article-main-image
Prev Prev Next Next

indonesia

Jawa Barat: Suatu petanda pilihan raya?

PADA 27 Jun 2018, wilayah Jawa Barat, Indonesia - dengan penduduk 48 juta (tertumpu pada satu kawasan lebih kecil daripada Belanda, bekas kuasa penjajah) mengadakan pilihan raya.

Pertandingan untuk jawatan gabenor adalah sebahagian daripada pusingan pilihan raya wilayah, daerah dan bandar di seluruh negara yang akan melibatkan lebih daripada separuh penduduk republik itu, yang berjumlah 265 juta (iaitu 152 juta pengundi).

Pada tahun 2014, ketika Presiden Joko Widodo (Jokowi) dianggap sebagai orang luar, beliau kalah di wilayah itu kepada pencabarnya, bekas anggota Kopassus (Pasukan Khusus), Jeneral dan menantu Suharto, Prabowo Subianto dengan kelebihan besar, 19 peratus.

Pada tahun-tahun selepas pelantikannya, Jokowi menumpukan masa dan tenaga kepada Jawa Barat - lebih banyak melawatnya daripada mana-mana bahagian republik itu, termasuk wilayah kampung halamannya iaitu Jawa Tengah.

Jawa Barat adalah kampung halaman orang Sunda, yang jelas berbeza daripada kaum majoriti Jawa. Ia dari dulu dikenali sebagai kubu konservatisme Islam, dengan sejarahnya yang dibanggakan. Ia tidak begitu meminati bekas Datuk Bandar Solo itu.

Indonesia sedang bersedia untuk Pemilihan Umum Daerah dengan 152 juta pemilih - lebih dari setengah penduduknya  - mengambil bahagian. Yulius Satria Wijaya/Antara
Indonesia sedang bersedia untuk Pemilihan Umum Daerah dengan 152 juta pemilih - lebih dari setengah penduduknya - mengambil bahagian. Yulius Satria Wijaya/Antara


Pun begitu, walaupun dengan keluasannya yang agak kecil, ia meliputi suatu gugusan daerah-daerah yang berbeza di antara satu sama lain, dari bandar-bandar raya Garut dan Tasikmalaya jauh di pedalaman hinggalah kepada ibu kota wilayah Bandung dengan seni bina modernis Belanda yang elegan.

Tetapi mungkin bahagian wilayah yang paling berpenduduk padat dan berindustri adalah di pinggiran bandar di sekitar Bekasi, Bogor dan Depok yang menjalar dan berlapis-lapis mengelilingi Jakarta.

Pembangunan infrastruktur merupakan ciri-ciri besar pentadbiran Jokowi dan Jawa Barat adalah pihak yang paling banyak memperoleh manfaat darpadai usaha ini.

Terdapat jalan-jalan bertol, hubungan rel, pelabuhan dan lapangan terbang baharu - termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kertajati yang baru dibuka, pelabuhan laut dalam Patimban dan laluan LRT menghubungi ibu kota Jakarta dengan Bogor, Depok dan Bekasi.

Tidak menghairankan, kali ini, parti politik Prabowo, Gerindra kelihatannya tidak meperolehi kedudukan baik menjelang pilihan raya wilayah.

Calon gabenor Ridwan Kamil menjalankan kempennya di Kabupaten Bogor. Regit/Ceritalah
Calon gabenor Ridwan Kamil menjalankan kempennya di Kabupaten Bogor. Regit/Ceritalah


Tiket yang didokong oleh parti itu, dan sekutunya, PKS yang merupakan Islamis konservatif, bekas Mejar Jeneral Sudrajat dan Ahmad Syaikhu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan sokongan. Buat masa ini, mereka ketinggalan jauh dari calon-calon lain yang berada di garisan depan, iaitu Ridwan Kamil/Uu Ruzhanul dan Deddy Mizwar/Dedi Mulyadi, kedua-duanya memperoleh tarikan besar daripada orang ramai.

Ridwan yang berusia 49 tahun - Datuk Bandar Bandung - adalah seorang arkitek berpendidikan UC Berkely yang keprihatinannya terhadap alam sekitar adalah selari dengan suasana masa kini.

Pesaing paling hampirnya, Deddy, Timbalan Gabenor Jawa Barat dan seorang pengarah pelakon/filem popular adalah tokoh terkenal di seluruh wilayah itu. Walaupun beliau tidak beraksi sebaik Datuk Bandar yang telegenik dalam debat di televisyen, Pak Deddy tetap merupakan seorang calon yang kuat.

Bagaimanapun, tidak semua pilihan raya wilayah (yang dipanggil sebagai 'Pilkada') menjadi begitu panas. Pertandingan di Jawa Tengah adalah amat berat sebelah dengan penyandang sedia ada, Ganjar Pranowo dari parti Megawati Soekarnoputri, PDI-P dijangka akan kembali berkuasa.

Pun begitu, dengan pilihan raya presiden akan berlangsung awal tahun depan, adalah tidak dapat diragukan bahawa pilihan raya tempatan ini akan menjadi suatu penunjuk bentuk pertandingan berikutnya.

Sebagai contoh, dalam tinjauan terbaru terhadap Jawa Barat, Indikator Politik Indonesia (sebuah badan tinjauan tempatan) melaporkan bahawa dalam pertandingan satu lawan satu dengan Prabowo, 50 peratus daripada pengundi akan memilih semula Jokowi sementara 39 peratus menyokong bekas Jeneral itu.

Adalah kelihatan bahawa percaturan telah berubah (sekurang-kurangnya di Jawa Barat) dan pihak bertahan telah membina kelebihan yang besar - hinggakan kekalahan bagi pasukan Hasanuddin-Anton Charliyon yang didokong PDI-P bagi pertandingan gabenor tidak akan menjejaskan peluang Jokowi untuk dipilih semula.

Deddy Mizwar mengambil bahagian dalam satu majlis melibatkan komuniti di Bandung, Jawa Barat. Regit/Ceritalah
Deddy Mizwar mengambil bahagian dalam satu majlis melibatkan komuniti di Bandung, Jawa Barat. Regit/Ceritalah


Seperti mana perkara yang lain dalam politik Indonesia, apa yang menjadi perkiraan ialah kepentingan dan personaliti, dan tidak begitu sangat kepada parti.

Sudah tentu, ini adalah Indonesia, negara demokrasi ketiga terbesar dunia merentas ribuan pulau, adalah kurang bijak bagi seseorang untuk mengenepikan kemungkinan akan berlakunya perubahan mengejut.

Namun begitu, jika anda mahu merasakan ke mana arah tuju politik Republik ini: perhatikanlah Jawa Barat.



NOTA: Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.





SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp

Artikel Berkaitan