article-main-image
Prev Prev Next Next

malaysia

Suatu tragedi Malaysia: Kematian kadet Zulfarhan Osman

PADA pukul 11.30 malam 1 Jun 2017, Zulkarnain Idros, seorang pemandu teksi berusia 53 tahun menerima panggilan telefon.

Ia adalah dari seorang pegawai Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) - kolej tentera yang disertai oleh anak sulungnya Zulfarhan Osman, 21 tahun, dengan harapan akan dipilih untuk menyertai Tentera Laut.

"Anak encik meninggal dunia," katanya pada Zulkarnain.

Pegawai itu diam untuk waktu yang agak panjang.

"Apa sudah jadi?"

"Arwah mati terbakar."

Apabila Hawa Osman, isteri Zulkarnain yang berusia 54 tahun dengar berita itu, beliau menangis. "Allah, anak aku..."

Zulfarhan yang mengimpikan dapat menjadi nakhoda kapal suatu hari nanti, bergambar bersama kedua-dua ibu bapanya. - Gambar fail
Zulfarhan yang mengimpikan dapat menjadi nakhoda kapal suatu hari nanti, bergambar bersama kedua-dua ibu bapanya. - Gambar fail


Pada mulanya pegawai itu menyebut nombor pengenalan tentera Zulfarhan. Tidak berupaya dan tidak sanggup percaya berita dahsyat itu, bapanya meminta nombor pengenalan awam anaknya.

"Otak saya berkecamuk," jelas Zulkarnain yang berwajah bulat itu. “Saya terus berfikir bahawa kesemua ini adalah suatu kesilapan. Mungkin ia anak orang lain? Saya perlu menyaksikannya sendiri."

Pada tengah malam itu, Zulkarnain, Hawa dan tiga anaknya berlepas dari rumah mereka di negeri selatan Malaysia, Johor untuk perjalanan 300km ke Hospital Serdang di Kajang, Selangor.

Hawa, seorang wanita yang memiliki ekspresi tajam dan agak sayu mengingat kembali bagaimana beliau mengesyaki sesuatu yang tidak kena lama sebelum panggilan itu.

Hawa mengingati Zulfarhan sebagai 'anak emak' yang sering bermanja dengannya. - Gambar fail
Hawa mengingati Zulfarhan sebagai 'anak emak' yang sering bermanja dengannya. - Gambar fail


"Anak saya selalunya menelefon setiap malam, tapi tiada panggilan lebih daripada seminggu kerana dia hilang telefonnya. Malah selepas beberapa hari, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena,” ujarnya.

Akhirnya, iaitu lepas sedikit pukul 3 pagi, keluarga itu sampai di Hospital Serdang. Pegawai UPNM tadi ada di situ untuk menyambut mereka.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan melihat jenazah hinggalah lewat pagi iaitu pukul 9 pagi, menyebabkan mereka terpaksa menunggu selama enam jam yang menyeksakan.

Menurut laporan berita, Zulfarhan didakwa didera oleh sekumpulan rakan sepengajiannya dari 21 hingga 22 Mei 2017 kerana mencuri komputer riba.

Hawa menjadikan gambar arwah anaknya ini sebagai 'screensaver' telefon bimbitnya. - Gambar fail
Hawa menjadikan gambar arwah anaknya ini sebagai 'screensaver' telefon bimbitnya. - Gambar fail


Beliau ditekap dengan seterika wap yang diheret sepanjang kaki dan tubuhnya. Seutas tali pinggang, hos getah dan sebuah penyangkut baju juga telah digunakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di asrama Jebat UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi pada 21 Mei dan 1.30 pagi hingga 5.45 pagi keesokan harinya.

Laporan berita yang sama menambah bahawa seminggu kemudian, pada 27 Mei, dua daripada rakan sekumpulannya itu membawa Zulfarhan ke sebuah klinik di Bangi untuk rawatan. Mereka selanjutnya membawa beliau ke klinik itu lagi pada 31 Mei.

Pada 1 Jun, iaitu sebelas hari selepas serangan pertama itu, Zulfarhan akhirnya dibawa ke hospital. Beliau meninggal dunia sebaik saja tiba walaupun dua cubaan dilakukan untuk menyelamatkan badannya yang telah rosak itu.

Zulfarhan seorang yang sangat cergas dan atletik. Dia pernah menyertai acara marathon, duathlon dan triathlon sewaktu di universiti. - Gambar fail
Zulfarhan seorang yang sangat cergas dan atletik. Dia pernah menyertai acara marathon, duathlon dan triathlon sewaktu di universiti. - Gambar fail


Bagi ibu bapanya, pandangan awal ke atas jasadnya adalah tajam dan amat menyakitkan. Hawa menjelaskan: "Bila mereka mula membawa kami untuk mengecamnya, kami hanya ditunjukkan wajahnya.”

Beliau berkata demikian sambil meletakkan tangannya pada dadanya, menunjukkan bahagian mana tubuh Zulfarhan yang didedahkan.

"Kami meminta untuk melihat keseluruhan jasad anak kami…" ketika itu suara beliau hilang kerana kepedihan rasa sedih untuk beberapa ketika menyelubungi beliau.

Menurut laporan autopsi, 80 peratus daripada tubuh Zulfarhan dipenuhi dengan kesan terbakar.
Zulkarnain menyambung lanjutan cerita isterinya: "Saya tidak punya kata-kata untuk menceritakan bagaimana perasaan saya melihat anak kami dalam keadaan begini. Saya tidak mempunyai air mata lagi. Ia amat menghancurkan hati ibunya. Dia melahirkan seorang bayi lelaki yang sempurna dan sihat."

Bapanya terus bercerita dengan tersangkut-sangkut: "Saya tidak boleh berhenti bertanyakan pada diri saya: Mengapakah kami harus mengkebumikan dia dalam keadaan begini? Apakah yang telah terjadi?"

Zulkarnain menerima panggilan daripada pihak UPNM yang menyampaikan khaba tentang kematian anaknya pada 1 Jun 2017. - Foto: Karim Raslan
Zulkarnain menerima panggilan daripada pihak UPNM yang menyampaikan khaba tentang kematian anaknya pada 1 Jun 2017. - Foto: Karim Raslan


Jenazah Zulfarhan diserahkan kepada keluarganya pada pukul 3 petang pada 2 Jun 2017. Allahyarham dikebumikan di Johor pada petang itu.

Saya bertemu dengan keluarga itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 27 Oktober. Kedua-dua ibu bapanya memakai baju T dengan perkataan "#justice4farhan" (keadilan untuk Farhan) tertera di dada mereka. Pada masa itu ialah sebutan mahkamah terhadap 19 anak muda yang didakwa berhubung dengan kematian Zulfarhan.

Lima daripadanya dituduh membunuh dan seorang bersubahat. Kedua-dua dakwaan itu membawa kepada hukuman mati mandatori dan mereka ini – mereka kelihatan begitu muda – telah ditahan reman. Mereka dirantai bersama pelaku-pelaku kesalahan dadah dan pencuri kecil yang seringkali muncul di mahkamah bandar raya besar.

Tiga belas yang lain didakwa dengan sengaja melakukan kecederaan dan jika didapati bersalah akan menghadapi sehingga 7 tahun dalam penjara. Mereka tidak ditahan reman.

Sebaliknya mereka berpakaian secara formal dengan baju kemeja lengan panjang (antaranya malah memakai kot) – menunggu di tepi dan di belakang galeri awam. Ketika pihak pendaftar memanggil nama mereka, mereka berjalan – antaranya seperti berkawad, lalu mengingatkan saya bahawa mereka ialah kadet tentera – melangkah ke depan dan memenuhi ruang tertuduh hingga terkeluar, menyebabkan sedikit kekeliruan.

Saya tidak berupaya menahan perasaan terganggu dengan pemandangan dalam mahkamah yang kelihatan begitu pelik.

Semua ini adalah budak-budak lelaki yang berwajah segar dan kelihatan tampan. Dalam mana-mana konteks yang lain, saya akan terfikir "Di sinilah sekumpulan anak-anak muda yang cerah: iaitu masa depan negaraku."

Sebaliknya mereka berhimpun di tengah-tengah dewan mahkamah dan masa depan mereka berisi dengan persoalan, semuanya kerana apa yang berlaku pada Zulfarhan kira-kira enam bulan sebelum itu.

Seorang anak lelaki – salah seorang daripada mereka – telah meninggal dunia dan dalam keadaan begitu teruk.

Hanya mereka, kumpulan 19 orang ini, tahu mengapa. Hanya mereka tahu bagaimana.

Sepanjang prosiding, Zulkarnain, Hawa dan anak perempuan mereka yang berusia 15 tahun duduk di barisan depan galeri awam. Diam dan berwibawa, mereka memerhati pelaku-pelaku yang dituduh membunuh anak mereka di depannya.

Sementara itu, kesemua orang di sekeliling mereka adalah ibu bapa 19 orang itu, ada yang kelihatan berwajah malu, sementara yang lain cuba sedaya upaya memberi semangat pada anak-anak mereka.

Setelah mengesan perbezaan yang tak terlihat antara dua kumpulan itu, saya tertanya adakah terdapat sebarang interaksi antara kedua-duanya.

Bapa mangsa itu menjelaskan: "Dua daripada ibu bapa tertuduh itu ada mendekati saya untuk meminta maaf."

"Saya kata pada mereka: Jika saya maafkan kamu, adakah saya boleh dapatkan anak saya balik?"

Zulfarhan merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. - Gambar fail
Zulfarhan merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. - Gambar fail


Tetapi sekurang-kurangnya dengan tarikh perbicaraan menghampiri, keluarga itu akan mengetahui mengenai hari-hari akhir anaknya dan sebab-sebab mengapa – jika ada – terhadap kekejaman kematiannya yang luar biasa.

Zulkarnain terus terang apabila menceritakan apa yang mereka rasa.
"Kami tidak tahu apa-apa yang berlaku sepanjang minggu dari ketika dia didera hingga ke masa dia ditemui. Ia seperti tiada sesiapa yang sedar dia tiada. Itulah sebabnya mengapa kami datang pada perbicaraan ini,” ujarnya.

Walaupun panggilan kehadiran diwajibkan pada setiap malam, ketiadaan Zulfarhan menjadi rahsia.

Zulfarhan sangat rapat dengan adik perempuannya yang paling bongsu. - Gambar fail
Zulfarhan sangat rapat dengan adik perempuannya yang paling bongsu. - Gambar fail


Hawa menambah: "Terdapat banyak cerita sejak kejadian itu. Kami telah mendengar banyak khabar angin tentang apa yang berlaku. Tetapi kami perlu mencari kebenaran. Walaupun kes ini mengambil masa lama, saya akan terus mengikutinya demi anak saya. Kami tidak boleh hanya melepaskannya."

Anda boleh faham mengapa ketika mendengar Zulkarnain (walaupun dalam penderitaan, tetap tidak kehilangan senyumnya yang hangat dan istimewa) dan Hawa bercakap mengenai anak sulungnya.
Allahyarham ialah seorang pelajar kejuruteraan elektrik tahun tiga yang penuh kasih sayang dan bertanggungjawab. Beliau bercita-cita akan satu hari dapat menakhodai kapal.

Harapan itu kini telah hilang. Tetapi bagi 19 yang tertuduh itu, masa depan mereka hampir keseluruhannya gelap. Perbicaraan yang amat lama. Bayaran guaman lagi. Kerjaya cemerlang hancur.

Dalam keadaan semua itu, Hawa, ibu yang bersedih tetap tidak dapat menerimanya. "Saya boleh terima bahawa anak saya sudah mati, tetapi saya tidak boleh terima cara dia mati.”



* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp