article-main-image
Prev Prev Next Next

Singapura

Karya seni Asia Tenggara di Venice

Sesuatu yang tidak pernah terbayang terjadi di Biennale Venice tahun ini: hasil karya dari Asia Tenggara jadi kacau-bilau.

Karya seni dari Indonesia nampak kusam, dari Filipina tidak mengilhamkan, dari Thailand begitu begitu saja dan dari Singapura! Karya-karya dari Singapura penuh dengan keajaiban, misteri dan keindahan. Apakah sebenarnya yang sedang berlaku?

Setiap lebih kurang dua tahun sekali, selama lebih seratus tahun, Venice (atau La Serenissima) — sebuah kota paradoks di sebuah laguna — menjadi tuan rumah kepada pameran seni terbesar dunia.

Pertama, pameran rasmi yang dipilih dan disusun oleh kurator yang berlainan bagi setiap tempat. Bertempat di Arsenale (tempat yang suatu masa dulu merupakan limbungan kapal dan persenjataan bagi Venice), pameran itu menganjur di kawasan seluas lebih beratus-ratus hektar dengan berlatarbelakangkan konkrit kasar, besi dan bata. Harus diingat bahawa La Serenissima merupakan sebuah kuasa industri seawal tahun 1100 dan istana serta gereja dengan hiasan mewah gaya baroque yang memenuhi kota ini dibina di atas kejayaan ekonominya yang dinamik.

Paviliun Thailand yang berada di Pameran - Thai Pavilion 2017 Facebook page
Paviliun Thailand yang berada di Pameran - Thai Pavilion 2017 Facebook page


Kedua, pavilion negara-negara yang sebahagian besarnya terletak di taman Giardini dari era Napoleon di samping Arsenale. Pavilion-pavilion ini — ia bukannya galeri — dipenuhi oleh negara-negara Eropah dengan sejumlah kecil dari negara-negara Latin Amerika serta Jepun, Korea dan Australia.

Penggunaan kata “pavilion” itu mustahak: ia membayangkan sebuah ruang tiga dimensi yang harus diisi dan disusun.

Biennale Venice bukanlah hanya sekadar memasang beberapa lukisan pada dinding. Sebuah pavilion nasional harus spektakular dan memberikan kesan imej tiga dimensi — sebuah pengalaman deria yang benar-benar menyeluruh.

Dalam hal ini, pavilion Jerman sangat menonjol dengan mengangkat pandangan distopian yang cukup mengganggu tentang kehidupan moden. Artis Anne Imholtz memasang dinding dan lantai kaca di dalam pavilion; mencipta suasana yang agak meresahkan dan mengelirukan apabila jurang antara penonton dan pelakon yang memakai pakaian sukan bersilih ganti terus-menerus.

 Vincenzo Pinto / AFP / Getty
Aktor menampilkan “Faust” dari seniman German Anne Imhof - Vincenzo Pinto / AFP / Getty


Sepanjang aksi berlangsung, saya mula tertanya apakah saya hanya seorang pemerhati yang pasif atau pengintai yang menganggu?

Bagaimanapun, selain daripada Giardini, pavilion negara-negara bertaburan di serata kota dan sesetengahnya agak mengharukan.

Misalnya, Iraq dan Iran mengangkat pavilion yang memberikan penekanan kepada tradisi sebelum Islam masing-masing. Makanya, apa sudah jadi kepada negara-negara Asia Tenggara?

Seperti yang disebut tadi, pavilion Singapura begitu menarik dan mempesona: badan kapal sepanjang 40 kaki yang diperbuat daripada rotan dan diikat dengan lilin lebah dan tali merah. Tergantung dari siling, arca itu mengimbau sejarah perdagangan Singapura (tidak seperti Venice) serta warisan bersama Melayu-Riau rakyatnya. Arca ciptaan artis Zai Kuning itu merupakan sebahagian daripada lanjutan penerokaan peribadi beliau terhadap identiti Melayu — menggali jauh sehingga ke akar sebelum Islam Sriwijaya dengan tema dukungan tentang Orang Laut di kepulauan Riau serta tradisi mak yong.

Sebagai perbandingan, apa yang dipertunjukkan oleh Indonesia dan Filipina terasa begitu rumit dan dibuat-buat. Rujukan kepada ikon nasionalis dan terpelajar Jose Rizal dan sejarawan Asia Tenggara Ben Anderson hanya menunjukkan keterbatasan hasil karya yang dipertontonkan.

Bahawa Manila kini merupakan pusat kesenian kreatif yang paling menguja di rantau ini, penampilannya yang lesu — beberapa lukisan Manuel Ocampo (karya daripada tahun 1990-an jauh lebih bagus daripada karya terbarunya) dan beberapa kotak cahaya yang cuba mencontohi karya Tracey Emin, gagal.

Biarpun begitu, acara sampingan di bandar raya itu (Zobel Contrapuntos) yang mempamerkan hasil karya mendiang artis Fernando Zobel terasa lebih memuaskan hati. Disusun dengan teratur, pameran itu menangkap inti tokoh dwinegara dengan susur galur sebagai bangsa Sepanyol dan Filipino dan meneroka estetika “penghuraian terkawal”nya.

Karya artis Indonesia Tintin Wulia bercita-cita besar dan menarik minat — memancarkan peristiwa berdarah tahun 1965 ke atas sebuah masa depan yang terbayang. Bagaimanapun, persembahannya tidak menarik dan hambar.

Pavilion Thailand oleh artis Somboon Hormthiethong yang disegani terasa sinis dan semacam satu gurauan merayakan Bangkok — sebuah jukstaposisi tembikar dan kerusi plastik. Walaupun menarik ia agak kurang mendalam.

Sebagai perbandingan, Zai Kuning dari Singapura menguasai pavilion”nya” — ruangnya. Beliau mencipta sebuah karya seni — perahu terapung — yang bertukar jadi konkrit tandus di bahagian bawah. Ini mencetuskan rasa petualangan dan godaan Nusantara. Karya seni dari Filipina dan Indonesia tidak memiliki kebijaksanaan yang ditunjukkan dalam karya Zai Kuning.

Seniman asal Singapura Zai Kuning dengan instalasinya “Dapunta Hyang: Transmission of Knowledge”, di Paviliun Singapura. Foto Singapore National Arts Council / Channel News Asia
Seniman asal Singapura Zai Kuning dengan instalasinya “Dapunta Hyang: Transmission of Knowledge”, di Paviliun Singapura. Foto Singapore National Arts Council / Channel News Asia


Berjalan-jalan dari satu pavilion ke satu pavilion di Giardini dan di tempat lain, saya juga terkesan bahawa pada tahun ini — pada Biennale yang pertama selepas Brexit dan Donald Trump — persoalan negara bangsa kembali muncul.

Pemerhati liberal seperti saya selama ini mabuk dengan mimpi tentang sebuah dunia tanpa sempadan. Golongan elit telah mendapat manfaat daripada globalisasi dan keuntungan itu memberi manfaat kepada golongan kaya, sekali gus mengetepikan rakyat biasa.

Sepanjang lebih 18 bulan yang lalu dengan tokoh seperti Trump dan Boris Johnson jadi pemimpin, kita telah menemukakan semula daya tarik luar biasa pada bangsa dan puak yang lebih kecil.

Apakah ertinya ini pada seni? Hasil seni harus berakar umbi pada pengalaman manusia dan pengalaman itu harus mempunyai cita rasa setempat.

Hasil karya oleh artis seperti Damien Hirst — yang juga dipertunjukkan di Venice — secara khususnya tidak termasuk dalam definisi itu. Atas semua kejayaannya dari segi kewangan, Hirst boleh disamakan dengan peguam yang mengelak cukai: menjolok mata, tidak berakhlak dan tidak berakar umbi. Hasil karyanya yang memalukan dan seperti sampah memenuhi galeri-galeri muzium peribadi milik Bernard Arnault (pemilik konglomerat mewah LVMH) yang sunyi sepi. Ia gandingan yang sempurna: orang yang mencipta beg tangan untuk elit antarabangsa kini mempamerkan sampah yang digambarkan sebagai hasil seni.

Stefano Rellandini / Reuters
“Horse problem” oleh seniman Argentina Claudia Fontes - Stefano Rellandini / Reuters


Sebagai perbandingan, apabila hasil karya seni kuat berjejak pada intelektual dan estetika, ia boleh pergi jauh. Selebihnya, hasil karya seni yang melibatkan diri dengan dunia nyata ada relevan dan pengaruhnya.

Cuba lihat pavilion Amerika dengan artis kulit hitamnya yang juga seorang gay Mark Bradford. Beliau menjadikan tablonya sebagai sebuah komentar tentang sebuah negara yang sedang berperang dengan diri sendiri. Beliau mengunci dan memalam pintu depannya, memaksa pengunjung masuk dari sebelah tepi. Siling dewan itu dilutupi dengan selaput kotoran kuning yang nampak mencengkam.

Ia memualkan dan tercemar — sama seperti Donald yang Agung itu sendiri.

SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp