article-main-image
Prev Prev Next Next

thailand

Melangkaui merah dan kuning di Chiang Mai

  • Chiang Mai adalah sebuah kubu kuat Thaksin - keluarga Shinawatra mempunyai sejarah panjang di sana dan satu laporan 2014 oleh akhbar The Australian menganggarkan bahawa 70 peratus daripada penduduk di situ masih menyokong Perdana Menteri yang disingkirkan.
  • Kerajaan tentera Thailand (yang dipimpin oleh Jeneral Prayut) telah dua kali menangguhkan pilihan raya. Tarikh akhir ialah November 2018, bermakna bahawa rakyat Thai terpaksa menunggu empat tahun untuk pilihan raya.
  • Dengan menekankan pada pengukuhan hubungan masyarakat, pemimpin-pemimpin tempatan kampung telah berusaha menghubungkan jurang antara kumpulan Merah dan Kuning.

DI Chiang Mai, nama Shinawatra - keluarga Perdana Menteri yang disingkirkan, yang juga seorang jutawan, Thaksin - mempunyai akar yang kukuh.

Shinawatra Silk kini merupakan jenama sebutan ramai, setelah mempelopori transformasi fabrik, dari kerja kraftangan kepada industri serantau.

Loet, bapa Thaksin, berkhidmat sebagai Ahli Parlimen untuk bandar raya itu pada tahun 1969 dan 1976, sementara bapa saudaranya, Sujate pernah menjadi datuk bandar.

Ia juga merupakan sebuah nama yang telah membahagi Thailand lebih dari satu dekad, dengan negara yang kuat beragama Buddha itu berpecah kepada kumpulan Baju Merah yang pro-Thaksin dan Baju Kuning yang menentangnya.

Chiang Mai, kubu kuat tradisi Thaksin (satu laporan media 2017 oleh akhbar The Australian menganggarkan sehingga 70 peratus penduduk Chiang Mai menyokongnya), telah mengalami polarisasi. Pada tahun 2014, suatu proses penyingkiran seluruh negara telah berlaku - selepas suatu rampasan kuasa menggulingkan adik perempuan Thaksin, Yingluck daripada jawatannya - di mana gabenor wilayahnya telah dipindahkan ke Thailand Tengah, sementara ketua polisnya dipindahkan ke jawatan lain.

Jurang itu telah merembes hingga ke peringkat ketua kampung.

Boonthawee, berusia 55 tahun, seorang ketua kampung di Mu Song (harfiyahnya bermaksud Kampung No. 2), menangani pembahagian itu setiap hari.

Boonthawee di rumahnya. Dia juga menyimpan peralatan audio yang dihubungkan dengan 32 pembesar suara di sekitar wilayah Mu Song, membolehkan dia membuat pengumuman setiap hari. Foto Karim Raslan
Boonthawee di rumahnya. Dia juga menyimpan peralatan audio yang dihubungkan dengan 32 pembesar suara di sekitar wilayah Mu Song, membolehkan dia membuat pengumuman setiap hari. Foto Karim Raslan


"Saya telah berkhidmat di kampung ini yang mempunyai 1,200 penduduk, selama 11 tahun. Saya telah uruskan semua jenis masalah: jenayah, dadah, pendatang haram, pergaduhan orang mabuk, kebakaran... tetapi yang paling sukar masih lagi usaha untuk menghubungkan dua kumpulan itu."

Beliau lahir dan dibesarkan di Chiang Mai. Anak kepada sorang pekerja pejabat dan penjual loteri, Boonthawee telah melihat Mu Song berubah dari sebuah komuniti penanam padi kepada sebuah penempatan pinggir kota.

"Ketika saya muda, saya membantu ibu saya menanam padi dan sayuran untuk mendapatkan pendapatan sampingan. Pada paginya, saya pergi ke sekolah di kuil. Kemudian saya akan membantu beliau menjual barangannya."

Selepas lulus sekolah menengah, Boonthawee menjadi jurujual bergerak, kemudian menjadi pengawal rondaan di sempadan Thailand-Myanmar. Selepas 17 tahun meninggalkan Chiang Mai, beliau akhirnya pulang dan mula bekerja sebagai penolong ketua kampung.

"Saya kembali ke Chiang Mai yang sangat berbza. Sekarang, banyak orang bekerja dalam industri perkhidmatan. Banyak daripada sara hidup kami bergantung pada ekspatriat dan pelancong. Isteri saya mengajar orang asing bagaimana bercakap bahasa Thai, sementara jiran-jiran kami bekerja sbagai pemandu kenderaan hotel."

"Demografi kawasan itu juga sudah berubah. Sejak dekad lalu, banyak pendatang dari bahagian-bahagian lain Thailand dan juga Myanmar. Kira-kira separuh daripada penduduk bukan asal sini."

"Banyak orang Burma datang ke sini untuk bekerja dalam pembinaan. Kadang-kadang sehingga lapan orang daripada mereka tinggal dalam sebuah bilik tidur untuk menjimatkan belanja."

"Kerajaan telah banyak membantu mereka: mereka didaftarkan, dapat kemudahan penjagaan kesihatan, dan anak-anak mereka boleh pergi ke sekolah, semuanya adalah dari wang pembayar cukai Thai. Sebagai orang Buddha, kami suka untuk membantu, tetapi ia mendatangkan tekanan kepada masyarakat."

Seseorang dapat merasakan bahawa faktor demografi dan ekonomi memainkan peranan memberikan tekanan besar ke atas Chiang Mai.

"Ia tidaklah mudah. Kadang-kadang ia meledak menjadi konflik. Orang boleh menjadi sangat kecewa dan terpulang kepada saya sebagai pemimpin tempatan untuk menjadi orang tengah."

Kawasan kejiranan Mu Song di pinggiran kota Chiang Mai merupakan tempat tinggal kira-kira 1,200 orang penduduk. Foto Karim Raslan
Kawasan kejiranan Mu Song di pinggiran kota Chiang Mai merupakan tempat tinggal kira-kira 1,200 orang penduduk. Foto Karim Raslan


Berjalan memasuki kejiranan itu, Boonthawe boleh menamakan dan menjelaskan secara terperinci kehidupan orang yang mendiami setiap rumah di situ. Beliau mengetahui semua perkara dalam kampung itu, memberi perhatian terhadap kesemua masalah harian mereka.

"Jika berlaku kebakaran, pergaduhan atau gangguan, penduduk kampung akan memanggil saya dulu sebelum pihak berkuasa. Mereka tahu saya akan bertindak lebih cepat daripada pihak lain dan saya akan sentiasa ada. Sebab itu saya tidur sebelah telefon saya yang saya pasang nada dering paling kuat."

Memandangkan bahawa pihak berkuasa kampung terlibat secara proaktif dalam kehidupan seharian penduduk, saya bertanya kepada beliau apa yang beliau fikir mengenai Thaksin dan pengaruhnya ke atas Thailand utara.

Boonthawee mengelak soalan itu, sebaliknya memilih untuk menjelaskan tugas-tugasnya.

"Sebagai ketua kampung, tugas saya adalah membawa mereka bersama dalam masyarakat, bukan memecah-belahkan. Baju Merah atau baju kuning, kita semua perlu hidup. Saya tidak boleh membiarkan kecenderungan politik saya mewarnai keputusan-keputusan saya - saya boleh menimbulkan kekacauan terhadap komuniti saya dan akan menjejaskan kupayaan saya untuk berkhidmat kepada mereka."

"Kerajaan boleh mengeluarkan arahan, tetapi terpulang pada saya untuk melaksanakannya. Ketua-ketua kampung masih berada di tengah-tengah komuniti tempatan dan mempunyai hubungan yang perlu untuk merealisasikan dasar."

"Negara kami telah melalui perbalahan demi perbalahan sejak 10 tahun lalu. Hubungan peringkat kampung inilah yang telah terlerai: bahawa saya boleh tidak bersetuju dengan anda, tetapi akhirnya kami semua masih berjiran."

Sebagai seorang yang menyimpan rahsia rancangannya, Boonthawee bagaimanapun mendedahkan kepada saya bahawa beliau mempunyai cita-cita politik.

"Dalam masa lima tahun, saya akan berusia 60 tahun dan saya akan bersara daripada majlis kampung. Saya mahu bertanding pada peringkat daerah kecil dan cuba membuat pembaikan dengan menggunakan platform lebih besar."

Sudah tentu, bertanding dalam pilihan raya bermakna memperkenalkan diri kepada sesebuah parti politik dan memperjuangkan suatu set penyelesaian dasar.

Taman komunal dengan sayur-sayuran dan rempah-ratus yang ditanam Boonthawee untuk penduduk kampung. - Foto Karim Raslan
Taman komunal dengan sayur-sayuran dan rempah-ratus yang ditanam Boonthawee untuk penduduk kampung. - Foto Karim Raslan


"Saya mempunyai pandangan saya, tetapi saya fikir adalah, terbaik untuk menunggu. Semua perkara masih tidak pasti. Tidak ada gunanya membuat keputusan dan mengisytiharkan untuk memperjuangkan sesuatu tetapi ia tidak akan berlaku."

Pilihan raya umum dijadualkan pada November 2018. Selepas rampasan kuasa tahun 2014, Jeneral yang menjadi Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha berkata bahawa pengundian akan diadakan pada awal 2015. Ia kemudian ditangguhkan kepada 2016 dan sekarang, pada tarikh terbaru tahun depan.

Adakah pilihan raya akan akhirnya berlaku? Boothawee optimis.

"Saya percaya ia akan berlangsung. Perlahan-lahan. Thailand telah sembuh daripada perbezaan itu dan saya fikir setiap orang sudah letih berbalah. Terdapat suatu semangat yang mana kami mahu bergerak ke depan, dengan adanya raja baharu, ia adalah masanya untuk suatu era baharu dalam politik Thai."

"Saya melihat orang seperti Toon, pnyanyi utama kumpulan muzik rock Bodyslam. Beliau kini sedang berlari 3,192 kilometer merentas negara itu untuk mengumpul dana bagi hospital. Beliau adalah simbol perpaduan; jenis orang yang lebih banyak diperlukan oleh Thailand."

Dengan perasaan ingin tahu, saya bertanya Boonthawee, apakah impiannya terhadap politik Thai. Adakah kembali kepada ekonomi yang cergas? Memantapkan Thailand sebagai pemimpin serantau? Meningkatkan kedudukan golongan miskin luar bandar?

Dengan senyuman yang letih tetapi optimis, beliau menjawab:

"Saya mahukan orang Thai menjadi jiran yang baik di antara satu sama lain."


NOTA: Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr



SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp