article-main-image
Prev Prev Next Next

indonesia

Potensi bandar sekunder ASEAN: Ceritalah berkunjung ke Solo

ASEAN = mesyuarat mewah dan elit di hotel 5 bintang

ASEAN = sekadar retorik dan omong kosong

ASEAN= hanya menguntungkan golongan atasan

Pembaca saya pasti tahu bahawa saya cukup menentang pendekatan elit dan mementingkan diri sendiri yang mewarnai sekitaran ASEAN. Saya lebih suka memberi tumpuan kepada pahit manis kehidupan harian rakyat biasa – ciri yang sering dipinggirkan oleh organisasi serantau ini. Saya turut berminat untuk mendalami kisah hidup harian warga ASEAN – gaya hidup mereka, harapan dan aspirasi mereka – serta cara hidup di bandar-bandar dan daerah-daerah yang terletak di luar kawasan ibu kota, tempat-tempat yang selalunya jarang diliputi oleh organisasi media arus perdana.

Pendekatan ini telah membawa saya ke bandar Solo pada minggu lepas, di Jawa Tengah, di mana, kami telah menganjurkan acara Ceritalah ASEAN yang ulung, membawa dan menghimpun wakil-wakil media dan ahli perniagaan daripada beberapa bandar-lapisan-kedua ASEAN (terima kasih kepada AirAsia dan Lion Air atas sokongan anda!).

Delegasi dari Filipina mengamati Batik yang ditulis tangan di Muzium Batik Danar Hadi. Foto Karim Raslan
Delegasi dari Filipina mengamati Batik yang ditulis tangan di Muzium Batik Danar Hadi. Foto Karim Raslan

Hanya satu daripada lapan acara yang dianjurkan telah berlangsung di hotel. Sebaliknya, kebanyakan masa kami telah diluang untuk menerokai bandar Solo, dari kafe ke butik batiknya, serta kedai-kedai, sekolah dan universitinya, termasuklah lencongan ke pasar-pasar, muzium dan gerai makan jalanan – sememangnya, pendekatan yang sangat santai!

Lebih-lebih lagi, sesi yang dijalankan cukup terbuka dan santai, malah, kebanyakan daripada sesi ini telah melihat para hadirin sendiri yang mengemudi dialog. Contohnya, semasa sesi perbincangan mengenai industri kreatif di Solo (industri batiknya sedang berkembang pesat) seorang wanita berhijab yang tingginya hanya lima kaki, telah tampil ke hadapan, seolah-olah untuk bertanyakan satu soalan. Sebaliknya, Ibu Haryani (saya sempat menemubual dia kemudian), guru sekolah berumur 61 tahun itu, berpaling kearah hadirin yang lain dan mula menyanyi. Lagu yang dinyanyikan merupakan lagu tradisional Jawa yang bertajuk “Asmoro Dono” (“Falling in Love”), yang telah membuat kumpulan yang cukup meriah ini terpegun, walaupun hanya untuk seketika. Peristiwa ini jelas memberi impak kepada tetamu ASEAN kami, yang kebanyakannya telah mengeluarkan telefon pintar mereka untuk merakam saat itu.

Tambahan pula, memandangkan bahawa “bersuka ria dan bergembira” tidak dilarang di ASEAN – salah seorang tetamu kami dari Filipina, Sofronion “BJ” Jucutan yang mewakili Dewan Perniagaan Davao menunjukkan kumpulan mahasiswa-mahasiswi itu cara untuk makan 'balut', sejenis makanan tradisi negara Filipina yang agak memualkan - iaitu telur rebus yang masih mengandungi embrio itik.

Sofronio “BJ” Jucutan mendemonstrasikan cara memakan Balut kepada para mahasiswa-mahasiswi Universitas Sebelas Maret. Foto Karim Raslan
Sofronio “BJ” Jucutan mendemonstrasikan cara memakan Balut kepada para mahasiswa-mahasiswi Universitas Sebelas Maret. Foto Karim Raslan

Kemudian, di Pondok Pesantren Assalam, sebuah sekolah agama berasrama yang tersohor, saya cukup kagum dengan sekumpulan pelajar perempuan yang berpakaian serba sopan, yang telah melontar beberapa soalan yang cukup mencabar mengenai ASEAN.

Setelah berlalunya dua hari yang sangat memenatkan, saya berharap saya telah menunjukkan sedikit sebanyak bahawa pendekatan acara ASEAN ini tidak semestinya bosan atau tidak relevan - dan pada masa yang sama, mengangkat kepentingan bandar sekunder seperti Davao, Bach Ninh, Chiang Mai dan sudah tentu, Solo. Sejujurnya, kesemua ibu kota di negara Asia Tenggara ini serupa; pusat membeli-belah gergasi dengan jenama yang sama, kesesakan jalan raya yang sama, serta masyarakat kelas atasan yang sama, juga dikenali sebagai golongan elit “kosmopolitan”.

Ibu Haryani mempesonakan hadirin dengan cara dia melantunkan lagu tradisional Jawa berjudul “Asmoro Dono”. Foto Karim Raslan
Ibu Haryani mempesonakan hadirin dengan cara dia melantunkan lagu tradisional Jawa berjudul “Asmoro Dono”. Foto Karim Raslan

Bagi saya, kalau dibandingkan, bandar-bandar sekunder ini mempunyai perwatakan tersendiri mereka yang lebih menonjol. Anda boleh mengetahui lebih banyak mengenai Filipina dalam waktu sehari di Davao berbanding dengan seminggu di Makati. Malah, setiap daripada bandar sekunder yang saya telah kunjungi ini mempunyai ciri-ciri tersendiri mereka yang unik:

·         Iloilo terkenal dengan keindahan gereja dan seni rekanya dari era penjajahan Sepanyol;

·         Manado di Sulawesi kaya dengan warisan Minahasa, gunung-ganangnya dan laut birunya yang indah;

·         Pathein di tebing Sungai Ayeryarwaddy ialah pusat pertanian padi yang pesat membangun di Myanmar;

·         Daerah Bach Ninh di Vietnam (dengan kilang Samsungnya) kini muncul sebagai pusat perindustrian yang unggul;

·         Ipoh di Malaysia terkenal dengan makanannya.

Dan gelombang perubahan, gelombang perubahan akan tercetus di bandar-bandar sebegini. Tentunya, arus perubahan politik, ekonomi dan kebudayaan telah muncul daripada tempat-tempat yang tidak disangka ini, sebelum melimpah ke seluruh negara.

Bagi saya, bukanlah suatu kebetulan yang Presiden Filipina dan Indonesia sebelum ini masing-masing merupakan Datuk Bandar di Davao (di mana saya akan menganjur acara Ceritalah ASEAN yang berikutnya) dan Solo. Oleh itu, saya tidak malu dengan agenda saya untuk mengangkat dan mempromosi bandar-bandar ini.

Pondok Pesantren Assalam mempunyai reputasi yang baik di mana para siswinya menunjukkan keterlibatan yang aktif dengan para penceramah. Foto Karim Raslan
Pondok Pesantren Assalam mempunyai reputasi yang baik di mana para siswinya menunjukkan keterlibatan yang aktif dengan para penceramah. Foto Karim Raslan

Tambahan pula, seperti yang ditunjukkan oleh peristiwa pada tahun 2016, gelombang populis yang kini melanda seluruh dunia telah menghakis pengaruh ibu kota dan golongan atasan yang mementingkan diri sendiri.

ASEAN harus bangkit, sekiranya ia mahu membawa arus perubahan yang bermakna. Pencapaiannya setakat ini – pada ketika ia menyambut sambutan ulang tahunnya yang ke-50 – hanya sederhana. Ya, ASEAN telah berjaya membawa keamanan, keamanan (boleh dikatakan) dan pendekatan neutral di rantau ini. Namun, ia hanya mampu mencipta manfaat yang terhad kepada penduduknya yang lebih 600 juta orang.

Memandangkan bahawa ramai daripada warga ASEAN tergolong dalam kalangan pekerja tidak mahir, anda harus bertanya: apakah peluang yang ASEAN mampu beri kepada mereka? Tiada apa-apa. Golongan ini pada hari ini kekal terdedah kepada eksplotasi. Malah, sejumlah besar ahli perniagaan kecil dan sederhana yang saya sering temui dalam perjalanan saya masih tertanya -tanya tentang manfaat yang ASEAN mampu memberi kepada mereka? Sememangnya, anda dapat rasakan, ASEAN sebagai sebuah organisasi, hanya mampu bergerak bagi memenuhi kehendak golongan metropolitan elit yang angkuh.

Sementara itu, aspirasi hubungan rakyat dengan rakyat yang jitu belum lagi tercapai. Dalam keadaan serba kekurangan dari segi kepimpinan dan pentadbiran, masyarakat sivil seharusnya menjana proses integrasi serantau.

Inilah aspirasi yang ingin dipacu melalui Ceritalah ASEAN: untuk meningkatkan pengetahuan am mengenai rantau ini serta meluaskan jaringan dan talian antara rakyat biasa di rantau ASEAN, lebih-lebih lagi di antara warga bandar sekunder. Saya cukup yakin bahawa kita mampu mengulangi kejayaan Ceritalah ASEAN Solo di tempat lain, terutamanya di Davao, yang merupakan agenda kami yang seterusnya.

Tambahan pula, terdapat puluhan bandar sekunder yang ingin saya kunjungi, termasuklah Khon Kaen di bahagian timur laut daerah Isan di Thailand (yang terkenal dengan hasil suteranya) dan daerah Bicol di tenggara Luzon di mana saya ingin melihat Legazpi dengan mata saya sendiri. Tempat sebeginilah di mana “cerita-cerita” sebenar ASEAN berada, dan saya berasa bangga serta terharu, kerana mempunyai peluang untuk memberi sedikit pencerahan mengenai bandar dan kota yang mempesonakan ini.

Karim Raslan dan delegasi dari Filipina, Ian Ray Garcia, serta ahli Pendopo Foto dan Kelab Video Solo. Foto Karim Raslan
Karim Raslan dan delegasi dari Filipina, Ian Ray Garcia, serta ahli Pendopo Foto dan Kelab Video Solo. Foto Karim Raslan

SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp