sebagai sokongan meneruskan kehidupannya, Rosli turut mengusahakan 1.8 ekar tanah di hadapan rumahnya dengan menanam pisang. Tidaklah untuk mengaut keuntungan, tetapi cukup sekadar menampung kehidupan seharian dirinya dan keluarga serta membiayai pengajian dua orang anaknya yang masih bersekolah.

Mengimbau musibah setahun yang lalu, Rosli bercerita betapa itulah kali pertama rumahnya tenggelam sepenuhnya ditelan banjir.

"Kata tuan rumah sebelum ini, kali terakhir air naik tinggi adalah pada 1967. Itupun hanya takat paras jendela. Banjir tahun lepas memang pelik, air naik begitu laju.

"Apabila air mula sampai ke tangga depan rumah, saya dan isteri serta anak bongsu kami pindah ke tadika tempat isteri saya bekerja. Kemudian apabila air terus naik, kami pindah ke kuarters KPK dan akhir sekali menumpang di rumah rakan isteri saya dekat Masjid Gunung Stong," katanya.

Daripada cerita pengalaman pemilik rumah tua itu, Rosli membuat ikhtiar menyusun keping-keping papan antara kekuda atap rumahnya. Di situlah dia menyimpan beberapa perkakas penting sebagai persiapan menghadapi banjir setahun yang lalu.

Tetapi usahanya itu sia-sia apabila paras air terus meningkat. Semua harta-bendanya ditenggelami oleh air, kecuali set televisyen yang sempat dia selamatkan sebelum air mencecah atap.

"Waktu itu kami sudah berpindah ke tadika. Saya tiba-tiba teringat pada televisyen yang masih belum selesai dibayar. Cepat-cepat kami pinjam perahu dan bergegas ke rumah, bawa keluar televisyen saja. Yang lain tinggal," cerita isterinya pula sambil menuangkan air teh ais ke dalam beberapa biji gelas.

Rosli tidak minum, hanya memerhatikan kami menjamu hidangan air sejuk itu dan kuih kole kacang buatan sendiri sambil mengeluarkan sebatang rokok dari kotak yang tertera jenama yang tidak pernah kami lihat dijual di mana-mana kedai.

Belajar daripada pengalaman lepas, Rosli merasakan dia perlu berbuat sesuatu sebagai persediaan berdepan sebarang kemungkinan ketika musim tengkujuh tahun ini. Dia mula mendapat ilham untuk membina pondok setelah melihat longgokan beberapa kepingan kayu lama di bawah kolong rumahnya.

"Saya fikir memandangkan bukit di belakang rumah ini tak ditenggelami air tahun lepas, ada baiknya saya buat tempat untuk berteduh dan meletak barang berharga kalau-kalau banjir lagi.

"Bermula pertengahan Oktober, saya perlahan-lahan bina satu persatu bahagian. Daripada kerja meratakan tanah, membuat tungku asas simen sehinggalah memasang atap zink, semuanya saya lakukan sendiri.

Sewaktu kami menemuinya, pondok itu sudah 50 peratus siap. Hanya bahagian lantai yang belum dipasang penuh dan dinding yang baru dibuat rangka. Oleh kerana Rosli hanya menggunakan kayu-kayu terpakai, kos pembinaannya pada masa itu hanya melibatkan kira-kira RM800.

Pagi itu dia tidak bertukang seperti kebiasaannya. Selalunya dia akan mula bertukang dari pagi, berehat seketika untuk makan tengahari sebelum kembali bertukang hingga terbenam matahari. Pagi itu perutnya sedikit meragam.

Pada awalnya dia bercadang untuk membina pondok itu berserta bahagian dapur dan tandas. Namun memandangkan dirinya kini yang sudah tidak ada pendapatan bulanan, hasrat itu terpaksa dia tangguh.

"Senang kalau ada kenduri atau saudara-mara datang menziarah, bolehlah mereka tidur di pondok ini. Insyallah kalau ada rezeki, saya buat sikit-sikit," jelas Rosli.

Sekeping demi sekeping papan disusun rapat membentuk lantai. Disebabkan kayu-kayu lama yang dikutip dari sana dan sini, lantai itu jadi tidak begitu rata dan kemas. Warnanya juga berbelak-belak.

Rosli terus tekun bertukang. Tidak lama berselang, anak lelakinya datang membawa naik sekeping demi sekeping papan panjang yang disandar pada kaki bukit. Papan-papan itu kelihatan baru. Menurut Rosli, kepingan kayu itu untuk dibuat dinding.

"Oleh kerana saya tak pandai, saya belajar daripada meneliti struktur binaan rumah saya sendiri selain berbual dengan rakan-rakan yang biasa bertukang. Ini pun dah terlajak besar saya buat," beritahunya.

Pondok itu memang nampak kukuh walaupun masih belum lengkap berlantai dan berdinding. Kerja tukangnya agak kemas. Sekali pandang, seperti langsung tidak ada cela. Semuanya kelihatan tegak dan semuanya berada di tempat yang sepatutnya.

"Sebenarnya saya tak pernah bertukang pun sebelum ini. Buat reban ayam pun senget!" akui Rosli sambil ketawa besar.

Kredit

Israr Khalid

Reported by

Israr Khalid

Shahir Omar

Photos by

Shahir Omar

Wildan

Videos by

Hairul Wildan

Fira Anuar

Graphics & Design by

Fir'anah Anuar

aimanb

Web Development by

Aiman Baharum