article-main-image
Prev Prev Next Next

malaysia

Monarki kembali bersama media sosial

PUTERA Abdul Mateen dari Brunei -- putera kesepuluh Sultan Hassanal Bolkiah --- mempunyai wajah bintang filem Hollywood dan bilangan pengikut Instagram (705,000 dan sedang bertambah) yang lebih besar daripada bilangan penduduk negaranya.

Tengku Mahkota Johor, (sebuah negeri di Malaysia selatan) Tunku Ismail Sultan Ibrahim --- seorang pemain polo yang aktif dan mengetuai Persatuan Bolasepak Malaysia -- seringkali bercakap perkara yang lebih masuk akal berbanding kebanyakan ahli politik di negaranya.

Selepas berdekad-dekad berundur, keluarga diraja Asia Tenggara mengorak langkah kembali secara dramatik dan tidak ada yang memperlihatkan keyakinan masa kini lebih daripada sambutan hebat 50 tahun Sultan Bolkiah bersemayam di takhtanya minggu lalu, menjadikan baginda raja paling lama bertakhta di dunia selepas Ratu Britain, Queen Elizabeth II.

Bankuet Negara yang dilangsungkan sempena perayaan itu dihadiri oleh orang kenamaan dari seluruh dunia, termasuk sebarisan raja-raja dari Malaysia Joko Widodo dari Indonesia, Rodrigo Duterte dari Filipina dan Kounselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi (yang kelihatan lebih seperti raja daripada kebanyakan raja-raja yang hadir).

Tetapi terdapat lebih daripada itu: di Indonesia yang merupakan negara republik, Sri Sultan Hamengku Buwono X dilantik semula sebagai Gabenor Wilayah Khusus Yogyakarta. Beliau satu-satunya daripada 34 ketua wilayah yang mengekalkan kuasa tanpa melalui pilihan raya, sebagai mengiktiraf sokongan penting bapanya terhadap Revolusi Indonesia.

Pangeran Brunei Abdul Mateen yang berusia 26 tahun memiliki akaun Instagram dengan pengikut lebih dari 705,000 orang. - Gambar GQ

Pangeran Brunei Abdul Mateen yang berusia 26 tahun memiliki akaun Instagram dengan pengikut lebih dari 705,000 orang. - Gambar GQ


Pun begitu, Sultan masih merupakan tokoh yang amat popular -- diakui sebagai benteng penting bagi menentang pengaruh luar, dan selanjutnya mengukuhkan perwatakan Jawa yang nyata kepada kota itu.

Pada sekitar waktu sama, yang merupakan penampilan titah yang jarang berlaku, Majlis Raja-raja Malaysia (terdiri daripada sembilan sultan negara itu) mengeluarkan kenyataan memberi amaran terhadap keeksklusifan agama.

Sementara itu di Thailand, satu tahun perkabungan sampai pada kemuncaknya apabila negara beraja itu bersiap sedia bagi pembakaran mendiang Raja Bhumipol Adulyadej (Rama IX) yang amat dimuliakan rakyat.

Ratusan ribu rakyat Thai dijangka membanjiri jalan-jalan Bangkok ketika seluruh negara berhenti sejenak untuk mengenang seorang raja yang telah mengemudi negara selama tujuh dekad baik semasa aman mahupun dalam kekacauan. Mereka juga menghadapi realiti bahawa puteranya, Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun (Rama X) dengan jelas merupakan tokoh yang kurang diminati.

Sultan Hassanal Bolkiah dan Ratu Saleha mempersilakan para tamunya, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Sultan Johor Ibrahim Ismail, menuju ruang jamuan. Foto The Straits Times
Sultan Hassanal Bolkiah dan Ratu Saleha mempersilakan para tamunya, Presiden Indonesia Joko Widodo dan Sultan Johor Ibrahim Ismail, menuju ruang jamuan. Foto The Straits Times


Semakin bertambah ialah anggota-anggota muda Diraja yang kedudukannya ditingkatkan melalui media sosial. Keadaan ini memberi peluang kepada mereka suatu platform di luar lingkungan kehidupan istana yang menyesakkan.

Umpamanya, halaman Facebook kelab bola sepak Johor Southern Tigers (yang diketuai oleh Tunku Ismail sebelum baginda mengambil alih persatuan kebangsaan) telah menjadi lidah rasmi keluarga diraja negeri itu. Dengan hampir dua juta likes, jangkauan halaman itu dengan mudah menjadi lebih besar daripada saluran-saluran yang sudah lama bertapak.

Di Brunei, Putera Abdul Mateen telah menghiasi kulit depan majalah GQ. Akaun instagram baginda seringkali memaparkan posting gambar baginda memandu pesawat terbang, memegang anak harimau dan bermain polo.

Ketika mana media sosial semakin menjadi sebahagian daripada hidup kita, anggota-anggota diraja ini telah menyesuaikan diri mereka dengan teknologi. Kesungguhan dan kemahiran mereka menggunakan Facebook, Instagram dan Twitter telah melonjakkan profil mereka, menjadikan mereka bertambah popular --- hinggakan di Malaysia, mereka mengatasi golongan elit politik yang sudah tidak digemari oleh orang ramai.

Dengan keyakinan mereka yang meningkat, ada antara mereka memilih untuk menggunakan pengaruh mereka dalam kehidupan awam.

King Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun (Rama X) naik tahta sebagai Raja Thailand setelah kematian ayahnya pada Oktober tahun lalu. Foto EPA
King Maha Vajiralongkorn Bodindradebayavarangkun (Rama X) naik tahta sebagai Raja Thailand setelah kematian ayahnya pada Oktober tahun lalu. Foto EPA


Sebagai contoh, Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar telah bertitah menolak pengasingan agama. Apabila sebuah kedai dobi di negerinya menetapkan dasar untuk berkhidmat hanya pada pelanggan Islam, Sultan itu menitahkan (dan dipatuhi) supaya dasar itu dibatalkan, dengan menegaskan wawasannya sebagai satu Bangsa Johor --- iaitu Johor untuk semua orang Johor. Tindakan baginda kemudian dikukuhkan dengan kenyataan raja-raja yang lain, seperti mana disebut di atas.

Lanjutan daripada itu, seorang pendakwah dilaporkan dalam penggajian jabatan hal ehwal agama persekutuan mengkritik keputusan Sultan itu, dengan mengakibatkan beliau dikecam oleh para netizen yang membela keluarga diraja Johor itu.

Sultan Johor bertitah bahawa baginda akan memutuskan hubungan dengan badan agama persekutuan itu. Agamawan itu ditahan untuk beberapa hari sementara negeri Selangor membatalkan tauliahnya untuk mengajar di masjid-masjid. Tindakan berani itu tidak pernah berlaku dalam sejarah negara bermajoriti Islam itu.

Di Yogyakarta, Sri Sultan --- yang mana keluarganya memerintah kota itu sejak 1755 --- telah menyeru supaya dilanjutkan pembekuan lesen-lesen baharu untuk hotel. Baginda juga menolak rancangan bagi jalan bertol di situ, dengan memberi alasan atas keprihatinannya terhadap pembangunan berlebihan dan kebanjiran pelancongan yang memberi tekanan pada penduduk.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim memimpin kelab bola sepak Southern Tigers sebelum memimpin persatuan bola sepak negara. Astro AWANI
Tunku Ismail Sultan Ibrahim memimpin kelab bola sepak Southern Tigers sebelum memimpin persatuan bola sepak negara. Astro AWANI


Dalam landskap media Abad Ke-21 yang sering kelam-kabut dan sentiasa berubah, terdapat keluarga-keluarga diraja yang jelas mengambil peluang untuk berhubung dengan rakyat, meningkatkan imej mereka dan menegaskan semula kerelevanan politik mereka.

Tentunya, keadaan ini juga mendedahkan mereka kepada sifat bebas tanpa kawalan yang ada pada media sosial, di mana kritikan dan gangguan di kalangan pengguna, tidak dapat dielakkan.

Akhirnya, tidak dapat dielakkan, dorongan pendemokrasian media sosial boleh mewujudkan ketegangan dengan penggugatan idea tradisi kedirajaan. Beberapa netizen di seluruh rantau (terutamanya Thailand) telah menanggung akibat apabila melanggar undang-undang lama berkaitan penghinaan terhadap raja atau hasutan.

Pun begitu, ketika kerajaan-kerajaan yang dipilih menghadapi serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini berkaitan dengan integriti dan kredibiliti, populariti yang meningkat (dan kekekalan) Diraja membolehkan tokoh yang lebih cekap di kalangan mereka untuk menempatkan diri mereka sebagai hati budi sebenar negara masing-masing.

Dengan ketiadaan kuasa langsung eksekutif, mereka telah mengukuhkan pengaruh moral dan sosial mereka.

Sri Sultan Hamengkubuwono X adalah Sultan dari Kesultanan Yogyakarta yang bersejarah di Indonesia dan Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta. Foto TEMPO
Sri Sultan Hamengkubuwono X adalah Sultan dari Kesultanan Yogyakarta yang bersejarah di Indonesia dan Gubernur Daerah Istimewa Yogyakarta. Foto TEMPO


Media sosial adalah kuasa yang amat menjejaskan. Ia merobah kedudukan sedia ada. Ia mendemokrasikan gelanggang pertembungan dan menggulingkan hierarki lama. Ironinya, sekurang-kurangnya di Asia Tenggara, ia memberi laluan kepada banyak keluarga purba dan berhikayat memperoleh ruang kedua untuk memperoleh kerelevanan politik; malah pengaruh.

Bagaimanapun, adalah membimbangkan, terutamanya dalam kes Malaysia, yang mana pemimpin arus perdana telah gagal memberikan kepimpinan.

Elit yang dipilih secara demokrasi telah menjadi kolot, berfikiran sempit dan menolak secara mendalam terhadap sasaran-sasaran progresif.

Ahli-ahli politik dan kerajaan di seluruh rantau itu sepatutnya mengambil iktibar daripada tindakan-tindakan diraja ini: iaitu secara langsung berkomunikasi dengan rakyat, membangun tapak-tapak besar bagi memperoleh sokongan dan bertindak menentang ketidakadilan.

Pada akhirnya, berdarah raja atau tidak, institusi-institusi yang paling mampu berkhidmat untuk rakyat adalah mereka yang boleh berkembang mengikut zaman.


Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr


SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp