Golongan belia dan wanita Bumiputera merupakan antara golongan sasaran yang akan menikmati manfaat dari lima strategi utama dalam agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Pemimpin dan ahli perniagaan Bumiputera yang ditemui menyambut baik rancangan dalam agenda tersebut demi meningkatkan ekonomi Bumiputera.

Mantan Presiden Majlis Belia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah berpendapat terdapat beberapa pendekatan terbaru yang mampu memberi galakan daya saing kepada belia Bumiputera di negara ini.

"Saya lihat ada beberapa pendekatan terbaru seperti mewujudkan satu komuniti usahawan Bumiputera yang bertujuan untuk membimbing usahawan-usahawan termasuk usahawan belia dimana ianya akan dibimbing oleh usahawan-usahawan berjaya," kata Saifuddin.

Beliau menambah, pendekatan ini boleh dikatakan sebagai 'pendekatan segar' dimana sebelum ini usahawan-usahawan muda dan baru sering menghadapi masalah seperti tiadanya komuniti yang mana mereka boleh bekerjasama, berniaga bersama mahupun rujukan kepada mentor-mentor yang berjaya dalam keusahawanan untuk membimbing mereka.

"Saya anggap ini juga adalah pendekatan mustahak dan pendekatan yang lain-lain itu adalah sambungan dan pembaikan terhadap rancangan-rancangan yang pernah dilaksanakan sebelum ini," kata beliau ketika ditemubual Astro Awani.

"Bagi usahawan muda atau start-up, mereka bukan hanya memerlukan bantuan pinjaman dan kemudahan pasaran tetapi yang paling utama adalah bimbingan, mentor dan 'coaching' dari usahawan-usahawan yang berjaya ini.

Jika dilihat kepada usahawan-usahawan bangsa Cina contohnya, mereka punyai pendekatan pembelajaran dari mentor-mentor mereka seperti ayah mereka sebelum mengusahakan kedai milik keluarga mereka," kata Saifuddin lagi.

Namun, bimbingan seperti itu tidak ada diberikan kepada usahawan-usahawan belia atau 'start-up' ini.

Konsep komuniti ini diharap akan dapat membantu belia-belia Melayu dan Bumiputera untuk mula berniaga.

"Pinjaman dan peluang-peluang lain boleh dikira dengan wang namun bimbingan ini adalah sesuatu yang tidak boleh dikira dengan wang ringgit. Saya optimis bahawa langkah ini pasti berjaya kerana ianya adalah permintaan yang sudah lama diutarakan oleh usahawan-usahawan Melayu dan Bumiputera," katanya lagi.

Menteri Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim menyifatkan dengan perlaksanaan strategi-strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera ini akan dapat menambahkan lagi usahawan-usahawan wanita Bumiputera dalam bidang perniagaan.

“Ianya memang sesuatu yang telah dinanti-nantikan terutamanya masyarakat Bumiputera lebih-lebih lagi usahawan wanita dan kita telah pun menjalin satu kerjasama dengan Amanah Ikhtiar Malaysia dalam membentuk usahawan-usahawan wanita yang lebih berdaya saing,” kata Rohani.

Oleh hal demikian, beliau berpendapat dengan adanya suntikan dan anjakan seperti itu, bermakna pihak kementeriannya juga akan mendapat manfaat besar dari insentif yang diberikan.

“Suntikan insentif sebanyak RM350,000 hingga RM500,000 itu sangat bermakna kerana secara tak langsung terdapat peningkatan tahap keusahawanan wanita Bumiputera yang berada dalam golongan berpendapatan rendah melalui kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia.

Sasaran awal kementerian dalam melahirkan peserta usahawan wanita Bumiputera hanyalah sebanyak 4,000 dari tahun 2010 hingga tahun lalu dan ianya kini meningkat sebanyak 700 peserta lagi menjadikan 4,700 peserta dimana 86 peratus adalah wanita.

Menurutnya lagi lazimnya usahawan-usahawan wanita ini banyak melibatkan diri dalam sektor pemakanan namun kini telah ramai pula berhijrah dan melibatkan diri dalam bidang perkhidmatan kecantikan dan kesihatan diri.

“Perkhidmatan kecantikan dan kesihatan diri ini termasuklah seperti perbidanan urutan spa dan lain-lain lagi. Diharapakan kami dapat menambahkan lagi kapasiti usahawan wanita Bumiputera yang merupakan kumpulan sasar kami,” Rohani berkata.

Selain itu, Rohani menambah golongan wanita Bumiputera juga digalakkan menceburkan diri dalam bidang teknologi maklumat (IT) seperti E-Commerce dimana usahawan-usahawan wanita ini dapat menjual produk mereka melalui teknologi maklumat.

“Selain dari itu, usahawan wanita Bumiputra juga turut digalakkan menceburi dalam perniagaan ‘micro-franchise’ dibawah kelolaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dimana ianya RM50,000 ke bawah dan ada diberi geran oleh agensi-agensi seperti Tekun, Amanah Ikhtiar Malaysia,” katanya lagi.

Mantan pemimpin belia yang kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pula berpendapat dengan akan dengan pegumuman insentif-insentif tersebut diharapkan menjadikan usahawan-usahawan terutama belia di kawasannya itu mampu mengembangkan keusahawanan mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Insentif-insentif ini diharapkan mampu menjana pertumbuhan ekonomi dalam melahirkan usahawan belia terutama dalam industri hiliran dan pelancongan dimana banyak produk-produk industri kecil dan sederhana yang boleh dikembangkan lagi,”

Ahli perniagaan terkenal yang juga mantan Pengerusi Eksekutif Proton Holdings Bhd, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Taha pula berkata konsep integrasi ‘payung’ yang diperkenalkan dengan kerjasama syarikat-syarikat dan agensi seperti Petronas, UEM, TM dan lain-lain lagi cuma perlaksanaannya perlu digiatkan lagi.

“Semua pihak bukan sahaja kerajaan malah pihak GLC Bumiputera juga perlu memainkan peranan dalam mengenalpasti dan melatih usahawan-usahawan Bumiputera yang baru hendak bertapak dalam bidang perniagaan. Kita tidak mahu usahawan-usahawan Bumiputera yang sama sahaja yang asyik diberikan perhatian sedangkan yang lain pula tercicir dari mendapat faedah seperti ini,” katanya.