article-main-image
Prev Prev Next Next

vietnam

Petani-petani bunga dari Nam Dinh

“PADA tahun 1971, setelah tamatnya hujan lebat, air Sungai Merah melimpah keluar dari tebing dan membanjiri kampung kami. Di sesetengah tempat, paras air mencecah tiga meter. Segala-galanya musnah. Kami mengalami banjir yang teruk pada tahun berikutnya sehinggalah mereka mendirikan semula benteng di sepanjang sungai tersebut.”

Nguyen Van Phuong, berusia 78 tahun, mempunyai rambut yang rapi dan dagu bersegi. Setelah berkhidmat sebagai askar yang ditugaskan di Laos dan Selatan Vietnam, beliau kini menikmati kehidupan sebagai seorang pesara bersama isterinya, Tran Thi Doan, di kediaman tiga tingkat yang berwarna kuning.

Ayahnya juga merupakan seorang askar yang pernah berjuang untuk tentera Perancis semasa Perang Dunia Pertama sebelum kembali ke kampung untuk menjadi seorang petani.

Phuong dan isterinya sempat bergambar di kediaman baharu mereka. - Foto Karim Raslan

Phuong dan isterinya sempat bergambar di kediaman baharu mereka. - Foto Karim Raslan


Saya bertanya bahawa pernahkah beliau membayangkan kehidupannya sebegini yang begitu selesa? Dia menggeleng kepalanya.

“Sewaktu perang, minda saya hanya berfikir tentang hidup atau mati. Satu hari, saya berbual dengan kawan karib saya dan pada hari berikutnya, dia meninggal dunia. Saya hanya fikirkan cara untuk terus hidup.

“Saya bersyukur kerana pada 1980-an (setelah tamatnya peperangan) kerajaan merombak dasar mereka. Kami semua sangat miskin. Mereka menghentikan sistem kutipan dan subsidi. Sebaliknya, mereka mengizinkan kami untuk memiliki tanah dan harta, berniaga dan mempunyai pasaran yang bebas – sehinggalah kami mengecapi hidup yang kami nikmat sekarang,” ujarnya.

Suasana di ladang bunga kekwa di Phu Long. - Foto: Karim Raslan
Suasana di ladang bunga kekwa di Phu Long. - Foto: Karim Raslan


Phu Long adalah kampung pekebun bunga yang terbesar di ibu daerah Nam Dinh – salah satu tempat tertumpunya masyarakat Katolik (yang berjuta-juta) di Vietnam. Menanam bunga daisi, kekwa, teratai dan ros jauh lebih menguntungkan berbanding dengan menanam beras, sayur-sayuran ataupun kacang soya.

An, yang berusia 43 tahun, merupakan seorang daripada enam cahaya mata Phuong. Rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah ayahnya, lebih sederhana dan sedang diubah suai.

Alat-alatan kontraktor bertaburan di hadapan pintu rumahnya – baldi separa-kosong, berus-berus dan kotak-kotak. Dua pemuda sedang melukis mural - sebuah pemandangan kampung yang indah. Seluruh rumah berdenyut dengan muzik.

Karim (kiri) sedang menemu bual An secara santai. - Foto: Karim Raslan
Karim (kiri) sedang menemu bual An secara santai. - Foto: Karim Raslan


An senyum dan mengangguk apabila saya bertanya sama ada beliau gemar mendengar muzik. Kemudian, kami lantas meneruskan perbualan kami tatkala lagu sentimental bermain di latar belakang.

“Pendapatan saya adalah 7 juta Dong  (AS$308) sebulan. Kerjanya berat tetapi hasilnya lumayan.

Seseorang itu harus berada dalam keadaan sihat dan cergas untuk berjaya dalam bidang ini. Kebanyakannya tidak mahu mengotorkan tangan mereka! Termasuklah anak perempuan saya. Dia kini bekerja di kilang tekstil di Song Hong.

“Pada suatu ketika dahulu, para pelanggan hanya membeli bunga sempena perayaan Tet dan hari lahir. Sekarang, permintaan bunga semakin melonjak sepanjang tahun. Mereka menggunakan bunga untuk upacara memuja di kuil, hadiah dan sebagainya. Kami hanya menjual di wilayah-wilayah yang berhampiran seperti Ninh Binh dan Ha Nam. Ini kerana kesukarannya untuk bersaing dengan pengeluar dari Dalat – terkenal dengan kualiti bunganya – yang menguasai pasaran Hanoi.

“Saya biasanya membeli benih dari Universiti Pertanian Hanoi tetapi sekarang saya menanam dan membesarkannya sendiri sehingga dapat menjual kepada para petani lain. Pada musim sejuk, kami harus menutup bunga-bungaan dengan plastik bagi memastikan kepanasan dan kelembapan yang diperlukan. Bunga teratai – sangat halus – dapat dijual dengan harga yang lumayan pada musim Tet,” jelasnya.

Bunga-bunga yang telah dikerat dari ladang sedang diikat seterusnya akan dijual di pasar malam. - Foto: Karim Raslan
Bunga-bunga yang telah dikerat dari ladang sedang diikat seterusnya akan dijual di pasar malam. - Foto: Karim Raslan


Saya bertanya mengenai keluarga intinya. “Dua adik-beradik lelaki saya tinggal di Poland. Mereka sudah menetap disana selama 20 tahun. Seorang telah mengahwini gadis berasal dari Poland manakala seorang lagi dengan gadis dari Vietnam. Mereka mencari rezeki melalui perdagangan dan perniagaan kecil.”

Walaupun kecintaannya terhadap muzik dan lukisan, An bukan seorang romantik: “Kehidupan saya kini agak selesa. Keadaan pada dua puluh tahun dahulu adalah amat sukar. Paling pentingnya, saya tidak mempunyai bos!

“Namun, saya mempunyai banyak impian untuk anak-anak saya. Saya mahu mereka menjalani kehidupan masing-masing secara bebas. Saya berasa gembira jika mereka bekerja di luar negara. Pendapatannya tinggi dan jauh daripada kegiatan perkebunan yang boleh menjejaskan kesihatan melalui racun perosak,” katanya.

An dan isterinya di hadapan rumah mereka. - Foto: Karim Raslan
An dan isterinya di hadapan rumah mereka. - Foto: Karim Raslan


Dengan ekonomi yang sedang berkembang pada kadar 6.5 peratus, para petani di Vietnam dapat merasai kenaikan terhadap pendapatan mereka.

Setelah melalui kemiskinan – keluaran dalam negara kasar (KDNK) berlegar bawah AS$100 setahun pada pertengahan-1980an – kemakmuran yang kini berlaku sangat dialu-alukan.

Lebih-lebih lagi, kesungguhan mereka untuk bekerja keras dengan bayaran rendah – berbanding dengan negara-negara lain di Asia Tenggara – merupakan faktor yang mencerminkan kekuatan Vietnam di perantauan dari segi industri dan pertanian. Lihatlah peningkatan dalam pengeluaran makanan harian seperti beras, kopi dan lada.

Walau bagaimanapun, tanda-tanda amaran kian muncul. Kabut yang sentiasa ada di lembah Sungai Merah dan suatu skandal pencemaran di pertengahan Vietnam telah menimbul kesedaran rakyat terhadap kos-kos kejayaan yang sedang menjejaskan alam sekitar dan kesihatan mereka.

Malah tiada sesiapa di Phu Long akan bersetuju untuk mematah balik kepada masa dahulu.

Sebagaimana seorang rakan telah memberitahu saya ketika berehat pada sekeliling jalan-jalan sumbat di Hanoi: “Kami mungkin ada beberapa masalah, tetapi tidak seteruk Cuba!”.

Para petani sedang gigih bekerja di salah sebuah ladang di Phu Long. - Foto: Karim Raslan
Para petani sedang gigih bekerja di salah sebuah ladang di Phu Long. - Foto: Karim Raslan


Ikuti pelbagai kisah masyarakat di serata Asia Tenggara:

BACA: Meth, syabu, ice, kristal

BACA: Jakarta dan Orang Jawa 

BACA: Kemangkatan seorang Raja

BACA: Davao milik Duterte

BACA: Isu peralihan kepimpinan di Singapura: Panggilan untuk Tharman


SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp