article-main-image
Prev Prev Next Next

Filipina

Taufan Haiyan: Selepas 5 tahun, mangsa terselamat masih menanti penempatan semula

KIRA-KIRA lima tahun lalu, Taufan Haiyan - salah satu daripada siklon tropika paling kuat yang dicatatkan - merempuh kepulauan Filipina, mengakibatkan 6,300 kematian, 26,000 cedera, 4 juta hilang tempat tinggal dan kerosakan harta benda bernilai kira-kira lebih AS$9 bilion.

Cerita ini membawa kisah Richelle Alvaraz, 30 tahun, iaitu ibu kepada enam orang anak. Mereka adalah pemastautin kota Tacloban di Visayas, iaitu kawasan yang paling teruk rosak di republik itu.

Baginya, taufan (yang dipanggil Yolanda di Filipina) yang membawa angin berkelajuan 380 kilometer sejam dan ribut luar biasa itu merupakan sesuatu yang tidak akan dilupakan.

Secara harfiah, ia bermaksud: walaupun dengan banyaknya janji kerajaan sejak lima tahun lalu, Richelle masih menunggu --- dengan ribuan yang lain --- untuk ditempatkan semula di rumah-rumah yang kekal.

Duduk di sebuah pondok sementara yang dipanggilnya ‘kediaman’, ibu tunggal bermata sayu (suaminya dalam penjara atas apa yang beliau dakwa sebagai pertuduhan berkaitan dadah yang diada-adakan) itu masih boleh mengingati suasana sepi yang ngeri.

Masih jelas dalam ingatannya tentang situasi beberapa jam sebelum ribut menerjang kota berpenduduk 240,000 orang dan terletak kira-kira 880 kilometer ke tenggara Manila itu.

Besar sedikit daripada sebuah gubuk, kediaman Richelle adalah panas dan rimas pada waktu tengah hari dan rapuh ketika hujan. - Hezril Azmin/Ceritalah
Besar sedikit daripada sebuah gubuk, kediaman Richelle adalah panas dan rimas pada waktu tengah hari dan rapuh ketika hujan. - Hezril Azmin/Ceritalah


"Kami tahu ia akan datang. Kerajaan telah memberi amaran pada kami. Tetapi tidak ada sebarang bunyi pada jam 3 pagi. Pukul 5 pagi bagaimanapun, semua telah berubah.

"Saya berlari ke arah tanah lebih tinggi bersama anak saya. Malah saya terpaksa berenang kerana air mendahului saya. Saya beritahu anak-anak saya supaya tidak menoleh ke belakang. Bunyi gelombang dan deruan angin adalah jelas. Saya tidak dapat faham apa yang berlaku di sekeliling saya --- hanya jeritan jiran-jiran saya. Sebahagian daripada mereka membantu saya menyelamatkan anak-anak saya, syukur pada Tuhan,” ujarnya.

Datuk Bandar Tacloban, Cristina Romulaldez baru-baru ini mengisytiharkan bahawa rakyatnya ‘telah meneruskan kehidupan’. - Hezril Azmin/Ceritalah
Datuk Bandar Tacloban, Cristina Romulaldez baru-baru ini mengisytiharkan bahawa rakyatnya ‘telah meneruskan kehidupan’. - Hezril Azmin/Ceritalah


Datuk Bandar Tacloban, Cristina Romulaldez (seorang saudara bekas Wanita Pertama yang berasal dari Tacloban, Imelda Marcos), baru-baru ini mengisytiharkan bahawa rakyatnya ‘telah meneruskan kehidupan’.
Namun bagi orang seperti Richelle, bencana itu adalah sesuatu yang berterusan, apabila amukan angin dan hujan lebat kini digantikan dengan pengabaian.

Terdapat beberapa inisiatif dijalankan. Pada tahun 2015 dan sebaik saja selepas tragedi itu, presiden ketika itu, Benigno Aquino III menggariskan Rancangan Rehabilitasi dan Pemulihan Komprehensif Yolanda (CRRP), yang meliputi penyediaan 205,000 rumah bagi yang kehilangan kediaman.

Daerah Anibong, Tacloban. Pondok-pondok sementara ini menampung ratusan dari 6,000 mangsa yang terlantar dan masih menunggu untuk dipindahkan ke penempatan kekal. - Hezril Azmin/Ceritalah
Daerah Anibong, Tacloban. Pondok-pondok sementara ini menampung ratusan dari 6,000 mangsa yang terlantar dan masih menunggu untuk dipindahkan ke penempatan kekal. - Hezril Azmin/Ceritalah


Pada Januari 2017, Presiden Rodrigo Duterte menambah lagi janji-janji itu dengan mengumumkan bahawa rumah-rumah itu adalah percuma bagi mangsa-mangsa. Malah kerajaan memperuntukkan hampir AS$1.5 bilion untuk projek itu.

Menguatkan lagi azam itu, beliau juga memberi kata dua kepada agensi-agensi kerajaan, termasuk Pihak Berkuasa Perumahan Nasional (NHA) bahawa semua usaha rehabilitasi perlu disempurnakan pada penghujung 2017. Malangnya, hasilnya adalah mengecewakan. NHA baru-baru ini mengesahkan bahawa hanya 100,709 rumah telah siap dibina.

Richelle adalah salah seorang daripada 6,000 mangsa daripada 14,500 mangsa di Tacloban yang kehilangan kediaman, dan masih menunggu untuk dipindahkan ke perumahan tetap. Buat masa ini dia tidak ke mana-mana.

Kapal MV Eva Jocelyn yang terdampar ke pantai oleh daya ribut sekali gus menyebabkan 11 orang terkorban manakala 14 rumah musnah. - Hezril Azmin/Ceritalah
Kapal MV Eva Jocelyn yang terdampar ke pantai oleh daya ribut sekali gus menyebabkan 11 orang terkorban manakala 14 rumah musnah. - Hezril Azmin/Ceritalah


Dia kini tinggal di Daerah Anibong di Tacloban bersama keluarganya, hanya beberapa langkah dari sebuah kapal kargo seberat 3,000 tan, MV Eva Jocelyn yang terdampar ke pantai oleh daya ribut itu. Ketika ia terheret ke pantai itu, 11 orang terkorban manakala 14 rumah musnah.

Besar sedikit daripada gubuk, kediaman Richelle adalah panas dan rimas pada waktu tengah hari dan rapuh ketika hujan. Kediaman itu mempunyai sebuah ruang keluarga dengan papan kayu sebagai katil, dan sebuah dapur berasingan.

Struktur itu kurang daripada 4 meter panjang dan 3 meter lebar, dengan zink menjadi bumbungnya. Kapal kargo yang tersadai di atas tanah itu menjadi mercu tanda di depan kediaman rapuhnya: suatu ‘taman peringatan’ yang dibuka untuk umum.

Tetapi Tacloban ialah sebuah kota penuh kontras. Hanya 10 minit jauhnya daripada pondok Richelle, terdapat sebuah binaan mewah zaman Marcos iaitu gereja dua tingkat Santo Nino. Gereja itu turut berfungsi sebagai rumah rehat presiden dengan dewan acara yang gemilang, mural-mural indah serta perabot bersalut cat emas. Adalah tidak menghairankan, ia terselamat daripada Haiyan.

Gereja dua tingkat Santo Nino turut berfungsi sebagai rumah rehat presiden dengan dewan acara yang gemilang, mural-mural indah serta perabot bersalut cat emas. - Hezril Azmin/Ceritalah
Gereja dua tingkat Santo Nino turut berfungsi sebagai rumah rehat presiden dengan dewan acara yang gemilang, mural-mural indah serta perabot bersalut cat emas. - Hezril Azmin/Ceritalah


Setelah memohon untuk ditempatkan semula pada Januari 2014, Richelle terus menanti kelulusannya, sementara berkongsi tempat tinggal berdinding plastik itu dengan saudara perempuannya dan enam anaknya.

Malah banyak rumah-rumah yang sudah ‘sedia’ itu tidak mempunyai bekalan air dan elektrik, menjadikannya tidak sesuai untuk didiami. Hinggakan NHA juga mengakui ia adalah ‘di bawah piawaian’.

Richelle terus menanti kelulusannya, sementara berkongsi tempat tinggal berdinding plastik itu dengan saudara perempuannya dan enam anaknya. - Hezril Azmin/Ceritalah
Richelle terus menanti kelulusannya, sementara berkongsi tempat tinggal berdinding plastik itu dengan saudara perempuannya dan enam anaknya. - Hezril Azmin/Ceritalah


Richelle mengakui bahawa beliau masih sukar untuk hidup, terutamanya kerana hanya dia yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Katanya: "Dulu saya memperoleh pendapatan 120 Peso (RM9.50) sehari di kedai runcit, tetapi kini ia musnah akibat ribut itu. Kerajaan hanya sekali memberi kami bekalan 3 kilogram beras dan barangan dalam tin selepas taufan itu, tetapi selain daripada itu, kami masih belum menerima apa-apa."

Sungguhpun begitu, masih ada janji-janji. Baru-baru ini jurucakap presiden Salvador Panlo mengisytiharkan bahawa semua usaha penempatan semula akan selesai dalam masa setahun atau dua. Tetapi kelihatannya --- sekali lagi --- hanya masa akan menentukannya.

"Saya hanya mahu berpindah ke tempat lebih baik, kami tidak boleh terus hidup seperti ini. Itulah rancangan saya, demi anak-anak saya."

Dapur Richelle di gubuk daruratnya. Ini salah satu daripada dua ruangan yang dapat menampung lapan orang. - Hezril Azmin/Ceritalah
Dapur Richelle di gubuk daruratnya. Ini salah satu daripada dua ruangan yang dapat menampung lapan orang. - Hezril Azmin/Ceritalah

SHARE

Facebook

Twitter

Email

Google

Whatsapp