article-main-image
Prev Prev Next Next

Filipina

Di La Loma, Duterte masih disanjung

SEJAK 45 tahun lalu, Manuel S. Abad dan keluarganya menyewa rumah yang sama di La Loma, sebuah barangay (kejiranan) yang padat di Quezon City --- sebahagian daripada gabungan penempatan Metro Manila yang menjalar luas dengan penduduk berjumlah 28 juta.

Keluasan rumah itu ialah 60 meter persegi. Keluarga enam orang itu berkongsi bilik tidur: cukup dengan empat katil bertingkat dan beberapa tilam di lantai. Sebelum ini, sebagai kanak-kanak, beliau membesar dengan tidur di bilik yang sama, berkongsi ruang dengan ibu bapa serta empat adik beradiknya.

Bagi banyak orang Filipina -- beberapa dekad selepas revolusi Kuasa Rakyat pada tahun 1986 tidak banyak mendatangkan hasil dari segi kemajuan.

"Pada tahun 1980-an, sewa adalah PHP500 sebulan. Sekarang saya bayar PHP5,500. Hari ini, harga untuk membeli rumah ini adalah sekurang-kurangnya PHP12 juta."

Sejak 45 tahun lepas, Manuel dan keluarganya menyewa di rumah yang sama di La Loma, berkongsi bangunan itu dengan empat keluarga lain. - Foto Karim Raslan

Sejak 45 tahun lepas, Manuel dan keluarganya menyewa di rumah yang sama di La Loma, berkongsi bangunan itu dengan empat keluarga lain. - Foto Karim Raslan


Manuel berusia 49 tahun bekerja sebagai pengurus jualan dan pasaran sebuah syarikat lampu, mengendalikan pembuat peralatan asal (OEM) bagi syarikat multinasional seperti Phillips. Anak kepada peguam dan jurutera mekanikal, beliau yang kelihatan bersemangat merupakan bapa kepada tiga orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Beliau fasih bertutur bahasa Inggeris.

"Saya beruntung kerana dapat pergi ke sekolah swasta. Saya adalah seorang pelajar yang baik dan benar-benar suka belajar."

"Tetapi apabila saya masih di sekolah menengah, bapa saya bersara dan saya perlu mencari kerja untuk sara hidup sendiri. Saya hendak pergi ke universiti, tetapi sebaliknya, saya memperoleh kerja kontrak dengan seorang juru animasi untuk tayangan seperti Dragon Ball Z dan Sailormoon."

Sejak itu, Manuel telah melakukan beberapa pekerjaan termasuk di barangay (pejabat bandar kerajaan) tempatan. Beliau terpaksa tukar pekerjaan (dan dalam proses itu, menerima gaji lebih rendah) kerana Presiden Rodrigo Duterte.

"Pada Ogos tahun lalu, Duterte mengeluarkan Surat Pekeliling Nombor 4 yang mengarahkan semua orang lantikan presiden mesti meletak jawatan. Beliau mahu membersihkan birokrasi daripada korupsi dan meneliti setiap seorang. Ketua saya pada masa itu adalah salah seorang daripada orang lantikan itu, dan saya tidak mahu terheret dengannya, jadi saya bertukar ke sektor swasta."

"Sekarang pendapatan saya ialah PHP45,000 sebulan. Sebelum itu, pendapatan saya sekali ganda daripada itu!"

Manuel yang dulunya bekerja sebagai seorang animator, merupakan peminat tegar Anpanman, salah satu watak anime Jepun. Foto Karim Raslan
Manuel yang dulunya bekerja sebagai seorang animator, merupakan peminat tegar Anpanman, salah satu watak anime Jepun. Foto Karim Raslan


Seseorang akan menjangkakan bahawa Manuel akan kurang bersetuju dengan Presiden Duterte yang kontroversi itu. Sebaliknya, beliau didapati adalah seorang penyokong kuat ahli politik yang cenderong untuk berlawan itu.

"Setelah bekerja dalam kerajaan sebelum ini, saya dapat rasa perubahan yang berlaku. Sebelum Duterte, terdapat banyak korupsi dalam industri pertanian. Saya mengetahui satu kes di mana kos suatu produk adalah PHP5,000, tetapi sebaliknya dibilkan sebagai PHP750,000. Sekarang ia dipantau dengan teliti dan mereka yang korup dihukum."

Saya tanya Manuel apa lagi perubahan yang beliau rasakan berlaku sejak Duterte berkuasa.

"Lima tahun lalu, bila saya pergi ke Makati dari sini, ia memakan masa tiga jam. Sekarang, ia ambil masa satu jam 40 minit. Ini kerana mereka sekarang ada lebih banyak peraturan terhadap kod kenderaan yang telah memperbaiki aliran jalan dengan menjadikannya sehala."

"Sekarang saya juga ada kad perubatan. Dengan kad ini, saya boleh pergi ke hospital umum dan mendapatkan rawatan percuma. Kalau saya pergi ke barangay, saya boleh dapat perkhidmatan kesihatan percuma. Sebelum ini adalah sukar untuk dapatkan kad, tetapi sekarang sesiapa boleh mendapatkannya dalam masa tiga hari lebih kurang!"

Penulis mengambil 'selfie' dengan Manuel bersama isteri dan tiga anak mereka. Foto Karim Raslan
Penulis mengambil 'selfie' dengan Manuel bersama isteri dan tiga anak mereka. Foto Karim Raslan


"Dulu keadaan berbahaya untuk keluar malam. Sekarang saya rasa selamat berjalan di luar! Polis lebih aktif, ketua-ketua pengedar dadah berasa takut dan sekarang lebih banyak pemantauan di bandar."

Bercakap mengenai dadah, saya timbulkan tentang kempen ganas Duterte ke atas narkotik --- termasuk menembak remaja dan kanak-kanak --- hingga menimbulkan kemarahan di pihak-pihak tertentu., Manuel kelihatan berhati-hati tetapi tidak berasa terganggu.

"Orang Filipina amat kuat beragama, kami tidak mahu menyakiti orang. Saya tidak mahu kata matlamat menghalalkan cara. Tetapi pada sesuatu peringkat, kami perlu mengambil kira kepentingan majoriti penduduk."

"Orang ada hak untuk hidup. Tetapi apa yang berlaku bila dadah mengganggu hak kita untuk hidup, bila mereka meracuni anak-anak kita? Jika orang disuruh berubah tetapi mereka tidak ikut, jadi apa yang boleh kita buat?"

Manuel, yang bekerja sebagai pengurus jualan dan pemasaran untuk sebuah syarikat lampu, bercakap dengan penulis. - Foto Karim Raslan
Manuel, yang bekerja sebagai pengurus jualan dan pemasaran untuk sebuah syarikat lampu, bercakap dengan penulis. - Foto Karim Raslan


"Ada orang kata cara beliau adalah drastik dan tidak pernah berlaku sebelum ini. Tetapi mungkin ia hanyalah satu-satunya cara untuk menjadikan keadaan lebih baik: ini kerana kami telah cuba pelbagai cara. Presiden-presiden terdahulu telah cuba tetapi mereka takut menimbulkan kemarahan orang."

"Mereka sentiasa mengejar populariti. Mereka mahu kelihatan baik dan tidak mahu menjejaskan hubungan mereka dengan pihak-pihak lain ataupun senator."

"Golongan oligarki akan terus ada. Mereka sentiasa menganggap diri mereka penting. Tetapi saya rasa Duterte akan terus mempertahankan pendiriannya. Malah jika golongan oligarki itu cuba mempengaruhinya, beliau akan masih mengambil kira apa yang terbaik bagi rakyat Filipina."

Untuk berdekad-dekad lamanya, keluarga yang sama mendominasi politik dan perniagaan Filipina - keluarga Osmena, Cojuangco, Aquino - senarai itu terus memanjang. Orang biasa seperti Manuel, janji-janji muluk Revolusi Kuasa Rakyat yang menumbangkan kediktatoran Marcos masih belum dipenuhi.

Kejiranan Manuel - terkenal dengan babi bakarnya ('La Loma: Kediaman Lechon') memberi perhatian pada keadaan yang mengecewakan ini. Setelah beberapa tahun berlalu, kawasan itu bertambah padat dengan bangunan tinggi menambahkan lagi orang di ruang yang sudah begitu padat. Lagipun, walau lebih empat dekad tinggal di situ, Manuel masih tidak memiliki hartanah sendiri.

"Salah seorang kawan saya hendak mendapatkan pinjaman PHP1 juta. Bank memberitahunya supaya meletakkan cagaran satu juta untuk mendapatkan pinjaman itu! Bagaimana orang seperti saya boleh mengadakan wang sebanyak itu? Keadaan inklusif kewangan sudah mati di Filipina."

Dengan latar belakang kebekuan ini, Duterte (walaupun beliau sendiri berasal dari sebuah keluarga politik yang kuat), mewakili perubahan, sekurang-kurangnya bagi Manuel dan keluarganya. Walaupun kadar persetujuan rakyat terhadapnya jatuh 18 mata dalam tinjauan Social Weather Stations (SWS) baru-baru ini dan keraguan yang semakin meningkat terhadap keberkesanan perang menentang dadah yang berdarah itu, kelihatannya bagi banyak orang, Duterte masih pilihan terbaik mereka bagi masa depan yang lebih cerah - dengan penekanan bahawa beliau perlu berjaya dalam hal ini.

"Saya ada empat anak. Anak sulung saya, perempuan bekerja di pusat panggilan telefon. Anak lelaki saya yang berusia 17 tahun berada di Gred 12. Tidak lama lagi dia akan mahu memasuki universiti. Dia cekap dalam penggunaan angka, jadi dia mahu menjadi seorang akauntan. Saya sendiri tidak akan dapat memiliki ijazah."

"Terhadap Duterte, saya tidak boleh menghakim kedudukan moral keadaan ini...tetapi saya dapat lihat hasilnya, dan selagi saya lihat keadaan sekeliling saya bertambah baik, saya akan sentiasa menyokongnya."

Seluruh keluarga Manuel berbagi dua kamar tidur dengan empat tempat tidur susun dan beberapa tilam dilantai. - Foto Karim Raslan
Seluruh keluarga Manuel berbagi dua kamar tidur dengan empat katil dan beberapa tilam dilantai. - Foto Karim Raslan


Malah, Manuel tidak menghiraukan kejatuhan kadar sokongan terhadap Duterte baru-baru ini dengan menyatakan pada saya: "terdapat banyak perkara yang bermanfaat kepada rakyat Filipina yang tidak dihebahkan. Ada ungkapan yang menyebut: jika ia tidak kontroversi, maka ia bukanlah berita baik."

"Demi anak-anak saya, saya perlu percaya pada sesuatu, perlu memiliki harapan."


Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr



SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp