article-main-image
Prev Prev Next Next

malaysia

Di anjung sejarah

WALAUPUN saya tinggal dan bekerja di Indonesia, Malaysia tetap merupakan tanah air saya. Namun begitu, sepanjang lima tahun lalu - atau sekurang-kurangnya sejak Pilihan Raya Umum 2013 - saya telah banyak memerhati dan merasai pengalaman di negara ini dan pancaroba politiknya, dari jauh.

Ia seakan-akan seperti menonton satu siri pertunjukan teater dari jauh - menterjemahkan gelagat yang terselindung dan melodrama. Suara-suara dibisukan walaupun adakalanya petikan-petikan dialognya tersebar ke seluruh dunia, tetapi ia dengan segera menjadi senyap sejurus kemudian.

Saya seolah-olah berdiri di atas anjung sejarah, melihat satu siri pertunjukan wayang amatur atau bangsawan yang memalukan. Bagaimanapun, watak-watak lucu itu membawa bersama mereka benih-benih tragedi mereka sendiri ketika skandal 1MDB menyelubungi Putrajaya, memburukkan pemimpin-pemimpin dan institusi-institusi kerajaan dan menampilkan babak-babak dramatik yang paling luar biasa dan, ya, memalukan.

Ia bukan saja tentang skalanya - puluhan bilion ringgit dan deretan watak yang asing (dari Leonardo DiCaprio, keluarga diraja Arab, Paris Hilton dan seorang ahli perniagaan tempatan yang gemuk dan agak selekeh).

Kisah 1MDB menampilkan juga watak-watak utama - bekas Perdana Menteri kita dan isterinya - yang digambarkan dalam keadaan mengarut dan mengecewakan seperti dalam novel-novel Oscar Wilde, bukannya hebat seperti dalam karya Shakespeare.

Kempen Pakatan Harapan menarik ribuan penyokong di seluruh negara. Joe Kit Yong/Ceritalah
Kempen Pakatan Harapan menarik ribuan penyokong di seluruh negara. Joe Kit Yong/Ceritalah


Penyokong Pakatan Harapan berkumpul di luar Istana Negara pada 11 Mei, 2018, sempena pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7. Joe Kit Yong/Ceritalah
Penyokong Pakatan Harapan berkumpul di luar Istana Negara pada 11 Mei, 2018, sempena pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ke-7. Joe Kit Yong/Ceritalah


Syukurlah, terdapat mereka yang berani mencabar versi kebenarannya yang terpesong dan bermotifkan kepentingan diri. Mereka mempunyai azam kuat dengan pendirian yang tidak boleh diganggu gugat.

Saya bukan salah seorang daripada mereka, tetapi saya pasti tabik terhadap keberanian dan istiqamah mereka. Kita wajar amat berterima kasih pada mereka kerana tanpa mereka, perbuatan mengarut ini akan berterusan, menjadikan negara kita sebagai bahan ketawa dan hampir pasti akan jadi papa kedana.

Sungguhpun begitu, ketika tempoh untuk mengadakan pilihan raya umum makin singkat, saya mula lebih kerap pulang ke Malaysia, memberi tumpuan kepada negeri-negeri yang menjadi medan pertempuran iaitu Johor dan Kedah. Pada masa itu, saya tidak sedar bahawa keseluruhan negara telah menjadi medan tempur - atau ia sememangnya dirancang begitu?

Pakatan Harapan berkempen menentang rejim Najib Razak yang didakwa korup dan mengakibatkan rakyat Malaysia menanggung kepayahan hidup dari segi ekonomi. Joe Kit Yong/Ceritalah
Pakatan Harapan berkempen menentang rejim Najib Razak yang didakwa korup dan mengakibatkan rakyat Malaysia menanggung kepayahan hidup dari segi ekonomi. Joe Kit Yong/Ceritalah


Saya hadiri banyak ceramah Pakatan Harapan (PH). Kebanyakannya diadakan di padang terbuka. Penceramahnya - termasuk yang mengejutkan, seorang calon berusia 92 tahun yang nampak lemah - memanjat belakang lori atau pentas bergerak, dan menghamburkan kata-kata serangan. Sementara kualiti ucapan mereka berbeza-beza antara satu dengan yang lain, keberanian kata-kata mereka, selepas bertahun-tahun tidak jelas selama ini, telah memberi nafas segar.

Selepas ceramah, saya akan berjumpa dengan orang awam dan mendengar cerita mereka.

Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim, dibebaskan dari hukuman penjara pada 16 Mei, 2018. Dilihat di sini beliau sedang memberi ucapan di hadapan penyokongnya di Petaling Jaya. Joe Kit Yong/Ceritalah
Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim, dibebaskan dari hukuman penjara pada 16 Mei, 2018. Dilihat di sini beliau sedang memberi ucapan di hadapan penyokongnya di Petaling Jaya. Joe Kit Yong/Ceritalah


Ketika saya melakukan demikian, saya mula merasakan wujud satu suasana yang aneh dan penuh dengan rungutan. Kebanyakan yang saya temui agak berhati-hati dalam memberi pandangan, tetapi mereka marah - penuh dengan rasa tidak puas hati - apabila mereka bercakap mengenai harga makanan, cukai (terutama GST yang dibenci), pekerjaan, perumahan dan pengangkutan.

Sungguhpun begitu, di sebalik kepahitan yang saya rasai di peringkat akar umbi, ahli strategi politik di Kuala Lumpur kelihatannya seperti tidak sedar dan tidak peduli. Bagi mereka, semuanya "OK!".

Dan kemudian pada 9 Mei, ketika saya duduk dalam sebuah studio televisyen menunggu keputusan pilihan raya dengan penuh sabar (alahai, mungkin tidaklah begitu sabar, tetapi itu cerita lain), saya menyaksikan sesuatu yang luar biasa dan bersejarah - satu peralihan kuasa secara aman.

Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 setelah 61 tahun berkuasa di Malaysia. Joe Kit Yong/Ceritalah
Barisan Nasional kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 setelah 61 tahun berkuasa di Malaysia. Joe Kit Yong/Ceritalah


Pasukan KRA telah menjelajah ke seluruh negara, bersama jurugambar Joey Kitson, merakam banyak saat-saat keterujaan itu.

Setelah sesi marathon 10 jam di hadapan kamera, saya terfikir: "Ya, kita, rakyat Malaysia layak menerima pujian. Kita telah menggulingkan sebuah pentadbiran korup yang berada di penghujung hayatnya, dipenuhi dengan orang tua hodoh... dan kini ketika kita mengecapi perubahan rejim itu, adakah mungkin kita akan mengulanginya lagi pada 2023?"

Parti Warisan Sabah berjaya mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri menggunakan platform mereka 'Sabah for Sabahans' (Negeri Sabah untuk rakyat Sabah). Joe Kit Yong/Ceritalah
Parti Warisan Sabah berjaya mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri menggunakan platform mereka 'Sabah for Sabahans' (Negeri Sabah untuk rakyat Sabah). Joe Kit Yong/Ceritalah


Penulis menunjukkan dakwat di jari telunjuk setelah menjalankan haknya membuang undi pada 9 Mei 2018. Joe Kit Yong/Ceritalah
Penulis menunjukkan dakwat di jari telunjuk setelah menjalankan haknya membuang undi pada 9 Mei 2018. Joe Kit Yong/Ceritalah


NOTA: Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.




SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp