article-main-image
Prev Prev Next Next

indonesia

Jakarta dan Orang Jawa

“PERTAMA kali dulu apabila Pak Karim menemubual saya dan bapa saudara saya di Tanah Abang, semuanya berbeza. Keadaan pada masa itu lebih kotor dan bahaya. Kumpulan 'Preman' (atau samseng jalanan) berleluasa. Mereka akan mencuri makanan kami dan minta bayaran paksaan. Sejak bapa saudara saya bersara empat tahun yang lalu dan berhijrah ke Pemalang (di Jawa Tengah), meninggalkan saya untuk mengurus warung bakso ini secara berseorangan, kumpulan samseng tersebut sudah tiada."

Katanya Pak Udin, sambil menghidang makanan kepada para pelanggan beliau, yang kebanyakannya singgah untuk membeli makanan bungkus.                

Walaupun sudah tinggal di Jakarta sepanjang zaman dewasa beliau, pertuturan bahasa Indonesia Pak Udin masih sarat dengan loghat Jawa.

"Pada masa yang sama," sambungnya, "pengurusan kota kini lebih efektif dan teratur. Keadaan setempat bukan setakat lebih bersih, malah, anggota polis, bomba serta perkhidmatan kerajaan - semuanya lebih mantap! Bayaran rasuah kepada Ketua RT (pegawai awam) kini tidak diperlukan untuk menandatangani sebarang borang.              
         
"Dulu, sebarang urusan sudah pasti akan memerlukan duit rasuah. Sekarang, kalau terdapat sampah-sarap atau masalah lain, anda hanya perlu mengambil gambar dan menghantarnya kepada aplikasi laman sesawang QLUE, dan tindakan akan diambil. Malah, nama dan nombor pengadu tidak akan didedahkan.”

Mereka boleh terus lepak bersama di tempat yang mereka namakan 'ruang demokratik' ini walaupun masing-masing menyokong calon berbeza untuk pilihan raya Februari akan datang. - Foto Karim Raslan
Mereka boleh terus lepak bersama di tempat yang mereka namakan 'ruang demokratik' ini walaupun masing-masing menyokong calon berbeza untuk pilihan raya Februari akan datang. - Foto Karim Raslan


Perkara ini memang benar. Tanah Abang yang dulu merupakan kawasan yang terkenal dengan kumpulan gangster dan keadaan huru-hara telahpun diubah. Jalan rayanya pun tidak lagi disempitkan dengan gerai-gerai haram lalu memberikan ruang untuk pasaran tekstil.

Kini, Pak Udin yang berumur 34 tahun telah menyaksikan transformasi populasi – majoritinya orang Islam – yang sangat padat (kira-kira 31,000 orang untuk setiap kilometer persegi) di bawah pimpinan tegas (atau menurut sesetengah orang, gemar mencarut) Gabenor mereka, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok.                      
 
Malah, Pak Udin dan isterinya, Ibu Sri Yani, sangat kagum dengan Kartu Jakarta Pintar, fasiliti ala kad ATM, yang menyediakan golongan ibu bapa (rata-ratanya golongan ibu) dengan wang saku untuk digunakan bagi perbelanjaan anak mereka; dengan peruntukan IDR150,000- 350,000 setiap dua bulan.          
             
"Setiap barangan yang dibeli dengan kad ini mesti untuk anak. Segala resit wajib disimpan dan diberi kepada guru sekolah."                  

Fiki, 18, pelanggan tetap warung Pak Udin, bekerja sebagai anggota keselamatan di Hotel Indonesia. - Foto Karim Raslan
Fiki, 18, pelanggan tetap warung Pak Udin, bekerja sebagai anggota keselamatan di Hotel Indonesia. - Foto Karim Raslan


Di negara yang sangat dikenali dengan amalan rasuah, ibu bapa muda ini jelas teruja dengan ketelusan dan profesionalisme inisiatif tersebut.                     
  
Namun, saya sedikit terkejut dengan sokongan mereka terhadap Ahok yang sering mendapati liputan luas atas dakwaannya yang menghina Islam.

Saya bertanya jika mereka, yang beragama Islam, tidak terganggu dengan sikap Gabenor yang beragama Kristian dari etnik Cina ini.

“Kita kini sedang menyoalkan kepimpinan hal-ehwal pentadbiran, bukan agama," kata Pak Udin. "Persoalannya adalah pemilihan seorang Gabenor yang mentadbir, bukan seorang guru agama. Kita perlu menilai keberkesanan ketiga-tiga calon berdasarkan prestasi dan program mereka".               
       
"Ahok boleh buat kerja. Secara automatik, pegawai di bawah pentadbiran beliau pun boleh melaksanakan tugas mereka. Dengan Ahok, kita dapat lihat cara beliau bekerja dan menikmati hasil gerak kerja beliau".    

"Setiap barangan yang dibeli dengan kad ini mesti untuk anak. Segala resit wajib disimpan dan diberi kepada guru sekolah," kata Pak Udin. - Foto Karim Raslan
"Setiap barangan yang dibeli dengan kad ini mesti untuk anak. Segala resit wajib disimpan dan diberi kepada guru sekolah," kata Pak Udin. - Foto Karim Raslan


Terkejut dengan keteguhan pendiriannya, saya bertanya lagi: "Kamu tidak rasa Ahok menghina agama Islam?”

"Saya telah menonton video itu, dan saya tidak bersetuju. Puak yang mengadakan demonstrasi ini ada pelbagai niat dan agenda. Bukan semua mahu Ahok dipenjarakan.

"Malah, kebanyakan jiran saya dari Tanah Abang hanya ikut sahaja acara 4 November itu. Mereka hanya ingin tahu (apa yang sedang berlaku). Sebahagian mereka sudah pulang ke rumah masing-masing pada pukul 3 petang".  

"Memandangkan saya ada di sini sepanjang masa, banyak yang saya dengar. Kami terima pelbagai jenis pelanggan di warung ini - ada yang menyokong Ahok, ada yang tidak sokong, dan ada juga mereka yang menyokong Agus Yudhoyono dan Anies Baswedan. Pada pilihanraya Presiden 2014 dulu, tempat ini jelas memihak kepada Prabowo."                       

Orang Jawa (36.2% daripada populasi) merupakan kumpulan etnik terbesar di ibu kota Indonesia yang mempunyai seramai 10 juta penduduk. Bilangan mereka melebihi jumlah komuniti Betawi tempatan, yang dulunya merupakan kumpulan majoriti.                       

Persepsi mereka terhadap Ahok, rekod beliau serta kes hina Islam itu sudah tentu akan menjadi perkara pokok dalam pilihan raya di Jakarta yang akan datang.                 

Salah satu daripada deretan kedai di Jalan Lontar Atas di Tanah Abang yang dicemari graffiti. - Foto Karim Raslan
Salah satu daripada deretan kedai di Jalan Lontar Atas di Tanah Abang yang dicemari graffiti. - Foto Karim Raslan


Merendah diri dan sering sukar untuk "dibaca", tidak wajar untuk menganggap kumpulan ini sependapat dengan kumpulan yang ingin melihat Ahok ditahan.                       

Oleh itu, ketika penduduk Jakarta bersiap sedia untuk demonstrasi yang bakal berlangsung pada Jumaat ini, semua orang harus ingat bahawa bandar ini bukannya satu monokrom, tetapi jauh lebih sarat dengan kepelbagaian dan tidak terhad kepada baju putih yang dipakai penyokong Barisan Pembela Islam (FPI) dan Pergerakan Nasional bagi Pembela Majlis Fatwa Ulama Indonesia (GNPF - MUI), yang majoritinya bukan penduduk bandar.                       

Seperti mana yang dikatakan Pak Udin sebelum kami berpisah, “Indonesia mempunyai pelbagai agama, bukan hanya satu.”

Jalan Lontar Atas yang sempit ini meriah dengan kenderaan dan pengunjung, termasuk pada waktu malam. - Foto Karim Raslan
Jalan Lontar Atas yang sempit ini meriah dengan kenderaan dan pengunjung, termasuk pada waktu malam. - Foto Karim Raslan



SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp

Artikel Berkaitan