article-main-image
Prev Prev Next Next

Pengenalan

Karim Raslan kembali dengan Ceritalah ASEAN

MEI 1998 – nilai matawang Rupiah jatuh merudum. Rusuhan etnik tercetus di Jakarta. Usahawan-usahawan beretnik Cina diburu dan diancam keganasan.

Sumartono Hadinoto, seorang usahawan Indonesia beretnik Cina yang tinggal di Solo yang terletak sejauh 556 kilometer kearah Timur dari Jakarta, berasa resah. Beliau tahu ada sesuatu yang tidak kena.

Bandar yang padat ini sunyi sepi. Selang beberapa jam, rumahnya telah diserang, dirompak dan dibakar. Beliau sempat untuk melarikan diri dari sekumpulan perusuh dengan merangkak keluar melalui lubang di laman belakang rumahnya.


Peristiwa itu masih lagi menghantui beliau apabila saya menemu bual beliau sepuluh tahun kemudian. Namun, Sumartono tetap berfikiran optimis dan percaya bahawa beliau harus menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat majmuk untuk masa hadapan.

Dengan bantuan usahawan dari etnik Cina yang lain, beliau mula mengumpul dana bagi menyumbang ambulans dan menjalankan kempen kesihatan untuk masyarakat setempat. Beliau tahu dan percaya bahawa usaha yang gigih serta rasa rendah diri perlu untuk memperbaiki hubungan antara kaum.

Beliau dengan santai menjelaskan bahawa Solo sangat bertuah. Datuk Bandar Solo, seorang peniaga perabot yang menceburi bidang politik, telah berjaya untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan masyarakat bandar yang dilanda konflik.

Enam tahun kemudian, saya kembali di Solo bersama sekumpulan krew TV. Sumartono merupakan subjek wawancara saya. Ketika itu, pilihan raya bagi memilih Presiden sedang hangat berlangsung. Secara kebetulan, Datuk Bandar Solo yang beliau kisahkan dahulu (yang telahpun menjadi Gabenor Jakarta ketika itu) merupakan salah seorang calon.

Kami merakam babak-babak terakhir di jalan-jalan di bandar Solo yang penuh sesak dengan orang ramai yang menyambut Tahun Baru Cina. Mereka menyalakan pelbagai jenis tanglung, lalu melepaskannya ke langit yang gelap gelita.

Beberapa bulan kemudian, mantan Datuk Bandar Solo tersebut diisytiharkan sebagai Presiden Indonesia. Timbalannya di Jakarta, seorang ahli politik beretnik Cina, telah diangkat menjadi Gabenor bandar tersebut. Rentetan peristiwa ini sangatlah mengagumkan - sehingga kini, saya masih lagi terpegun.

Namun begitu, inilah keajaiban lumrah hidup di Asia Tenggara: cerita seperti ini mampu berlaku. Jika anda bernasib baik, mungkin anda boleh menyaksikannya sendiri.

Saya mahu mendengar dan menyaksikan semua cerita-cerita seperti ini. Inilah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan “Ceritalah”.

Sememangnya, frasa “ceritalah” ini sering didengari di kedai-kedai kopi. Setelah sekian lama, saya sedar bahawa sesuatu cerita itu akan membawa saya kepada cerita yang lain sehinggalah ia membentuk jaringan memori, mimpi dan cerita-cerita yang menakjubkan.

Saya telah menulis kolum ini sudah lebih 20 tahun. Ia bermula di Malaysia, dan selalunya berkisar tentang cerita-cerita yang berlaku Malaysia, tanah air saya. Tapi cerita ini mula berganjak keluar – seolah-olah ia mempunyai nafas tersendiri – apabila saya sedar bahawa “penceritaan” tidak mengenal sebarang sempadan.

Sebenarnya, Kuala Lumpur yang dinamik dan sarat dengan obsesi terhadap kaum tidak mungkin sama sekali boleh difahami tanpa mengambil masa untuk memahami perkara yang berlaku di rantau sekelilinganya.

Tambahan pula, dalam era Brexit dan Trump telah meunjukkan bahawa golongan cendikiawan dan penganalisis telah gagal dalam menerangkan fenomena politik baru. Ceritalah ASEAN adalah sebuah kisah dari bawah, kisah masyarakat dari akar umbi.

Saya bukan menulis semata-mata untuk mengutarakan pandangan saya atau membawa suara golongan elit dan pemerintah. Saya sekadar seorang penulis yang mengumpulkan cerita-cerita dari segenap lapisan masyarakat, resah memikirkan cerita-cerita yang saya mungkin ketinggalan dan tidak dapat dengar dan himpun.

Selalunya, saya boleh ditemui berkelana dengan berbekalkan sebuah buku nota dan sebatang pen di tangan, badan bercondong ke arah pencerita yang saya temui, dan berkata, ceritalah…

Setelah sekian lama saya menulis tentang gugusan maritim Asia Tenggara, perhatian saya kini akan beralih kepada utara ASEAN, Vietnam, Thailand dan Myanmar: beralih dari kepompong masyarakat majoriti Muslim dan Katolik ke masyarakat beragama Buddha dan Konfusianisme.

Tambahan pula, mungkin kerana saya sudah “letih” dengan landskap politik semasa, saya akan menulis lebih banyak cerita menarik yang sering membuatkan kita terleka dengan telefon pintar - cerita tentang penyanyi, jaguh sukan, pelakon – yang kita sering taksubkan.

Selain itu, penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN atau (AEC) juga telah memberikan dorongan untuk saya mengembara semula.

Setelah melihat sendiri bagaimana warga UK telah memilih untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU), secara langsung memudaratkan masa hadapan mereka, saya ternanti-nanti apa yang kita akan hasilkan daripada eksperimen yang kita sedang lakukan secara kolektif di ASEAN.

Adakah kita tahu apa yang kita lakukan? Adakah kita sudah merangka pelan strategik? Relevankah AEC kepada hidup seseorang warga ASEAN biasa?

Justeru, bagi benar-benar memahami persoalan-persoalan ini, saya telah mengambil keputusan untuk melihat dengan mata saya sendiri sama ada hubungan antara negara kita benar-benar wujud, atau hanya tercatit dalam minit-minit mesyuarat diplomasi yang panjang lebar dan penuh dengan omong kosong.

Adakah Negara-negara ASEAN hanya sekadar suatu perhentian di antara India dengan China (kita hiraukan yang pertama, kita geruni yang kedua), atau wujudkah seutas “benang merah” yang mengaitkan kita antara satu sama lain.

Apa-apa pun, saya akan tetap mengejar cerita-cerita di rantau ini – dengan catatan tambahan yang lahir ketika saya menikmati keenakan secawan kopi di tepi jalan ataupun ketika berbual dengan seorang yang cantik dan ceria.

Saya akan mengenalpasti tren yang menarik dan saya harap anda akan tertarik dengan kupasan saya. Mungkin juga saya akan ke luar dari ASEAN untuk menceritakan dan memberi perhatian terhadap peristiwa-peristiwa penting yang akan memberi kesan yang besar kepada rantau ini.

Walaupun Ceritalah adalah catatan berdasarkan pemerhatian, tindakan, perasaan dan pemikiran saya, saya berharap ia akan menjadi sesuatu yang boleh dikongsi bersama dengan pembaca-pembaca saya.

Mengapa?

Pokoknya, cerita kita yang mampu menghubungkan kita, yang mengikut kita bersama dan menginsankan dan menginsafkan kita.

SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp