article-main-image
Prev Prev Next Next

myanmar

Kisah Hlaing Min serta kegagalan ASEAN terhadapnya

“MEMANG tiada sebarang harapan untuk kami. Tiap-tiap hari adalah sama. Kami harus bangun tidur tepat pukul 5 pagi. Saya harus menjalankan tugas-tugasan seperti menangkap ikan, mengawal jaringan tangkapan serta membersihkannya, dan juga memasak. Ada mereka yang tidak boleh bekerja. Mereka sering dipukul dan jika jatuh sakit, hanya ubatan ringan sahaja diberi. Kami dipaksa kerja tanpa rehat.. Apa yang dilakukan oleh kapten memang tidak berprinsip kemanusiaan.”

Hlaing Min, seorang warganegara Myanmar yang berusia tiga-puluh tahun, adalah antara mereka yang pernah terperangkap dalam perhambaan – selama dua tahun setengah – atas kapal perikanan yang meneroka perairan Benjina, sebahagian daripada Kepulauan Aru di Indonesia Timur.

Berasal dari bandar Myawaddy – di sempadan Thailand – beliau merupakan salah seorang daripada ratusan warganegara Myanmar yang telah dijadikan fokus dalam beberapa artikel luar biasa – oleh Associated Press (AP) pada lewat-Mac 2015 – yang mendedahkan perhambaan dan perikanan tuna di Lautan Arafuna.

Beliau juga merupakan mangsa kegagalan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam menjaga kebajikan bagi kumpulan rakyat yang sangat memerlukan; apa lagi pada ketika Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) baru sahaja bermula.

Bapa Hlaing Min meninggal dunia ketika Hlaing Min berusia empat tahun. Ini telah menekan ibu beliau untuk menyara satu keluarga, termasuklah dua adik perempuannya.

Hlaing Min dengan ibunya, Khin Thida, dan anak saudaranya. Sebagai satu-satunya anak lelaki, dia menjadi tulang belakang keluarga. Dia memberi dukungan kepada ibu, saudara perempuan dan anak-anaknya. Ayahnya meninggal ketika dia berusia empat tahun. - Gambar Karim Raslan

Hlaing Min dengan ibunya, Khin Thida, dan anak saudaranya. Sebagai satu-satunya anak lelaki, dia menjadi tulang belakang keluarga. Dia memberi dukungan kepada ibu, saudara perempuan dan anak-anaknya. Ayahnya meninggal ketika dia berusia empat tahun. - Gambar Karim Raslan


Kelemahan ekonomi Myanmar selepas Revolusi Saffron pada 2007 dan perkahwinan telah mendorong Hlaing Min untuk mengejar kehidupan yang lebih memuaskan – sama seperti warga Myanmar lain – di perantauan Thailand.

Selepas beberapa cabaran dan dengan menunggu kelahiran cahaya mata pertama– Hlaing Min menyangka bahawa beliau telah bertemu dengan peluang yang menakjubkan: “Beberapa orang Myanmar datang berjumpa saya dan berkata, ‘Hei, pendapatan awak disini sangat kecil, datanglah ke Malaysia dan awak boleh menjana pendapatan berlipat ganda.’ Oleh kerana saya hanya memperoleh THB5000 sebulan pada keitka itu, jumlah yang ditawarkan – THB10000 – sudah tentu menarik perhatian saya.”

Hlaing Min telah dijanjikan pekerjaan di “Pinang”, Malaysia dan diberi gaji pendahuluan sebanyak THB8000. Beliau menyalurkan wang ini kepada isterinya sambil berjanji untuk pulang selepas tempoh enam bulan.

Pada bulan Oktober, Hlaing Min telah memulakan perjalanannya ke Samut Sakhon, sebuah bandar pelabuhan di Thailand.

“Saya masih ingat bot berwarna kuning itu. Terdapat tujuh belas warganegara Myanmar ketika itu. Perjalanan bot yang sangat memakan masa itu telah mencetuskan perasaan curiga. Kami akhirnya mendarat di destinasi selepas tiga belas hari. Mereka semua tergelak ketawa apabila saya bertanya: ‘Adakah ini Malaysia?’ Tidak, mereka berkata. Ini adalah Indonesia. Ini adalah Benjina.”

Hlaing Min adalah korban perdagangan dan kerja paksa, dia bekerja di dalam kapal ikan di Laut Arafura. Menghabiskan waktu lima tahun ketika terdampar di Kepulauan Aru bahagian timur Indonesia. - Gambar Karim Raslan
Hlaing Min adalah korban perdagangan dan kerja paksa, dia bekerja di dalam kapal ikan di Laut Arafura. Menghabiskan waktu lima tahun ketika terdampar di Kepulauan Aru bahagian timur Indonesia. - Gambar Karim Raslan


Mereka akhirnya dipaksa menjadi hamba di bot-bot perikanan yang diketuai sekumpulan warganegara Thailand; dibantu oleh beberapa warganegara Indonesia dan Myanmar yang ditugaskan sebagai penguatkuasa.

Jarang sekali mereka dibayar. Mereka tidak dibenarkan pulang atau mempersoal perkara itu.

Syarikat berkenaan, Pusaka Benjina Resources, mengetuai operasi di darat dengan kegunaan rondaan bersenjata untuk mencegah pelarian. Mereka yang ditangkap telah dipukul dan dikurung dalam sangkar.

Pengasingan ini dapat membantu menguatkan cengkaman syarikat.

Kepulauan Aru sebenarnya lebih dekat dengan Darwin berbanding Jakarta, sama sekali sangat jauh dari Yangon. “Apabila kami berlayar di laut, kami langsung tidak tahu akan hari dan juga lokasi kami.”

Mujur bagi Hlaing Min, beliau berjaya melarikan diri dan menerima perlindungan daripada penduduk tempatan. Beliau masih bercerita dengan gembira tentang Pak Telli, seorang guru sekolah yang menyambutnya ke dalam rumah: “Dia membantu kami, memberi makanan dan tempat berteduh. Orang-orang tempatan sangat murah hati.”



Sambil bekerja sebagai buruh kasar, Hlaing Min diterima menjadi sebahagian daripada masyarakat tempatan dan mempelajari Bahasa Indonesia. Beliau hanya muncul kembali dari kawasan perhutanan apabila syarikat PBR diserbu pihak berkuasa Indonesia lebih kurang dua tahun setengah kemudian.

Setelah saya membaca liputan AP dan kemudiannya bertemu dengan Hlaing Min, saya bukan sahaja terpesona dengan kisah epik ala pengembaraan Odyssey ini, tetapi kisah ini turut mengingatkan kita kegagalan ASEAN dalam melindungi para nelayan yang telah diperhambakan.

Ketaasuban AEC terhadap perdagangan dalam rantau yang mempunyai pasaran pengguna seramai 650 juta orang telah menyebabkan kebajikan golongan pekerja separa- dan tidak mahir seperti Hlaing Min kian terabai.

Oleh kerana ketiadaan perlindungan undang-undang, ramai antara 6.7 juta lelaki dan wanita di Asia Tenggara yang merentasi sempadan telah jatuh menjadi mangsa kepada eksploitasi.

Kegagalan ini – yang dilihat sesetengah pihak sebagai persubahatan – telah mengakibatkan kos manusiawi yang mengejutkan.

Akhirnya, Hlaing Min dihantar pulang ke Myanmar hanya untuk menemui sebuah negara yang telah berubah: “Semuanya sangat berbeza. Semua orang mempunyai telefon bimbit dan kereta serta motosikal merata rata.”

Karim di Shwedagon Kuil. Ilustrasi Karim Raslan
Karim di Shwedagon Kuil. Ilustrasi Karim Raslan


Dari segi peribadi, keluarganya telah berpecah setelah isterinya bekerja di Thailand, anak perempuaanya yang berusia lima tahun bersama neneknya di Moulmein dan ibunya sendiri sukar mengerjakan kehidupan di Myawaddy, bandar yang kekurangan peluang pekerjaan.

Walaupun Hlaing Min tidak mempunyai pekerjaan tetap, semangatnya yang jitu, kemesraan dan kemahiran bahasanya telah menjadikan beliau sebagai salah seorang pemimpin di kalangan bekas “hamba” Benjina yang menuntut gaji mereka yang tidak pernah diterima.

Beliau juga sedang membantu dengan liputan dan kandungan CeritalahAsean. Kefasihan beliau dalam Bahasa Indonesia adalah kelebihan yang sangat berguna.

Hlaing Min mengakui bahawa penderitaannya ditambah teruk akibat pelbagai kegagalan pemerintahan ketenteraan pada masa itu. Jika ASEAN tidak bertindak untuk memperbetulkan

masalah-masalah yang melanda para pekerja separa- dan tidak mahir, saya yakin bahawa pengalaman Hlaing Min bakal menjadi kebiasaan.

Tambahan pula, kisah ini mendedahkan bahawa matlamat “ASEAN berpaksi rakyat” yang digembar-gemburkan hanyalah sekadar omong kosong.


SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp