article-main-image
Prev Prev Next Next

malaysia

Anis Syafiqah: Menggegar Malaysia

ANIS Syafiqah, mahasiswi bertudung berusia 24 tahun, adalah wajah terkini gerakan aktivis mahasiswa di Malaysia.

Dengan wajah tampil kemas dan tenang, Anis pelajar linguistik Universiti Malaya (UM) - universiti tertua dan terulung di Malaysia - yang menelaah nukilan tokoh seperti Chomsky, duduk berhadapan saya di kantin kampus.

Pertuturannya sangat tersusun dan teratur. Jawapan yang diberikan padat tetapi ringkas, penuh dengan kemesraan dan berhemah.

Ini tidak menghairankan, kerana Anis sudah biasa dengan tekanan.

Sebulan lalu, Anis bersama rakan-rakannya telah menganjur dan mengepalai satu demonstrasi di atas nama "#TangkapMO1" di Kuala Lumpur.

Kumpulan para pelajar yang mengambil bahagian telah bersuara bagi menekan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap "Malaysian Official 1" - individu yang dinamakan dalam tuntutan mahkamah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ)mengenai dana pelaburan negara yang kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

BACA: Protes #TangkapMO1 berlangsung dengan aman 

BACA: MARA ambil tindakan terhadap pelajar tajaan sertai "#TangkapMO1" - Ismail Sabri 

Walaupun begitu, saya hanya mengetahui akan kewujudan Anis apabila saya melihat video viralnya yang diedarkan secara meluas beberapa minggu yang lepas.

Di dalam video tersebut, Anis kelihatan berdiri di luar sebuah universiti tempatan - setelah dilarang untuk memasukinya - berkongsi kerisauannya berhubung skandal 1MDB dengan sekumpulan mahasiswa.

Pada mulanya, beliau tampak gugup dan sedikit kaku. Semakin lama, suara Anis semakin lantang, berani dan yakin, menyuarakan apa yang terbuku di hati.

Selepas seketika, Anis menegur pegawai-pegawai polis yang cuba meleraikan situasi: "Mereka seluruh dunia tahu kita telah dirompak; bagaimana kita boleh relax?".

Persembahan Anis yang penuh beremosi ini sememangnya membuka mata banyak pihak. Bagi segelintir rakyat Malaysia, momen itu amat menakjubkan.

Apatah lagi, peristiwa yang menggambarkan kekecewaan seluruh negara ini disampaikan oleh seorang gadis muda yang cantik, bijak dan petah bercakap.

Dari manakah datangnya anak muda ini? Adakah kemunculan beliau suatu norma atau fenomena? Bagaimanakah anak kelahiran Sungai Besar, sebuah pekan kecil yang terletak di pesisiran pantai di utara Selangor, dari latar belakang kelas menengah (kedua-dua ibu bapanya guru sekolah) mampu menggamit perhatian seluruh negara?

Anis melihat aktivisme sebagai cara untuk mengaplikasikan apa yang dipelajarinya di universiti.

Anis melihat aktivisme sebagai cara untuk mengaplikasikan apa yang dipelajarinya di universiti. - Foto Karim Raslan


"Saya bermula dengan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM). Tahun ini adalah ulang tahun ke-60 penubuhan organisasi ini oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas.

"Penglibatan saya dalam organisasi ini telah banyak membantu saya memahami dengan lebih mendalam peranan seorang mahasiswa dan seorang Islam," jelasnya.

Anis berkata, beliau sedar beliau harus memperjuangkan prinsip-prinsip Islam kerana agama itu berteraskan keadilan.

"Politik perkauman hanya permainan politik semata mata. Apa salahnya kita bercampur dengan kaum-kaum lain?"

Katanya, beliau telah bertanding dalam pilihan raya kampus dan di luar jangkaannya, beliau menang di bawah naungan pro-Mahasiswa (pakatan politik kampus yang mesra pelajar, dianggap menentang kerajaan).

"Saya mengambil bahagian dalam acara-acara yang dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan melihat sendiri gelombang anti kerajaan menjelang pilihan raya umum ke-13.

"Saya terdorong untuk mengambil bahagian dalam demonstrasi #TangkapMO1 apabila tiada sebarang tindakan diambil atau respons yang terbit selepas seminggu DOJ melakukan pendedahan.

"Saya melakukan semua ini bagi membuka mata rakyat Malaysia, tidak kira siapa, selagi masyarakat negara kita ini dapat menyedari apa yang sedang berlaku. Kaum wanita mempunyai peranan penting dalam membangkitkan kesedaran ini."

Kemahiran retorik Anis, serta hujah-hujahnya yang pintar, diimbangi dengan keupayaannya untuk menggerakkan pelbagai pihak untuk bertindak.

Dalam menganjurkan demonstrasi tersebut, anak muda itu telah mempengerusikan beberapa mesyuarat bersama pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan ahli-ahli politik pembangkang, mengurus pelbagai agenda dan ego manusia.

Menjelaskan pendiriannya mengenai tanggungjawab pemimpin universiti persis era kebangkitan aktivis mahasiswa pada 1960-70an, katanya:

"Saya sedar dan akui bahawa tanggungjawab utama saya adalah untuk belajar, tetapi aktivisme merupakan terjemahan atas apa yang telah dipelajari.

"Mahasiswa perlu menjadi pemegang taruh yang berani bersuara. Sememangnya, perkataan 'universiti' itu sendiri berkait rapat dengan perkataan 'universal' (sejagat).

"Semakin terbuka mata masyarakat, semakin senang mereka bersatu".

Anis Syafiqah ketika berucap pada perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos. - Foto Astro AWANI/MARIAH AHMAD
Anis Syafiqah ketika berucap pada perhimpunan #TangkapMO1 pada 27 Ogos. - Foto Astro AWANI/MARIAH AHMAD


Sikap tidak peduli yang diambil majoriti masyarakat Malaysia terhadap hal ehwal negara telah membingungkan ramai orang di luar negara.

Adakah kita masih ambil peduli dengan apa yang berlaku pada negara ini? Ataupun kita sudah menerima penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa sebagai lumrah kehidupan?

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan haluan politik Anis, tetapi yang pasti, beliau dan rakan-rakan seangkatannya tahu arah mana yang harus kita tuju sebagai sebuah negara.

Anak-anak muda sebegini bukanlah seperti generasi millenial lain yang kebiasaannya hanya tahu mengeluh, tetapi tidak bertindak.

Anis dan rakan-rakannya mahu mencetuskan perubahan dan mereka mempunyai keberanian yang luar biasa untuk menegakkan pendirian masing-masing.

Perkara ini tidak menghairankan kerana sememangnya UM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi terulung yang dihormati di negara ini mempunyai sejarah yang luas dalam aktivisme mahasiswa.

Ramai alumni UM (termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah berjaya menjadi pemimpin politik tersohor di kedua-dua belah pihak kerajaan dan pembangkang.

Sebetulnya, Anis dan rakan-rakannya hanya memperbaharui semangat perjuangan dan menghidupkan semula tradisi dan legasi universiti yang berprestij ini.

Melangkah pulang dari pertemuan itu, saya amat terpegun dengan laras bahasa Anis yang cukup elegan dan juga caranya menceritakan kesusahan berjuang dalam sistem yang dikawal seperti Malaysia.

Tersenyum sipu, Anis menceritakan bagaimana ketika beliau berhadapan dengan pihak berkuasa: "Saya tidak kata saya akan teruskan atau hentikan perjuangan ini. Saya cuma tegaskan, saya akan fikirkan dan lakukan apa yang terbaik."



Dapatkan lebih banyak cerita menarik dari rantau ini di sini

SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp