article-main-image
Prev Prev Next Next

malaysia

Pulau Pinang: Gerbang masuk India ke Asia Tenggara

KETIKA mana China terus meningkat tanpa sebarang halangan --- para strategis global semakin melihat --- dan berasa bimbang --- terhadap India.

Mengapa?

Banyak pihak mengharapkan bahawa India, dengan bilangan penduduknya bersama pertumbuhan KDNK yang hebat akan menjadi pesaing pada jiran di sebelah utaranya.

Daripada sudut geopolitik, orang India dijangka akan bangun berdiri untuk berdepan dengan peluasan China di Lautan India (berselindung di sebalik inisiatif Satu Jajaran, Satu Laluan).

Malah, minggu ini, para pemimpin ASEAN (mungkin sedikit oportunistik?) akan bermesyuarat di New Delhi dengan Perdana Menteri Narendra Modi bagi menyambut suku abad hubungan diplomatik. Seorang skeptik mungkin terfikir adakah terdapat sesuatu yang bernilai untuk diraikan sambutannya.

Pun begitu, mesyuarat itu adalah bermakna, kerana bagi Asia Tenggara, India adalah PENTING.

Rantau kita telah lama menikmati hubungan budaya, agama dan dagang yang luas dengan keseluruhan Benua Kecil itu. Kota-kota seperti Georgetown, Yangon, Jakarta dan Singapura telah secara mendalam dipengaruhi oleh jutaan pengembara yang menyeberangi Teluk Benggala untuk berabad-abad lamanya.

Malah walaupun banyak orang mengeluh mengenai kepimpinan Modi yang tidak menentu (saksikan retorik nasionalis Hindu ekstremisnya), dicampur dengan penggubalan dasar ekonomi yang sering tidak realistik, Asia Tenggara akan menjadi antara pihak paling besar memperoleh manfaat dengan kenaikan India itu --- malah jika ia tidak secemerlang seperti apa yang dibayangkan sebelum ini.

Ketika para pemimpin ASEAN berlepas ke New Delhi, saya telah membenamkan diri saya ke dalam suatu cebisan sejarah Asia Tenggara/India yang walaupun kecil tetapi menarik iaitu --- diaspora Chulia Tamil India di Georgetown, Pulau Pinang. Saya telah memerhatikan komuniti Chulia Pulau Pinang dan bagaimana mereka memberi sumbangan kepada pertumbuhan dan pebentukan Malaysia. Sumber utama saya ialah karya berautoriti Khoo Salma Nasution, "The Chulia in Penang".

Setelah tidak begitu lagi digunakan pada awal 1900-an, "Chulia" merupakan istilah yang dipakai oleh orang Eropah untuk merujuk kepada orang India Selatan yang datang ke Semenanjung Tanah Melayu melalui Pulau Pinang.

Presiden Joko Widodo bersama Perdana Menteri Narendra Modi. Negara-negara di Asia Tenggara seperti Indonesia melihat India sebagai rakan ekonomi yang bererti. Foto Facebook
Presiden Joko Widodo bersama Perdana Menteri Narendra Modi. Negara-negara di Asia Tenggara seperti Indonesia melihat India sebagai rakan ekonomi yang bererti. Foto Facebook


Tentunya pengaruh India sampai di rantau ini berkurun sebelum ini seperti yang terbukti pada kuil Hindu Prambanan kurun kesembilan di Jawa Tengah yang disenaraikan pada Warisan UNESCO.

Warisan Islam Jawa juga dikaitkan dengan wali songo yang penuh legenda, iaitu sembilan wali terkenal dengan keupayaan maha biasa yang telah mendarat di pulau itu pada abad ke-15. Ada ahli sejarah yang mengkaji asal usul mereka ke wilayah benua kecil India di Gujarat dan Malabar, tanah leluhur India Malayali.

Orang "Chulia" pertama kali menyeberangi Lautan Hindi dari satu tempat yang kini dikenali sebagai Tamil Nadu pada tahun 1700-an. Mereka berperanan dalam membina ekonomi negara pulau itu dan membentuk identitinya. Orang Chulia itu kebanyakannya adalah saudagar tekstil. Malah mereka menggerakkan perdagangan eksport/import melebihi 860,000 Dolar Selat (kira-kira lebih USD100 juta) menjelang tahun 1830, berganda daripada perdagangan candu. Dengan penubuhan mesin-mesin cetak, mereka menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah pusat intelektual. Ditambah pula otthukadai kecil mereka (kedai runcit) juga berkembang ke seluruh semenanjung. Melalui wakaf, komuniti Muslim India itu membina satu pertiga daripada masjid di Georgetown pada awal 1900-an termasuk Masjid Kapitan Kling yang terkenal. Dari Pulau Pinang, orang "Chulia" ini sampai ke Acheh dan Singapura melalui kapal-kapal dagang.

Malah nama-nama di rantau itu mempunyai pengaruh India: "Jakarta", "Kemboja" dan "Singapura" mempunyai asal usul daripada perkataan Sanskrit. "Kemboja" datang dari perkataan Sanskrit "Kambuja", suatu bangsa purba di India hari ini yang disebut dalam teks purba, 'Titah Ashoka'.

Hampir setiap budaya utama di rantau kita telah menerima pakai hikayat India seprti Mahabharata dan Ramayana ke dalam kisah rakyat mereka. Ia terus meninggalkan kesan pada budaya kontemporari dalam bentuk Navin Rawanchakul, seorang pelukis Thai keturunan India yang telah mendokumentasi kehidupan diaspora India di kampung halamannya di Chiang Mai.

Maka adalah suatu yang amat memalukan bahawa India (selain daripada Bollywood) telah gagal berebut tempatnya yang wajar dalam imaginasi popular Asia Tenggara.

New Delhi akan menjadi tempat berlangsungnya pertemuan ASEAN-India Commemorative minggu ini. Wikimedia Commons
New Delhi akan menjadi tempat berlangsungnya pertemuan ASEAN-India Commemorative minggu ini. Wikimedia Commons


Memandang ke depan, ASEAN akan memperoleh banyak manfaat dengan mengukuhkan persahabatannya dengan raksasa Asia Tenggara, yang merupakan kediaman 18 peratus penduduk dunia.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini menjangkakan bahawa pertumbuhan ekonomi India akan mencapai lebih tujuh peratus pada tahun ini, mengalahkan China yang menjangkakan 6.8%. Tambahan pula, World Economic Forum meramalkan bahawa India akan hanya menduduki tempat kedua selepas China sebagai ekonomi terbesar dunia menjelang tahun 2050. 

Bergabung, penduduk ASEAN dan India menjadikannya sepertiga dunia. Bersama, KDNK mereka mencapai jumlah USD3.8 trilion.

Lebih daripada dua pertiga import minyak sawit India berjumlah USD10 bilion datang dari Malaysia dan Indonesia. Tahun lalu, ia mengimport tiga juta tan dari Malaysia dan lebih daripada 2 juta tan dari Indonesia. Malah, lebihan dagangan terbesar Indonesia adalah dengan India iaitu USD10.16 bilion.

Sementara itu, sektor BPO dinamik Filipina bersaing bertemu ruas dengan pihak India --- menjana USD28 bilion berbanding USD30 bilion pada pihak India.

Pelancong India adalah juga menguntungkan setanding daripada China. Sebagai contoh, ketibaan pelancong India ke Indonesia meningkat sebanyak 39 peratus tahun lalu, kedudukan paling tinggi di kalangan negara punca pelancong.

Sementara banyak pihak mempersoalkan komitmen India (dan Modi) terhadap demokrasi, saya yakin ia akan kekal sedemikian.

Sementara institusi awam bebasnya dan akhbar bebasnya mengalami tekanan, tetapi mereka masih mampu menghalang tindakan-tindakan melampau golongan elit.

Ditambah pula, demokrasi berbagai India memberikan alternatif kepada rantau kita untuk mencapainya berbanding dengan China yang beretnik tunggal dan juga berparti politik tunggal.

Adalah tidak bijak untuk memikirkan bahawa pengaruh jangka panjang China pada rantau ini akan mengalahkan India. Malah apa yang sebaliknya akan berlaku dan kita di rantau ini adalah lebih baik dinasihatkan untuk mengingatkan perkara ini.

Jadi ketika mana kita mesti berhati-hati terhadap tekanan politik dalaman India, adalah juga suatu realiti bahawa rantau kita mesti menghadapinya, seperti mana China.

Cabaran-cabaran adalah banyak, tetapi juga ganjaran dari menghubung balik pihak yang asing tetapi dikenali ini.


NOTA: Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr




SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp