Tutup

Aziz Ibrahim

Sg Stong, Dabong

Sebelum tengkujuh tiba mengirimkan banjir, dia menuai tanam-tanamannya - memunggah hasil daripada keringat yang dicurahkan ke bumi.

Tuaian Terakhir

Matahari begitu terik pada suatu Ahad awal November itu. Walaupun ada beberapa kepulan awan kumulonimbus berarak di langit Dabong yang biru, terik matahari terasa begitu menyengat. Dari celah-celah barisan pohon jagung yang meninggi, Aziz Ibrahim tekun menuai tanamannya. Dari pohon ke pohon, dia menyelak satu demi satu rumpun dan memetik jagung yang dirasakan sudah cukup masak.

Sesekali datang angin menyamankan tubuh kecilnya yang lencun dibasahi keringat.

"Biasalah ni... musim tengkujuh. Tengahari panas terik, petang atau malam nanti hujanlah," katanya sambil mencampakkan jagung yang dipetik ke dalam kereta sorong.

Penuh sahaja muatan, Aziz menolak kereta sorongnya ke sebuah bangsal di pinggir ladang. Dia kemudian melabuhkan punggung pada lantai bangsal kecil itu lalu mengelap peluh pada wajahnya. Kepada isterinya yang sedang menyiang ikan, dia meminta segelas air buat membasahkan tekak yang kering.

Ladang jagung dan sayur Aziz terletak di Kampung Jelawang. Dia dan isteri, Gayah Ibrahim mengerjakan tanah pusaka di tebing Sungai Stong, antara kawasan rendah di daerah berlembah itu, sejak hampir 20 tahun yang lepas.

Hampir keseluruhan hari mereka dihabiskan di ladang. Seawal 7 pagi, mereka sudah turun ke ladang dan pulang lewat petang. Adakalanya mereka tidak pulang ke rumah di Kampung Kemubu sebaliknya selesa bermalam di bangsal itu.

Hari itu, Gayah membakar ikan lampam yang dijaring di sungai berdekatan. Ikan itu kemudiannya disumbat dengan sambal dan dihidang bersama ulam kacang panjang yang dipetik pada sebelah pagi dari kebun. Nasi panas dan hidangan lauk yang segar pada tengahari yang terik memang terasa sungguh nikmat.

"Cucu-cucu suka datang sini. Yalah, mereka duduk di Kuala Lumpur kan, jadi bila nampak sungai seronoklah. Mandi sungai, memancing, dan selalu mereka memilih untuk bermalam di bangsal ini berbanding di rumah saya atau di hotel. Banyak nyamuk, tapi mereka tak kisah," cerita Aziz seusai menjamu selera.

Bangsal itu ada dengan seadanya. Dindingnya daripada kayu yang ditampung dengan kanvas dan beg plastik beras. Banjir besar setahun yang lalu merosakkan sebahagian bangunannya. Ada dua pintu masuk – satu menghala ke ladang dan satu lagi ke arah sungai yang hanya kira-kira 10 meter jaraknya.

Dalam bangsal itu, ada platform kayu tempat Aziz duduk dan baring melepaskan lelah. Di lantai kayu itu jugalah dia menempatkan hasil tuaiannya. Di bawah lantai setinggi paras lutut itu, Aziz menyimpan peralatan bercucuk tanamnya – mesin menebas rumput, cangkul, sabit dan sebagainya.

Pintunya tidak berdaun dan berlantaikan tanah, tetapi cukup sekadar berteduh dari panas dan hujan. Ia juga cukup menyamankan apabila sesekali angin bertiup masuk ke bangsal.

Berhampiran dengan laluan ke tebing sungai, ada meja tempat isterinya memotong sayur dan menyiang ikan. Di tepinya pula ada dapur arang kayu di atas lantai tempat Gayah merebus beberapa ketul jagung.

Jagung tanaman Aziz cukup manis dan asli rasanya. Warnanya pula kuning pekat. Rahsianya, Aziz tidak menyembur racun serangga setelah pokok mula mengeluarkan buah. "Kami pun makan hasilnya, takkan nak bubuh racun. Macam bunuh diri kalau bubuh racun," katanya berseloroh.

Selain jagung, Aziz turut mengusahakan tanaman sayur-sayuran. Ada timun, petola, kacang panjang, cili dan bermacam lagi.

Dia menjual hasil tanamannya kepada penduduk setempat dan kedai-kedai runcit di sekitar kawasan Kampung Jelawang. Aziz meletak harga RM5 bagi setiap tujuh biji jagung sementara sayur dikira mengikut berat, iaitu RM2 bagi setiap sekilogram timun dan kacang panjang.

Apabila dekat musim tengkujuh, Aziz dan Gayah menghentikan semua kerja-kerja penanaman baru. Mereka hanya menumpukan kerja menuai tanaman hingga selesai.

Oleh kerana letaknya di tebing sungai, setiap tahun ladangnya pasti akan ditenggelami air apabila hujan berlarutan selama beberapa hari. Disebabkan itu, Aziz merancang dengan teliti semua kerja cucuk tanam di ladangnya.

Dia bercerita bagaimana jagung misalnya mengambil masa dua bulan lebih untuk mengeluarkan isi. Bagaimanapun apabila cukup tempoh tersebut, tidak semua jagungnya sudah boleh dipetik.

"Kita perlu periksa hari-hari, tengok mana yang sudah boleh dipetik dan mana yang belum," katanya.

Aziz perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga sebulan untuk menyelesaikan kerja-kerja menuai jagung. Dia menanam jagung dua kali setahun – sekali pada sekitar bulan Februari atau Mac dan kali kedua pada awal bulan September, supaya betul-betul dapat dituai sebelum musim tengkujuh tiba.

Pernah pada suatu tahun dia dan isteri tersilap perkiraan. Hasil tanaman sayur-sayurannya tidak sempat dituai sebelum banjir tiba. Habis rosak semuanya; ada yang hanyut dibawa air. Sejak itu, Aziz dan Gayah lebih berjaga-jaga.

Walaupun saban tahun ladang dinaiki air, banjir musim tengkujuh pada 2014 adalah yang paling teruk dalam sejarah hidupnya. Namun dia sedikit bernasib baik kerana tidak berada di ladang mahupun di rumah ketika musibah itu melanda.

"Ketika itu saya dan isteri ada di rumah anak sulung di Kuala Lumpur. Hujung tahun biasanya anak akan bawa kami berjalan-jalan di sana. Lagipun tak ada benda yang nak ditengokkan sebab ladang pun tak ada tanaman.

"Hampir sebulan jugalah kami berada di Kuala Lumpur. Berita dan maklumat terkini kami tengok di televisyen dan baca di surat khabar," ujar Aziz.

Apabila pulang ke kampung, Aziz melihat tanda bekas air pada pokok kelapa di ladangnya. Air naik hingga ke tandan pokok yang kira-kira 12 meter tinggi. Mujur Sungai Stong tidak membawa air deras dan memusnahkan bangsal ladangnya.

Tetapi tidak semuanya cerita duka. Ada rahmat besar yang datang bersama banjir. Aziz merasakan tanah selepas banjir lebih subur untuk cucuk tanam.

Dia juga mendapat permintaan yang tinggi daripada penduduk setempat. Kesempatan itu mereka manfaatkan sebaiknya untuk menggandakan penanaman dan bekerja lebih keras.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, tiada sebarang persiapan besar dilakukan pasangan itu selain dari menyelesaikan tuaian dan membawanya keluar dari ladang sebelum air naik. Begitu juga dengan alatan bercucuk tanamnya. Satu persatu perkakas mereka susun dan bawa pulang untuk disimpan di rumah. Bangsal kecil itu pula akan diikat dengan tali pada penjuru dan ditambat pada batang pokok berhampiran.

Di rumahnya di Kampung Kemubu, Aziz dan Gayah melakukan hal yang sama. Baran-barang yang berharga termasuk peralatan elektrik dan pakaian disimpan di satu tempat tinggi di dalam rumah. Perabot pula disusun rapi seberapa yang mampu.

"Selepas semua selesai, baru kami lega untuk berangkat ke Kuala Lumpur bersama anak. Tapi kalau air naik tinggi juga, nak buat macam mana. Reda sajalah," kata Gayah.

Mereka bersyukur rumah mereka dibina daripada batu. Nasib mereka tidaklah semalang jiran sekampung lain yang rumahnya diperbuat daripada kayu dan musnah seluruhnya dibawa air deras Sungai Galas.

Matahari sudah mula menggelincir masuk ke petang. Hari mula agak redup. Aziz bingkas bangun mengosongkan kereta sorong lalu bergerak kembali ke tengah ladang. Beberapa hari sahaja lagi, selesailah tuaian terakhirnya untuk tahun ini – sebelum tengkujuh datang mengirimkan banjir.

Kredit

Israr Khalid

Reported by

Israr Khalid

Shahir Omar

Photos by

Shahir Omar

Wildan

Videos by

Hairul Wildan

Fira Anuar

Graphics & Design by

Fir'anah Anuar

aimanb

Web Development by

Aiman Baharum