article-main-image
Prev Prev Next Next

Singapura

Kesan pilihan raya Malaysia melimpah ke Singapura?

PERDANA Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad adalah pemimpin Asia yang kata-katanya paling banyak dipetik orang.

Pada Mei lalu, sebaik saja Pakatan Harapan pimpinannya menang secara mengejut, beliau berkata masyarakat Singapura "...pasti sudah jemu mempunyai kerajaan yang sama, dari parti yang sama, sejak mencapai kemerdekaan" - suatu rujukan jelas kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memonopoli kuasa sejak enam dekad lalu.

Mahathir - seperti mana dilihat dalam sejarah - tidak berapa gemarkan Singapura.

Sudah tentu dapat difahami bahawa kenyataan tokoh berusia 93 tahun itu, terhadap negara kota tersebut, sejak kembali memegang kuasa, menarik banyak perhatian.

Tertarik dengan kemungkinan akan berlaku perubahan di Singapura, Pasukan Ceritalah menyeberang tambak untuk melihat apa penduduk tempatan fikir mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 dan bagaimana - jika ia berlaku - akan memberi kesan kepada mereka.

Penduduk Singapura berdepan masalah kos sara hidup yang tinggi, tetapi tidak ada isu seperti 1MDB. Hezril Azmin/Ceritalah
Penduduk Singapura berdepan masalah kos sara hidup yang tinggi, tetapi tidak ada isu seperti 1MDB. Hezril Azmin/Ceritalah


"Sesuatu yang mengujakan apabila PH menang. Tetapi, saya fikir, rakyat Singapura masih akan mengundi untuk sesuatu yang serupa dengan keadaan sekarang," kata Try Foo, seorang pelajar Pengajian Asia Tenggara berusia 25 tahun di Universiti Kebangsaan Singapura.

"Tidak banyak faktor yang boleh membawa kepada kemenangan di pihak pembangkang - seperti 1MDB dan Najib," kata Martino Tan, pengasas bersama platform media bebas Mothership SG.

Sememangnya, bekas Perdana Menteri Najib Razak dan gabungan parti Barisan Nasional (BN) yang memerintah, menghadapi tiga halangan kritikal.

“Sukar rasanya untuk melihat lebih jauh dari silaunya Singapura ini.” Hezril Azmin/Ceritalah
“Sukar rasanya untuk melihat lebih jauh dari silaunya Singapura ini.” Hezril Azmin/Ceritalah


Pertama, ia dicabar dengan suatu perasaan yang kuat bahawa ekonomi Malaysia - di bawah BN - telah gagal menyediakan peluang saksama dalam keadaan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup.

Kedua, cukai jualan yang amat dibenci dan kurang difahami (lebih dikenali sebagai GST) kelihatan telah mempercepatkan tekanan inflasi ke atas banyak barangan keperluan harian. Pengenalannya pada tahun 2015 lalu mengejutkan dan menaikkan kemarahan jutaan rakyat Malaysia, yang buat pertama kali berasa kesan buruk daripada cukai kepenggunaan - yang serta-merta membawa kepada penelitian lebih ketat terhadap perbelanjaan kerajaan.

Pengenalan GST pada 2015 berlaku sebaik saja skandal kewangan 1Malaysia Developent Berhad (1MDB) -- yang mengaitkan perdana menteri ketika itu, Najib Razak - sedang meletus. Pendedahan itu makin menghakis kewibawaan kerajaan yang sememangnya sudah goyang dan seterusnya membangkitkan suasana tidak puas hati di kalangan rakyat.

Muncul pula Dr Mahathir. Seorang yang tidak pernah kalah dalam pilihan raya sejak tahun 1969, warga nonagenarian itu menyulam satu tenunan naratif yang menyatukan kegagalan ekonomi yang kesannya sampai ke rakyat bawahan, pengenalan GST dan tuduhan korupsi terhadap Najib, menjadi suatu mesej pilihan raya yang kuat.

Adakah perkara sama boleh berlaku di Singapura?

Martino Tan, salah seorang pengasas Mothership.SG, berbincang dengan penulis mengenai kurangnya kekuatan dan populariti parti pembangkang. Hezril Azmin/Ceritalah
Martino Tan, salah seorang pengasas Mothership.SG, berbincang dengan penulis mengenai kurangnya kekuatan dan populariti parti pembangkang. Hezril Azmin/Ceritalah


Sudah tentu, ada benarnya yang keadaan ekonomi di Singapura sudah mula menjadikan hidup itu sukar bagi rakyat biasanya.

Banyak orang, seperti Melissa Teoh (bukan nama sebenar), berusia 34 tahun, ibu kepada seorang anak dan bekerja sebagai Operations Associate, terpaksa berdepan dengan kenaikan kos sara hidup.

"Saya beli dari Malaysia susu tepung untuk anak saya yang berusia 4 tahun. Satu tin di sana berharga RM64 berbanding SGD64 di sini. Kos hidup kami amat tinggi - kami bimbang tentang anak-anak kami."

Pada Mac 2018, The Economist Intelligence Unit meletakkan Singapura sebagai bandar raya paling mahal di dunia dari kalangan 133 negara - untuk lima tahun berturut-turut, mengalahkan Hong Kong, Tokyo dan Paris. GST Singapura sahaja sudah 7 peratus - lebih tinggi dari GST Malaysia sebelum ini yang pada kadar 6 peratus.

Tetapi, masalah politik Perdana Menteri Lee Hsien Loong adalah jauh lebih kecil berbanding apa yang dihadapi Najib.

Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura telah berkuasa selama 60 tahun. Masyarakat Singapura menyamakan parti itu dengan pemerintah mereka. Hezril Azmin/Ceritalah
Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura telah berkuasa selama 60 tahun. Masyarakat Singapura menyamakan parti itu dengan pemerintah mereka. Hezril Azmin/Ceritalah


'Skandal' terburuk Lee setakat ini - itupun kalau boleh dipanggil sebagai skandal - adalah perselisihan antara adik-beradiknya, Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling pada pertengahan 2017 mengenai nasib premis 38, Oxley Road, bekas kediaman mendiang bapa mereka dan pengasas Singapura, Lee Kuan Yew.

"Saya benar-benar bimbang apabila adik beradik itu membawa pertengkaran mereka ke pengetahuan umum - kami baru saja kehilangan Lee Kuan Yew. Saya bimbang kerajaan akan tumbang," kata Melissa.

Tetapi, seperti pemerhatian Martino, "Ia masih tidak mencukupi. Tidak terdapat tokoh popular di kalangan pembangkang, yang amat dikenali oleh golongan tua dan muda, yang boleh menyatukan dan menggerakkan orang Singapura untuk menimbangkan kemungkinan suatu perubahan terhadap kerajaan."

Ada rakyat Singapura yang mengharapkan pada Pritam Singh, Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) dan Ketua Pembangkang.

Beliau adalah sebahagian daripada pasukan WP yang memenangi Kawasan Perwakilan Kumpulan Aljunied (GRC) dalam Pilihan Raya 2011 yang keputusannya di luar jangkaan. Bagaimanapun, beliau yang berusia 41 tahun itu masih tidak dapat mencapai ketokohan atau pencapaian Mahathir: WP mengekalkan Aljunied pada tahun 2015 dengan kelebihan kurang daripada dua peratus.

“Kemenangan PH adalah sesuatu yang menarik. Tetapi, saya fikir, rakyat Singapura akan tetap mengundi untuk keadaan yang serupa seperti sekarang,” kata Try Foo, 25 tahun, mahasiswa National University of Singapore dalam bidang Pengajian Asia Tenggara. Hezril Azmin/Ceritalah
“Kemenangan PH adalah sesuatu yang menarik. Tetapi, saya fikir, rakyat Singapura akan tetap mengundi untuk keadaan yang serupa seperti sekarang,” kata Try Foo, 25 tahun, mahasiswa National University of Singapore dalam bidang Pengajian Asia Tenggara. Hezril Azmin/Ceritalah


Lagipun, politik Singapura boleh dikatakan kurang isu - selain daripada isu kenaikan kos sara hidup - untuk merangsang pengundi supaya menghasilkan perubahan.

Suka atau tidak, Singapura bukan Malaysia, walaupun banyak perkara yang mengikat kedua negara ini.

Detik-detik emosi yang tinggi mahukan perubahan demokratik tentunya sesuatu yang boleh dibanggakan oleh orang Malaysia dan Asia Tenggara.

Namun begitu, dengan tiadanya sama ada kontroversi yang menjadi tajuk utama berita atau pembangkang yang serius, PAP Singapura nampaknya tidak akan ke mana-mana pada waktu yang terdekat ini.

Sekurang-kurangnya tidak sehingga hari ini.

Pada Mei lalu, Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berseloroh mengatakan rakyat Singapura “...pastinya bosan dengan kerajaan dan parti yang sama sejak Merdeka.” Hezril Azmin/Ceritalah
Pada Mei lalu, Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad berseloroh mengatakan rakyat Singapura “...pastinya bosan dengan kerajaan dan parti yang sama sejak Merdeka.” Hezril Azmin/Ceritalah



*Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.


SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp