article-main-image
Prev Prev Next Next

thailand

Kemangkatan seorang Raja

SAYA membesar di sebuah negara yang mempunyai bukan setakat satu, tetapi sembilan keluarga kerabat diraja. Justeru, apabila saya mendengar berita kemangkatan Raja Thailand, Bhumibol (Rama IX), saya menyangkakan saya tahu apa untuk dijangkakan.

Sebaliknya, saya telah menerima satu kejutan kecil. Baginda tidak sombong, jahil mahupun kasar. Tambahan pula, baginda memiliki wajah yang halus, kecil dan runcing yang dialas kaca mata besar yang seolah-olah hampir tercicir daripada hidungnya setiap kali baginda melakukan program turun padang baginda yang ikonik di kawasan luar bandar Thailand yang telah lama terabai, bertemankan sebuah kamera yang digantung di leher baginda.

Sememangnya, pemilik takhta Chakri yang ke-sembilan ini merupakan contoh terbaik pemimpin yang merendah diri dan tidak riak. Malah, baginda seolah-olah sengaja mengundurkan dirinya daripada perhatian media untuk mendalami minat baginda: bermain saxophone dan berusaha untuk menambah baik dasar bekalan air di kawasan luar bandar.

Saya sukar untuk membayangkan seseorang insan yang mempunyai kuasa yang begitu luas sehingga boleh menitahkan ahli politik yang bertengkar untuk duduk bersimpuh menghadap baginda tetapi masih memiliki sifat malu mirip kanak-kanak.

Beberapa tahun kemudian, di Jawa Tengah, saya telah bertemu dengan seorang lagi pemerintah diraja, Sri Sultan Hamengkubuwono IX dari kerabat diraja Yogyakarta yang cukup terkenal (yang mempunyai semangat anti-Belanda yang tegar), yang saya dapat tahu cukup selesa dengan panggilan “Pak Sultan” atau “Encik Sultan” semata-mata.

Glorify His Prestige' by Kraisak Chirachaisakul (2014). - Pic credit Numthong Gallery

'Glorify His Prestige' oleh Kraisak Chirachaisakul (2014). - Kredit foto Numthong Gallery

Kalau kita mengambil kira initipati etos revolusi yang dicetus pada era kepimpinan Presiden Sukarno beberapa dekad yang lalu, tidak hairanlah kenapa masyarakat Indonesia tidak berpegang kepada adat istiadat diraja yang rasmi.

Sebaliknya di Filipina, sebuah negara yang sejarah kepimpinannya telah dicorak oleh penguasaan oleh ketua-ketua puak yang pelbagai – cara hidup yang tidak mengalami sebarang perubahan drastik sejak era penjajahan Sepanyol – konsep pemerintahan beraja tidak pernah memasuki benak fikiran rakyat di luar wilayah Mindanao dan Visayas.

Jelas bahawa konsep dan istiadat sistem pemerintahan monarki telah diterima dan berkembang secara berbeza bergantung pada konteks negara asal anda di rantau ini. Oleh yang demikian, setelah Raja Bhumibol menghembus nafas terakhirnya; saat di mana konsep insan, sejarah dan legenda telah bertemu, rata-ratanya, warga Asia Tenggara telah melihat dan menilai kematian baginda melalui kanta kebudayaan yang berbeza.

'BAPPAJJA' oleh Kraisak Chirachaisakul (2012) - Kredit foto Numthong Gallery
'BAPPAJJA' oleh Kraisak Chirachaisakul (2012) - Kredit foto Numthong Gallery

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa secara keseluruhannya, kita semua kagum apabila melihat penghormatan dan kehibaan penuh bermaruah yang ditonjolkan oleh rakyat Thai terhadap kemangkatan raja mereka.

Tentunya, perkembangan penggunaan media sosial telah merumitkan dinasti Chakri untuk meneruskan kemistikan institusi diraja tersebut.

Kita sering mendengar tentang undang-undang yang menghalang penghinaan raja yang drakonian, anak-anak baginda yang tidak beradab, anjing poodle peliharaan yang dianugerahkan pangkat ketenteraan dan parti malam yang aneh sehinggakan sukar bagi kita untuk menanamkan sebarang rasa skeptik terhadap insan hebat ini, ataupun lebih tepat, keluarga baginda.

Namun yang demikian, kita di Asia Tenggara sudah cukup kenal dengan kisah anak-anak pemerintah hebat yang telah mencemar reputasi ayah-ayah mereka.

Menjelang saat baginda naik takhta pada tahun 1946 setelah kemangkatan kontroversial abang baginda Ananda (Rama VIII), Raja Bhumibol dan penasihat diraja baginda telah mencorakkan naratif nasional Thailand supaya berpaksikan persona dan wajah segar permaisurinya yang muda dan anggun, Permaisuri Sirikit.

Baginda bersama penasihatnya telah menggerakkan inisiatif ini dengan kerjasama pemerintah tertinggi tentera sepanjang generasi pimpinan yang berturut-turut serta golongan bangsawan Bangkok. Namun, jelas bahawa Bhumibol merupakan seseorang yang handal dalam menjaga imejnya dan ini terserlah nyata apabila baginda muncul daripada pergolakan Perang Dingin (termasuklah pembunuhan beramai-ramai di Universiti Thammasat pada tahun 1979), bukan sahaja dengan reputasi diraja yang terjaga dan tidak tercemar, malah dengan reputasi yang lebih baik berbanding dengan pemerintah-pemerintah junta pada ketika itu.

MY LOVE' oleh Kraisak Chirachaisakul (2012) - Kredit foto Numthong Gallery
'MY LOVE' oleh Kraisak Chirachaisakul (2012) - Kredit foto Numthong Gallery

Hampir kesemua pencapaian  besar atau kecemerlangan yang dikecapi Thailand dianggap berpunca daripada kehebatan pemerintahan monarki yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat atau semangat aktivisme institusi ini, termasuk pengakhiran sistem pemerintahan mutlak pada tahun 1932.

Sememangnya, selama pemerintahan baginda, Thailand telah muncul sebagai kuasa ekonomi yang besar di rantau ini, dengan tenaga kerja yang berpendidikan tinggi dan produktif serta sektor pembuatan dan pelancongan yang dikagumi negara-negara jiran.

Namun, kita tetap harus berpijak di bumi yang nyata, dan mengambil kira kewujudan jurang politik dan jurang geografi sosial – antara penyokong pemimpin populis Thaksin Shinawatra yang telah dibuang negara dengan kumpulan lawan yang rata-ratanya merupakan penyokong tegar institusi diraja, serta jurang antara Bangkok dengan wilayah di utara dan selatan -  yang bukan sahaja tidak ditangani secara efektif oleh baginda, malah telah bertambah tegang.

Sementara Thailand bergelora dengan permasalahan sebegini, Bhumibol – yang usianya kian meningkat – seolah-olah menjadi seorang dewa yang semakin jauh daripada rakyatnya, melalui pengunduran dirinya daripada sebarang hal-ehwal pemerintahan negara dan pilihan baginda untuk tidak mengambil sebarang langkah intervensi untuk mententeramkan negara baginda pada waktu kemuncak pergolakan politik ini.
Tambahan pula, oleh kerana nadi politik tempatan terlalu berfokus terhadap peranan individu ini dan institusi diraja, peluang untuk sebarang sumber legitimasi kepimpinan alternatif untuk muncul secara efektifnya telah menjadi tipis, terutamanya di ketika Thailand berhadapan dengan pelbagai cabaran dari segi sosial dan politik.

Seorang raja sepatutnya menjadi simbol keadilan dan kesaksamaan – yang menghalang kezaliman pemerintah atasan dan melindungi rakyat yang lemah, serta mampu mengendali dan meleraikan konflik di antara kaum majoriti dan minoriti dalam sesuatu negara.

Namun, dengan Raja yang lemah dengan perhatian yang terganggu, Dinasti Chakri telah mengundurkan diri dan memilih untuk berdiam pada saat getir ini.

Sekiranya tahun 1992 merupakan kemuncak kegemilangan Raja Bhumibol, pergolakan kuasa yang berlangsung pada tahun 2006 dan tindakan keras kerajaan terhadap rakyat pada tahun 2010 merupakan dua peristiwa yang menjadi saat paling perit kepimpinan baginda.

Perlu ditekankan bahawa konsep penilaian kuasa dan pengaruh yang ada pada baginda berbeza dengan konsep penilaian mata wang kertas. Nilai kuasa dan pengaruh baginda tidak boleh bertambah kalau dikunci dalam peti simpanan bank.

Sebaliknya, nilai kuasa dan pengaruh baginda hanya boleh berkembang sekiranya digunakan secara bijaksana.

Akhir kata, terpulang kepada sejarah dan warga Thai untuk menentukan sama ada tindakan Raja ini di penghujung pemerintahannya selama 70 tahun merupakan tindakan yang wajar, sama ada tindakan baginda untuk mengundurkan diri daripada hal-ehwal politik merupakan keputusan yang betul atau pilihan tunggal yang ada pada baginda pada ketika itu.

Satu perkara yang jelas adalah: cara terbaik untuk menilai legasi seseorang adalah untuk melihat kalau ada wujudnya kesinambungan daripada usaha pemimpin ini setelah dia meninggalkan pentas kepimpinan.

Jasa dan sumbangan Raja Bhumibol terhadap Thailand dan rakyatnya serta pengaruh baginda ternyata jelas.

Tetapi – dengan masa depan Thailand yang berhadapan pelbagai cabaran - persoalan sejauh mana legasi baginda akan bertahan sudah pasti akan bermain di fikiran semua.

SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp