article-main-image
Prev Prev Next Next

Filipina

Impian seorang guru sekolah di Laoag

"DI Ilocos ini, tidak ada yang lebih penting daripada memastikan anak-anak kamu memperolehi pendidikan yang baik."

Menyediakan kanak-kanak suatu masa depan yang baik telah menjadi kerjaya sepanjang hayat Joy Fernandez, seorang guru sekolah rendah berusia 35 tahun dari Laoag di Ilocos Norte, Filipina.

Ketika beliau tidak mengajar di sekolah, pendidik yang ceria itu menjadi jurulatih bagi pertandingan matematik atau memberi tuisyen pada kanak-kanak. Selain itu, masa luangnya diperuntukkan bagi menjaga empat anaknya termasuk kembar yang baru lahir.

"Saya mula mengajar pada pukul 7.30 pagi dan kerana memberikan tuisyen sekolah, saya mengakhiri hari saya pada 9 malam. Pada hujung minggu, saya ada banyak pelajar juga. Saya lebih sibuk pada cuti musim panas apabila saya boleh ada sehingga 100 murid."

Kehidupan Joy sebagai seorang pendidik bermula sejak dia muda.

"Ketika saya berusia 15 tahun, saya membantu ibu saya mengajar tuisyen kepada kanak-kanak. Mungkin ia telah menjadi sebahagian daripada sistem saya, sudah menjadi destini saya."

"Ia berada dalam darah saya --- ibu bapa saya, ibu saudara saya, datuk nenek saya --- mereka semua adalah guru!"

Dengan memiliki ijazah sarjana pendidikan dari Northwestern University di Laoag, Joy bersungguh tentang semangat orang Ilocano terhadap pendidikan.

"Anda boleh melihatnya di mana-mana. Kami memiliki apa yang kami panggil 'ibu bapa pentas' --- ibu dan bapa akan hadir dalam setiap acara yang anak mereka terlibat."

"Apabila kamu berjalan di sekitar kejiranan, kamu dapat lihat orang mempamerkan sijil-sijil anak mereka di pintu-pintu rumah."

Joy dan keluarganya di rumah mereka. Ceritalah / Chao Wee Lee
Joy dan keluarganya di rumah mereka. Ceritalah / Chao Wee Lee


Apabila ditanya apa makna seorang Ilacono, beliau menjawab tanpa teragak-agak: "Menjadi Ilocano bermakna tiga perkara --- menghargai keluarga, bekerja keras dan berjimat cermat terhadap wang anda."

Bahasa pengantar sekolah rendah ialah bahasa Ilocano, lambang kebanggaan tempatan yang kuat.

"Ia satu sistem yang berasaskan bahasa ibunda. Kanak-kanak digalakkan untuk berhubung dengan asal-usul mereka, untuk memahami apa maknanya menjadi seorang Ilocano."

"Sudah tentu ini menyukarkan kanak-kanak untuk berubah ke bahasa lain. Lagi pun, tidak ada sesiapa yang bertutur Ilocano tulen lagi; anda tidak akan menggunakannya di pusat membeli-belah. Kehidupan sebenar bukannya bahasa Ilocano, ia adalah bahasa Filipino dan Inggeris."

Sebagai seorang guru, Joy sering menyaksikan pelajar-pelajarnya menghadapi kesukaran.

"Anak itu akan menghadapi keadaan lebih sukar pada masa akan datang. Sebab itu sebagai seorang yang bertanggungjawab menjaga kepentingan terbaik mereka, saya tidak setuju dengan sistem itu."

"Tetapi saya lakukan apa yang boleh untuk menyediakan mereka untuk kehidupan seharian. Saya akur terhadap sistem itu tetapi saya masih mengemudi bilik kelas saya."

Ketegangan antara semangat kedaerahan dan kebangsaan ini sering diketengahkan ke dalam pentas politik.

Sebagai contoh, kebangkitan Presiden Filipina Rodrigo Duterte sering dikaitkan dengan identiti dirinya dari Mindanao, pulau paling selatan negara itu.

Sokongan presiden terhadap fahaman persekutuan adalah sebahagiannya digerakkan oleh keinginan untuk membebaskan wilayah-wilayah luar daripada genggaman kuasa Imperial Manila.

Di Ilocos Norte, mendiang tokoh kuat Ferdinand Marcos dan keluarganya sentiasa mendominasi politiknya.

"Marcos adalah orang Ilocano yang paling terkenal dan beliau masih berpengaruh di sini. Nenek saya sering menceritakan pada saya kisah-kisah mengenai beliau: bahawa beliau adil, tegas dan mesra rakyat."

"Menurut ramai sanak saudara saya, sebenarnya di bawah Marcos, Ilocano menjadi lebih membangun. Dulu tidak ada pusat membeli-belah, sedikit saja kereta... sekarang ia sedang maju. Pusat membeli-belah bercambah seperti cendawan!"

Ilocos Norte telah lama menjadi benteng bagi keluarga Marcos. Ceritalah / Chao Wee Lee
Ilocos Norte telah lama menjadi benteng bagi keluarga Marcos. Ceritalah / Chao Wee Lee


Pada tahun 2017, ulang tahun hari jadi ke-100 mendiang diktator itu diisytiharkan cuti untuk wilayah itu. Peringatan itu dihadiri oleh gabenor wilayah itu, Imee Marcos (anak perempuannya), Wakil Ilocos Norte Imelda Marcos (isterinya), dan bekas calon Naib Presiden Bongbong Marcos (anak lelakinya).

Jelas sekali cerita kasih sayang Ilocano dengan keluarga Marcos masih belum berakhir.

Dan, apa yang menambahkan kepada kemarahan mereka yang menderita semasa tempoh Undang-undang Tentera (1972-1981) ialah, kelihatannya rakyat Filipina di wilayah lain mungkin mengikut jejak Ilocano.

Pada pilihan raya presiden 2016, Bongbong Marcos kalah tipis bagi jawatan naib presiden dengan 263,473 undi (0.09 peratus daripada jumlah). Enggan mengakui kekalahan, pewaris legasi Marcos itu menuntut kiraan semula kerana mendakwa wujud 'pertikaian', yang akan dilakukan pada April ini.

Tahun-tahun pemerintahan Marcos melahirkan sejumlah legenda kota --- bahawa negara itu tiada hutang di bahawa beliau, bahawa pilihan raya 1986 yang membawa kepada kejatuhannya telah dipalsukan dan Marcos adalah wira perang menentang Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Kesemua ini telah dinyatakan sebagai palsu oleh para pakar, namun ia masih tersebar di alam maya.

Dalam era berita palsu dan Trump, seseorang jangan sesekali mengambil mudah kuasa "fakta alternatif."

Bagi orang Filipino biasa seperti Joy, apa yang dipedulikannya adalah masa depan lebih cerah.

"Banyak orang Ilocano pindah ke Hawaii, mencari kehidupan lebih baik. Bapa saya mempunyai peluang untuk pindah ke sana tetapi enggan berbuat demikian. Kesemua adik-beradiknya sekarang berada di sana. Apabila mereka balik untuk ziarah, mereka berkata kepada saya: 'Jika kamu mahu wang, kamu tinggal di Hawaii, tetapi jika kamu mahukan kebahagiaan, kamu harus tinggal di Filipina.'"

Laoag adalah bandar dengan penduduk seramai lebih 100,000 orang, tetapi ia cukup berharta dari segi jenama global, dari Uniqlo ke H&M. Puluhan bank asing berada di sini. Banyak daripada kemakmuran ini datang daripada kiriman wang --- 61 peratus keluarga Ilocano menerima bantuan kewangan dari luar, yang merupakan peratusan tertinggi di dunia.

"Mencari wang adalah sukar, tetapi saya mahu tinggal di sini. Saya harap, anak-anak saya, dengan apa cara sekali pun, akan memperolehi kedua-duanya sambil tetap kekal berada di sini. Itulah impian saya terhadap mereka."

Akhirnya, rakyat akan memberi undi kepada siapa yang boleh merealisasikan impian mereka. Ketika mana legasi Marcos timbul semula, ia membawa bersamanya janji-janji (walaupun terlalu indah untuk dipercayai) untuk masa depan yang lebih senang, kaya dan bahagia.

Adakah penentang-penentang mereka boleh memberikan sesuatu yang lebih baik?


NOTA: Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr





SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp