article-main-image
Prev Prev Next Next

Filipina

Meth, syabu, ice, kristal

METH, Syabu, Ice, Kristal.

Pakailah nama jalanannya yang manapun, hakikatnya, harga pasarannya di jalanan Manila telah jatuh menjunam. Malah, satu paket yang boleh dikongsi bersama tiga orang yang dulunya berharga 500 peso (AS$10) kini boleh dibeli untuk hanya 200 peso (AS$4).

Lazim 'dimasak', ala Breaking Bad, dalam pekarangan sementara 'makmal transit', dadah ini diproses daripada kombinasi bahan kimia yang lazimnya boleh diperolehi daripada sisa toksik. Ini termasuk aseton – komponen utama pencair cat – serta lithium – bahan kimia bersifat menghakis dan mudah meletup yang diguna dalam bateri.

Bagaimanakah cara menggunanya? Mula-mula, kristal syabu ini akan diletakkan di atas sekeping kerajang aluminium sebelum dibakar dari bawah, lantas melepaskan asap yang akan disedut oleh si pengguna.

Harga pasaran dadah popular di jalanan Manila telah jatuh menjunam sejak Presiden Rodrigo Duterte melancarkan perang membanteras aktiviti terkait dengannya.
Sebelum ini, syabu atau dadah lain dijual secara terbuka di jalanan Manila. - Foto Karim Raslan


Menurut Rey (bukan nama sebenar), bekas penagih syabu dari Santa Ana, yang berada di sekitar Metro Manila, ini merupakan saat di mana perasaan khayal dan seronok timbul, akibat peningkatan dopamin secara mendadak.

Sememangnya, kesan negatif pengunaan syabu ini amat serius, termasuklah masalah dental, psikosis serta serangan angin ahmar atau strok.

Rey yang berusia 19 tahun ini bekerja sebagai pemandu beca. Pendapatan hariannya adalah 300 peso, hasil bekerja dari waktu tengah hari sampai pukul 7 malam. Beberapa bulan yang lalu, beliau turut mempunyai satu kerja sambilan. Kerja sambilannya adalah sebagai seorang 'runner' – yang ditugaskan untuk menghantar syabu kepada pelanggan sebelum dibayar dengan dadah yang sama untuk kegunaan peribadinya.

Pada ketika itu, syabu telah dijual secara terbuka (tontonilah filem yang memenangi anugerah di Pesta Cannes, Ma Rosa, arahan pengarah Filipino yang tersohor, Brillante Mendoza) sehinggakan ia turut boleh didapati di kedai runcit tempatan.

Duterte melancarkan perang habis-habisan untuk membanteras penyalahgunaan dadah di Filipina. - Foto: Karim Raslan
Duterte melancarkan perang habis-habisan untuk membanteras penyalahgunaan dadah di Filipina. - Foto: Karim Raslan


Seperti kebanyakan rakan-rakan sebayanya, Rey telah bergantung kepada dadah ini untuk lari daripada realiti pahit kemiskinan tegar yang mengelilinginya. Namun sekarang, 'sagu hati' ini telah dinafikan kepadanya.

“Saya berhenti mengguna syabu apabila (Rodrigo) Duterte dilantik menjadi Presiden. Saya tahu beliau tegas dan saya tidak mahu mati katak pada usia yang muda," ujarnya.

Rey tidak keseorangan dalam diselubungi ketakutan. Sememangnya, penjual dadah yang dulunya mudah ditemui di setiap penjuru jalanan di barangay (atau kejiranan) kini sudah tiada. Malah, kebanyakan daripada penagih dadah di kejiranan Rey telahpun menyerahkan diri mereka untuk dihantar ke pusat serenti penagih dadah, atas ketakutan dibunuh oleh kumpulan vigilante.

“Salah seorang rakan saya – yang tetap menagih syabu – ditembak bunuh minggu lepas. Sekumpulan vigilante telah menyerbu rumah rakan saya pada pukul 2 pagi dan menembaknya. Kumpulan ini berpakaian balaclava dan baju biasa.

"Kami sangkakan mereka merupakan anggota polis, tetapi tidak begitu pasti. Kami terlalu takut untuk membuat siasatan. Bayangkanlah – kumpulan ini bebas untuk menyerbu sebarang rumah dan membunuh sesiapa sahaja," katanya.

Anak muda Filipina begitu mudah terjebak dengan gejala tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah. - Foto: Karim Raslan
Anak muda Filipina begitu mudah terjebak dengan gejala tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah. - Foto: Karim Raslan


Apabila saya bertanya sama ada dia bersetuju dengan sokongan Duterte terhadap langkah tegas ini, Rey menjawab: “Tidak, ini terlalu kejam. Kita sepatutnya menghantar penagih dadah ke pusat pemulihan. Jauh lebih baik kalau mereka dipenjarakan daripada dibunuh. Hanya kami, orang kecil (pengguna) yang ditangkap: bukannya orang besar (tauke penjual).”

Malah, lawatan saya ke kejiranan Rey pada satu petang yang lalu merupakan pengalaman yang agak pelik memandangkan kami telah dikelilingi kamera CCTV di setiap persimpangan sepanjang perjalanan kami.

Turut dipantau oleh penyampai maklumat dan polis yang berpakaian preman, jalan-jalan di Metro Manila telah menjadi tapak yang sarat dengan ketidaktentuan, kesangsian dan kematian.

Sememangnya, menurut kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) yang telah memantau pembunuhan berkaitan dadah yang berskala besar ini, seramai 4,000 orang telah dibunuh setakat ini. Jumlah kematian yang sebenar terlalu sukar untuk dianggarkan.

Perangkaan polis adalah hanya 2,000 orang telah dibunuh, manakala kumpulan media tempatan mendakwa bahawa sebanyak 3,800 orang telah menjadi mangsa pembunuhan ala vigilante ini, membawa jumlah keseluruhan kematian ke 5,800 pada 3 Disember.

Apabila saya bertemu dengan Rey buat kali pertama dua bulan yang lalu, dia kelihatan kurus dan tidak bermaya – petanda jelas bahawa dia merupakan penagih syabu. Pada kali ini, kulitnya tidak pucat dan tampak sihat.

Rey tinggal dalam kediaman setinggan yang hanya seluas lapan kaki persegi. - Foto: Karim Raslan
Rey tinggal dalam kediaman setinggan yang hanya seluas lapan kaki persegi. - Foto: Karim Raslan


“Lumrahnya, saya memang berbadan kecil. Memandangkan saya sekarang mempunyai seorang anak yang berusia lima bulan (anak luar nikah bersama teman perempuannya), saya berazam untuk mengubah gaya hidup saya.

“Bagi saya, saya tiada sebarang impian untuk diri saya – semua usaha saya adalah untuk memastikan anak perempuan saya mempunyai masa depan yang lebih cerah berbanding saya,” ujarnya.

Meskipun tidak menamatkan pelajaran sekolah menengah, Rey memahami kepentingan sebuah rumah tangga yang stabil, memandangkan dia sendiri telah dibesarkan bersama tiga adik beradiknya oleh ibu bapa yang tetap menjaga kebajikannya sehingga hari ini.

“Ibu saya bekerja siang malam di sebuah salon kecantikan. Sehingga hari ini, beliau masih lagi menyediakan sarapan, makan tengah hari serta makan malam untuk saya pada setiap hari serta tetap memberi saya wang saku. Saya terhutang budi terhadap ibu bapa saya,” katanya.

Menurut Rey, ibu bapanya tidak tahu tentang tabiat lamanya, meskipun mereka tinggal sebumbung di dalam rumah setinggan yang hanya seluas lapan kaki persegi. Ternyata bahawa dia takut terhadap ayahnya dan bakal berasa malu jika ibu bapa dia mendapat tahu tentang masa silam hitam dia.

Pastinya, penyokong perang lawan dadah Duterte melihat isu ini dari kanta hitam dan putih. Gejala dadah ini sesuatu tabiat buruk dan tindakannya untuk membanterasnya – dengan apa cara jua – adalah betul.

Namun, apabila saya merenungi mata Rey yang hampir ketitisan air mata, saya sedar bahawa ini merupakan isu yang kompleks dan tidak semudah hitam dan putih, betul dan salah.

BACA: Ceritalah ASEAN: Jakarta dan Orang Jawa

BACA: Ceritalah ASEAN: Isu peralihan kepimpinan di Singapura: Panggilan untuk Tharman

BACA: Ceritalah ASEAN: Vietnam pamer hala tuju ASEAN

BACA: Ceritalah ASEAN: Karen Davila: Penentu Agenda


SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp