Tutup

Siti Nadia Che Pari & Nor Diana Rosli

Kg Bukit Abu, Jeli

Banjir memisahkan sementara dua remaja yang bersahabat di atas gerabak keretapi.

Sahabat Gerabak

Siti Nadia Che Pari dan Nor Diana Rosli sedang asyik berbual di sebuah warung bersebelahan stesen kereta api KTM Dabong.

Sesekali mereka bertepuk tampar, bergurau mesra. Sambil itu mereka membelek helaian muka surat buku teks tingkatan dua yang baru diperoleh di sekolah pagi tadi, mengisi masa sementara menantikan ketibaan tren untuk pulang ke rumah.

Kemesraan dan keakraban kedua-dua sahabat itu begitu jelas terpancar, bagai sudah mengenali antara satu sama lain sejak kecil. Namun persahabatan itu sebenarnya hanya bermula sejak setahun yang lepas.

"Kami berkenalan di dalam tren, semasa dalam perjalanan ke sekolah di Dabong. Sejak itu kami akan duduk bersama setiap kali menaiki tren pergi atau pulang dari sekolah", kata Nadia.

Mereka berdua tinggal di sebuah perkampungan kecil di ladang getah Bukit Abu. Jaraknya kira-kira 30 minit ke Pekan Dabong, dalam jajahan Kuala Krai. Dari simpang jalan utama ke Pekan Dabong, jalannya sejauh lima kilometer merentasi kawasan ladang getah yang beralun dan tidak berturap sepenuhnya.

Nadia membesar di kampung tersebut mana kedua ibu bapanya merupakan penoreh getah yang kini telah bersara. Kini pembiayaan sekolah Nadia dan perbelanjaan seharian mereka sekeluarga di kampung dibantu kakak sulungnya yang bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara Diana baru sahaja berpindah ke Kampung Bukit Abu dari Tanah Merah pada awal November 2014. Ibu bapanya juga penoreh getah yang membesarkan lapan orang adik beradiknya daripada hasil menoreh.

Setiap pagi, Nadia, Diana dan pelajar lain di kampung itu akan menaiki tren dari stesen kereta api KTM Bukit Abu yang tiba pada sekitar jam enam. Tren tersebut kemudian akan melalui stesen Kuala Gris sebelum tiba di Dabong.

"Tiba di Dabong, kami berjalan hingga ke sekolah bersama rakan lain dan membawa haluan ke kelas masing-masing.

"Kami tidak sekelas. Rumah kami pula agak jauh antara satu sama lain walaupun satu kampung. Jadi kami hanya akan berjumpa di dalam tren dan di stesen Dabong sementara menanti tren pulang tiba. Turun dari gerabak, kami membawa haluan masing-masing," cerita Diana.

Diana dan Nadia adalah pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong. Ia merupakan satu-satunya sekolah menengah yang terdapat di Dabong dan rata-rata pelajarnya berasal dari kampung-kampung sekitar seperti Bukit Abu dan Kuala Gris.

SMK Dabong menerima kesan yang agak teruk ekoran banjir besar tahun lepas. Seperti juga stesen kereta api Dabong, walaupun tidak mengalami kemusnahan besar, lumpur dan selut memenuhi setiap sudut bangunan. Ini kerana kedua-duanya terletak berhampiran titik pertemuan Sungai Pergau dan Sungai Galas, yang mana Sungai Pergau membawa air deras dari Gunung Stong.

Pada masa sama, persahabatan mereka turut diuji. Jarang sekali mereka berjumpa, apatah lagi berbual panjang dalam beberapa bulan selepas banjir reda akibat tergendalanya perkhidmatan kereta api.

"Apabila kereta api tak dapat berjalan kerana rosak ditenggelami air, kami masing-masing ke sekolah menunggang motorsikal. Kadang-kadang dihantar bapa atau abang,

"Memang susah nak berjumpa ketika itu. Habis waktu sekolah pun terus pulang ke rumah sebab perjalanan agak jauh berbanding menaiki tren." Perjalanan menyusuri jalan raya untuk ke Dabong dari Bukit Abu memakan masa hampir dua jam, sementara perjalanan menaiki kereta api hanya mengambil masa tidak lebih 30 minit.

"Jumpa di kampung pun tidak berapa kerap. Saya tidak memiliki telefon bimbit. Kalau ada pun tiada liputan di kampung kami. Terpaksalah berpisah kejap walaupun hati ini ada rindu sedikit", kata Nadia berseloroh yang diikuti hilai tawa kedua-dua gadis hitam manis itu.

Perkhidmatan kereta api antarabandar KTM Krai-Tumpat-Krai hanya kembali beroperasi pada 31 Ogos 2015. Bagaimanapun ia tidak sampai ke stesen Kemubu yang masih belum selesai dibaik pulih.

Seperti gadis lain, Nadia dan Diana juga memiliki cita-cita. Walaupun masih belum pasti hala tuju seterusnya, Diana nekad untuk bekerja sejurus tamat tingkatan enam bagi membantu keluarga. Dengan nada bersahaja, dia memberitahu bahawa dia ingin menjadi seorang anggota polis. Sementara Nadia pula ingin melanjutkan pelajaran ke menara gading dan menjadi seorang jururawat.

Lima minit menuju jam lima petang, tren menuju ke Bukit Abu tiba di Dabong. Nadia dan Diana duduk bersama di dalam gerabak seperti kebiasaan. Perbualan mereka di warung tadi disambung di dalam gerabak. Ada ketika mereka merenung ke luar cermin.

Cuti akhir tahun bakal bermula 20 November, bererti mereka bakal berpisah untuk seketika sekali lagi. Namun begitu, Nadia dan Diana tetap yakin persahabatan mereka akan kekal utuh.

"Selagi ada tren ini, kami akan pasti bertemu," kata Diana.

"Atau pasang menara pencawang di kampung kami. Bolehlah kami berhubung melalui Whatsapp setiap hari!," ujar Nadia yang disambut gelak ketawa rakan-rakan lain.

Kredit

Israr Khalid

Reported by

Israr Khalid

Shahir Omar

Photos by

Shahir Omar

Wildan

Videos by

Hairul Wildan

Fira Anuar

Graphics & Design by

Fir'anah Anuar

aimanb

Web Development by

Aiman Baharum