article-main-image
Prev Prev Next Next

indonesia

Motivasi protes menentang Ahok

PADA 2 Disember 2016, Ahmad Zakarsih, seorang pentadbir sekolah yang berusia 34 tahun dan bermastautin di Bekasi (beliau masih memegang kad pengenalan Jakarta, justeru berhak mengundi) meninggalkan rumahnya pada awal pagi, sekitar jam 6 pagi untuk ke ibu kota yang terletak 28 kilometer ke arah barat.

Tujuan beliau ke sana adalah untuk menyertai demonstrasi terhadap Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama (Ahok), seorang pemimpin yang sedang bertungkus lumus mempertahankan jawatan Gabenor Jakarta pada pilihan raya minggu hadapan. Ramai yang mendakwa bahawa Ahok telah menghina al-Quran ketika memberi ceramah dalam salah satu acara kempennya.

Sememangnya, Ahok kini sedang terlibat dalam perbicaraan mahkamah atas kekufurannya (pendakwaan yang sangat kontroversial) sambil meneruskan kegiatan musim berkempen.

Apabila ditanya mengapa beliau sanggup hadir ke demonstrasi yang terbesar di Indonesia itu, beliau berkata: “Tindakan saya pada masa itu mengikuti naluri, seperti ada satu panggilan. Bagi saya, Ahok menunjukkan dia tidak menghormati Islam.”

Kumpulan penunjuk perasaan menjalankan protes jalanan bagi mendesak Ahok dikenakan tindakan. - Foto Karim Raslan
Kumpulan penunjuk perasaan menjalankan protes jalanan bagi mendesak Ahok dikenakan tindakan. - Foto Karim Raslan


Ini tidak bermakna Ahmad selama ini anti-Ahok: “Saya mungkin akan mengundi Ahok jika beliau tidak terlibat dengan kes tersebut. Sebenarnya, saya tiada masalah jika Ahok tidak dipenjarakan kerana jika betul beliau bersalah, Allah SWT pasti akan menghukumnya.”

Sebagai seorang alumni dari Pesantren Tebuireng – antara sekolah agama berasrama yang terkenal di Indonesia (Allahyarham Presiden Abdulrahman Wahid pernah menjadi seorang pelajar) dan pakar dalam teologi dan falsafah agama Islam, Ahmad mempunyai keyakinan yang terhasil daripada pendidikan yang elit, walaupun kemampuannya terbatas.

Ahmad juga mempunyai bakat berjenaka dalam bertutur seperti seorang pengacara televisyen lewat malam. Contohnya, beliau menyamakan daerah Ciputat – terletaknya ‘alma mater’ beliau, Universiti Islam Negeri (UIN) – dengan Las Vegas, bandar terkenal dengan godaan-godaan yang ‘dahsyat’; suatu perbandingan yang sukar bagi para penduduk di pinggir Jakarta untuk memahami.

Ahmad Zakarsih (dua dari kiri) bersama adik-beradiknya. - Foto Karim Raslan
Ahmad Zakarsih (dua dari kiri) bersama adik-beradiknya. - Foto Karim Raslan


Ahmad berdarah Betawi – salah satu etnik yang terawal di wilayah Jakarta. Antara keturunan yang terkenal dari komuniti ini ialah Roma Irama, seorang ikon dangdut yang bersikap konservatif dan mempunyai nyanyian suara seperti Elvis Presley.

Walaupun begitu, sejak beberapa dekad yang lalu, orang Betawi telah secara perlahan-lahan ‘berpindah’ keluar dari konurbasi (bandar gabungan) yang mempunyai 28 juta penduduk itu, dengan menjual rumah-rumah mereka yang strategik serta sawah padi mereka kepada para penduduk beretnik Jawa, Cina dan Arab-Indonesia yang datang bermastautin di Jakarta.

Kebanyakan orang Betawi dikatakan penyokong kuat Fauzi Bowo, Gabenor Jakarta yang telah dikalahkan oleh Joko Widodo (“Jokowi”) pada 2012 sebelum beliau naik menjadi Presiden Indonesia pada 2014.

Ahok – yang ketika itu bertanding dalam pilihan raya sebagai Timbalan Gabenor di bawah tiket Jokowi – telah ‘mewarisi’ jawatan gabenor apabila Jokowi memenangi kerusi Presiden. Sebahagian daripada komuniti Betawi – yang setia kepada Fauzi Bowo – boleh dikatakan tidak pernah menerima kepimpinan Ahok.

Kediaman Ahmad Zakarsih sering dipenuhi anak-anak dari kejiranannya yang mahu belajar al-Quran dan juga hadrah. - Foto Karim Raslan
Kediaman Ahmad Zakarsih sering dipenuhi anak-anak dari kejiranannya yang mahu belajar al-Quran dan juga hadrah. - Foto Karim Raslan


Kediaman keluarga Ahmad yang terletak di salah satu penjuru bandar Bekasi – bandar yang keempat terbesar di Indonesia dengan jumlah penduduk 2.6 juta orang dan pesat membangun – adalah satu-satunya hartanah milikan yang tinggal dari tanah yang dahulunya merangkumi ladang kecil yang dipenuhi sawah dan kebun.

Beliau menjelaskan: “Oleh kerana kami 11 adik-beradik, ibu bapa terpaksa menjual tanah bagi membiayai kos pendidikan kami semua. Pada tahun 1998, yuran sekolah asrama saya adalah 60,000 rupiah sebulan.”

Setelah mendapatkan ijazah, Ahmad bekerja sebagai guru agama selama empat tahun di Siak yang terletak di kepulauan Sumatera. Beliau berkahwin pada tahun terakhir di sana (perkahwinan yang diatur – beliau menegaskan bahawa mereka tidak pernah ‘keluar bersama’ sebelum itu) dan kemudiannya pulang ke Bekasi.

Ahmad Zakarsih bersama isteri dan anak mereka. - Foto Karim Raslan
Ahmad Zakarsih bersama isteri dan anak mereka. - Foto Karim Raslan


Ahmad dan isterinya bekerja. Mereka mempunyai seorang anak lelaki berumur dua tahun dan merancang untuk mempunyai beberapa orang lagi cahaya mata. Beliau mengendalikan kelas bacaan al-Quran secara percuma kepada kanak-kanak tempatan pada setiap Khamis dan Jumaat malam - sesuatu yang Ahmad benar-benar gemari. Mereka juga turut bermain hadrah – irama bermotif keagamaan yang disertai paluan dram dan alat muzik bertali.

Meskipun Bekasi menerima banyak pembiayaan infrastruktur – dari lebuh raya sehinggalah transit aliran ringan (LRT) – Ahmad masih lagi menjadi pengkritik tegar pentadbiran semasa.

"Keadaan lebih buruk sekarang berbanding masa dahulu. Kerja-kerja kontrak kini terlalu banyak dan amat sukar untuk memohon pelbagai inisiatif kerajaan seperti kad-kad kesihatan dan pendidikan. Islam juga tertinggal dan tidak terbela,” katanya.

Lebih daripada 150,000 orang memenuhi sekitar kawasan Tugu Monas sewaktu protes terhadap Ahok. - Foto Karim Raslan
Lebih daripada 150,000 orang memenuhi sekitar kawasan Tugu Monas sewaktu protes terhadap Ahok. - Foto Karim Raslan


Banyak yang telah diperkatakan mengenai motivasi kelompok yang menentang Ahok. Pertaruhan ini sering digambarkan sebagai pertentangan ideologi antara fundamentalisme dengan sekularisme, antara prejudis dengan pluralisme, hitam dengan putih atau antara kebaikan dengan kejahatan.

Setelah berbual dengan Ahmad – dengan bahasanya yang tersirat dan dipenuhi petikan ayat-ayat al-Quran – boleh disimpulkan bahawa seperti pelbagai aspek lain yang di Indonesia, hal ini jauh lebih rumit daripada apa yang digambarkan.

Contohnya, ramai antara masyarakat konservatif Islam yang menikmati layanan istimewa dan mempunyai pengaruh luas pada zaman pentadbiran Susilo Bambang Yudhoyono kian merasa diketepikan oleh pemerintahan kini yang dipacu moderasi.

Sebelum kami berpisah, saya sempat bertanyakan Ahmad tentang siapa yang akan diundi beliau pada minggu hadapan. Ahmad tersenyum sambil menjelaskan bahawa beliau akan menunaikan solat istikharah untuk mendapat petunjuk Ilahi - dan siapa tahu, mungkin juga hati beliau akan tersentuh untuk mengundi Ahok?

SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp