article-main-image
Prev Prev Next Next

thailand

Pilihan raya Thai: Apa Prayuth akan lakukan untuk kekal berkuasa?

BERPENAMPILAN kemas, Sopa Trontong, 34 tahun, adalah seorang ahli akademik yang kemudiannya menjadi penasihat kewangan dan berpangkalan di Chiang Mai. Tenang, profesional dan dengan sedikit minat terhadap politik, beliau didapati tidak bersedia untuk menjawab apabila saya bertanya sejauh mana pilihan raya Thai yang akan datang boleh berlangsung dengan adil.

Penampilan zahir Khun Sopa yang cukup dijaga rapi --- beliau menggemari warna kelabu, perak dan kelabu bercampur perang muda --- menyembunyikan suatu kisah lampau peribadi yang kompleks. Lahir di Mae Rim (terletak tidak jauh di luar ibu kota utara itu) dari keluarga penanam padi yang serba kekurangan, ibu bapa Sopa terpaksa meninggalkannya pada neneknya sementara mereka bekerja untuk menyara hidup yang sukar.

Sungguhpun begitu, beliau mengenang kembali era Thaksin Shinawatra (2001-2006) sebagai zaman kemakmuran yang tiada tolok bandingnya: "Ibu bapa saya menjadi stabil dari segi kewangan dan mereka memulakan perniagaan sampingan sebagai orang tengah, menjual peralatan pertanian, baja dan racun perosak."

Keadaan ini dapat difahami kerana bapanya kekal sebagai penyokong kuat Thaksin. Bagaimanapun, beliau lebih objektif dalam penilaiannya terhadap bekas perdana menteri berasal Chiang Mai itu dengan menambah kata: "Saya dan bapa saya tidak boleh lagi bercakap mengenai politik."

Dalam banyak hal, Khun Sopa mendedahkan kecenderungan kelas menengahnya yang kian meningkat ketika beliau menjelaskan rasa tidak senangnya terhadap konflik kumpulan Baju Merah dan Kuning semasa era pasca-Thaksin.

Sopa Trontong ialah seorang pensihat kewangan bebas. Beliau mengimbas semula kestabilan kewangan keluarganya sewaktu era Thaksin. - Foto: Ceritalah
Sopa Trontong ialah seorang pensihat kewangan bebas. Beliau mengimbas semula kestabilan kewangan keluarganya sewaktu era Thaksin. - Foto: Ceritalah


Malah, beliau merupakan seorang penyokong rampasan kuasa oleh Jeneral Prayuth Chan-o-cha pada tahun 2014 kerana kestabilan yang dibawa oleh pihak tentera kepada negara berpopulasi 69 juta itu.

Tetapi sekarang, ketika Thailand terperosok dengan pertumbuhan lemah (dijangka pada 4.1 peratus pada tahun 2018), Khun Sopa menggeleng kepalanya. "Negara ini memerlukan seorang Perdana Menteri 'sebenar', mungkin seorang ahli perniagaan untuk memimpin kami menghadapi cabaran-cabaran ini."

Sebagai seorang penasihat kewangan sepanjang empat tahun lalu, beliau telah berurusan dengan pemilik perniagaan kecil, yang kebanyakan daripadanya terpaksa menghentikan operasi kerana keadaan yang meruncing ini.

Khun Sopa menambah: “Ekonomi lemah ini memberi kesan mendalam terhadap penghuni bandar. Anda lihat --- para peladang umumnya boleh hidup berdikari. Generasi yang lebih muda benar-benar berasakan perubahan ini. Ia adalah besar."

Chiang Mai ialah kubu kuat Thaksin. Sehingga kini, golongan petani luar bandar kekal setia kepada pemimpin yang dalam buangan itu. - Foto: Ceritalah
Chiang Mai ialah kubu kuat Thaksin. Sehingga kini, golongan petani luar bandar kekal setia kepada pemimpin yang dalam buangan itu. - Foto: Ceritalah


Malah pelancongan, pendapatan besar Thai telah terjejas apabila bilangan pengunjung China telah berkurangan (dengan 12 peratus kemerosotan pada Ogos sahaja). Ini antara lain disebabkan kejadian feri di pesisiran pantai Phuket baru-baru ini apabila sekitar 47 penumpang (sebahagian besar adalah warga China) mati.

Di tengah-tengah semua berita negatif itu, butiran mengenai pilihan raya yang akan datang (pada masa ini dijadualkan berlangsung pada 24 Februari) telah menambah satu lagi lapisan yang mengecewakan. Khun Sopa tidak boleh mengelak untuk berasa bahawa pilihan raya ini tidak akan bebas dan adil.

Dan beliau tidak bersendirian dalam hal ini. Seorang bekas wartawan yang bergerak di Chiang Mai ketawa sinis apabila kami bersembang mengenai politik, dengan menyatakan: "Jika kau hendak bercakap mengenai keadilan di Thailand, ia tidak akan berlaku."

Sopa mempunyai kecenderungan pada warna kelabu, perak dan perang muda. Kejiranannya hanya sejauh 10 minit pemanduan dari ladang ibu bapanya. - Foto: Ceritalah
Sopa mempunyai kecenderungan pada warna kelabu, perak dan perang muda. Kejiranannya hanya sejauh 10 minit pemanduan dari ladang ibu bapanya. - Foto: Ceritalah


Para pengkritik menyentuh mengenai Perlembagaan 2017 yang baru diratifikasi itu secara meluas disifatkan sebagai usaha mengukuhkan kedudukan Jeneral Prayuth. Sebagai contoh, kesemua 250 orang Senator di Dewan Tertinggi akan dilantik oleh sebuah panel junta tentera yang dikawal beliau.

Tambahan pula, enam daripada 10 anggota panel itu dikhaskan untuk anggota pasukan keselamatan dan polis. Malah, jika Senat mengambil keputusan bahawa suatu kerajaan yang dipilih tidak layak untuk memerintah, mereka akan mengusulkan undi tidak percaya.

Thaksin membawa era kemakmuran kepada golongan petani luar bandar di utara Thailand. - Nguồn: Top News Photo
Thaksin membawa era kemakmuran kepada golongan petani luar bandar di utara Thailand. - Nguồn: Top News Photo


Perlembagaan juga tidak menetapkan sama ada calon-calon Perdana Menteri perlu terdiri daripada Ahli Parlimen yang dipilih. Ini bermakna seorang Perdana Menteri boleh muncul tanpa restu Parlimen Thai, apatah lagi rakyat.

Tindakan penipuan sengaja dalam sistem pilihan raya akan menjejaskan kewibawaan pengundian ini dan sebarang mandat yang diperoleh seorang ‘pemenang’ berpotensi.

Untuk kembali kepada ‘keadaan normal’ dalam politik seperti yang orang biasa Thai seperti Khun Sopa idamkan, mungkin tidak akan tiba pada waktu terdekat --- itupun kalau ia terjadi.

Pada Disember, cadangan Jeneral Prayuth supaya lambang parti tidak digunakan pada kertas undi mengundang bantahan awam yang meluas. - Foto: Bangkok Post
Pada Disember, cadangan Jeneral Prayuth supaya lambang parti tidak digunakan pada kertas undi mengundang bantahan awam yang meluas. - Foto: Bangkok Post


Jeneral Prayuth perlu melihat ke wilayah selatan.

Tahun lalu, pada waktu sama, bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak juga berdepan dengan penduduk yang menentangnya, ekonomi yang merudum dan dahagakan suatu pilihan raya yang bersih dan telus.

Kerajaan BN bertindak melakukan langkah-langkah pentadbiran untuk menghalang penyertaan rakyat dalam pengundian. Ini membawa kepada suatu gelombang ketidakyakinan dan kemarahan awam. Selepas itu, ia menjadi sejarah.

Pada Disember, cadangan Jeneral Prayuth supaya lambang parti tidak digunakan pada kertas undi mengundang bantahan awam yang meluas.

Sopa, seperti kebanyakan yang lain, pada awalnya menyokong rampasan kuasa Prayuth. Namun, rakyat Thai sudah tidak sabar lagi dengan penangguhan pilihan raya umum yang berulang kali. - Reuters
Sopa, seperti kebanyakan yang lain, pada awalnya menyokong rampasan kuasa Prayuth. Namun, rakyat Thai sudah tidak sabar lagi dengan penangguhan pilihan raya umum yang berulang kali. - Reuters


Suruhanjaya Pilihan Raya kemudian mengemukakan suatu reka bentuk yang diubah semula untuk memasukkan lambang, nama dan angka parti. Setelah penantian lima tahun, rakyat Thai berasa terdesak untuk melaksanakan hak-hak demokratik mereka, dan campur tangan Prayuth tidak akan menghalang mereka.

Jeneral Prayuth perlu menyedari bahawa mandat yang tulen tidak boleh ‘direka’.

Dengan bergantung pada kebimbangan dan sikap tidak peduli rakyat Thai boleh membawa kepada suatu penentangan secara besar-besaran.



*Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.





SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp